Saturday, November 8, 2008

Hikmah

"Jangan sesekali salahkan takdir". Itu nasihat ringkas seorang kawan, sewaktu saya meluahkan kebuntuan yang saya alami. Saya jelaskan, saya telah lakukan yang terbaik untuk mengatasi banyak masalah dalam hidup saya.

Kerjaya dan kewangan dua perkara yang membebankan.

Selama ini saya tidak pernah menceritakan kepada sesiapa dalam keluarga saya apa yang ditempuhi, membayangkan pun tidak. Itu risiko yang saya tanggung bila berhenti kerja sebagai pegawai kerajaan dan kemudian bertindak keluar dari rumah. Kerana prinsip juga saya sama sekali tidak akan meminta tolong daripada mereka.

Hidup berdikit-dikit dengan kudrat yang terbatas walaupun adalakala iradat mengapai awan. Tetapi kebelakangan ini saya agak kerap bertemu dengan kaum keluarga yang saya menjauhkan diri selama ini. Secara tidak langsung ia membuat saya berfikir.

"Di mana kedudukan aku sekarang".

Jarak waktu tidak memisahkan kami tetapi saya sendiri yang merasa serba kekurangan lantaran kerjaya yang saya pilih. Rezeki masih belum memihak kepada saya. Dulu saya pernah cakap demi kepuasan, ini haluan saya. Tetapi itu 10 tahun dulu sewaktu saya berdepan dengan konflik paling berat dalam hidup. Saya tidak menyesal tetapi saya tidak sangka akan menempuh satu demi satu kesukaran.

Semalam saya cuba meluahkan apa yang terbuku kepada seseorang yang jauh di Eropah, tetapi panggilan tidak bersahutan. Cuba dan terus cuba sampai terlena.

Haruskah saya berdepan dengan keluarga saya dan menceritakan segalanya. Saya pasti ada antara mereka yang akan menempelak tindakan saya selama ini. Ataupun telan segala keperitan sampai saya tutup mata.

Hujung minggu ini saya akan berdepan dengan mereka. Perlukah saya melakonkan watak ceria, walhal hakikatnya dirundung nestapa.

Saya tidak tahu...apa yang berlaku ada hikmahnya.

Hingga saat ini, firasat saya berdetik, lebih baik diamkan saja, kerana ini kebetulan dan suratan .

1 comment:

Anonymous said...

setiap yang berlaku memang pasti ada hikmahnya..dan bagi saya hanya Allah sahaja yang faham perasaan dan setiap apa yang kita lalui..mengadulah padaNya dan buatla solat istikharah dalam setiap pilihan yang kita ingin buat dalam hidup..moga dengan panduanNya kita tenang dan kuat untuk capai apa yang kita mahukan dan ia memberi kebaikan di dunia dan juga di akhirat..

hanya pendapat dari orang yang kerdil...