Wednesday, March 25, 2009

Cerpen 250309

Juraian air mata berderai. Maria cuba tahan permainan perasaan dari lamunan. Nyata tidak banyak kudrat wanita ini selepas melahirkan anak.

Secara zahir tiada apa yang kurang selepas Pak Haji Sulaiman dan Mak Wan menjaga beliau sepanjang mengandung anak sulung. Biar keluarga Tengku Jalil tidak pernah menganku beliau sebagai isteri yang sah, apa yang berlaku tersirat 1001 hikmah. Lebih 7 bulan ditatang di rumah besar itu, Maria merasakan sudah sampai ketikanhya, dia membuat keputusan.

"Oh Tuhan, aku ingin mengenaliMu dan menjadi hambaMu yang baik. Apakah aku tersilap arah selepas meninggalkan keluargaku dan agama yang dianut selama ini".

Lamunan Maria yang mengenali Islam selepas mengenali Tengku Jalil mula bersulam bisikan iblis.

"Mama, Papa please forgive me". Maria terus bermonolog.

Segalanya terhenti selepas Mak Wan membuka daun pintu.

"Ya Allah kenapa nak kau menangis nak. Jangan lemah semangat. Maria dalam pantang kan nanti kena ngoyang".

Mak Wan memeluk Maria sambil meniup ubun dengan bacaan tiga Qul dan beberapa potong doa untuk menghilangkan rasa gundah.

"Maria, jangan bersedih, apa yang berlaku adalah takdir. Kita orang Islam kena percaya pada qada' dan qadar. Setiap apa yang berlaku, tidak hari ini, esok, lusa, insya Allah akan tersirat hikmah Maria". Pujuk Mak Wan.

"Pak Cik dah balik, dia dah dapat ilham nak namakan anak ini. Dah tanya orang alim. Ada beberapa nama. Tu lah nak ajak Maria berbincang".

Mak Wan keluarkan sapu tangan dari kocek kekek baju kurung Johor, sapukan saki baki air mata Maria. Wajah yang kusam sedikit ceria.


Tuesday, March 17, 2009

Cuti Lagi

Perjalanan ke Cameron Highlands menjanjikan seribu satu pemandangan yang menarik. Kali ini saya melencong ke Tasik Raban dan berpatah balik ke Tapah. Jambatan Raja Nazrin Syah merentangi Tasik Raban, mencuri tumpuan.

Seandainya saya mati, mata akan pejam rapat kerana impian untuk kembali ke Lenggong telah tercapai. Saya menyusuri jalan dulu yang pernah merakam waktu gemersik lagu. Ingatan tidak akan punah walau hati telah patah.

Berdiri di puncak bukit dengan kebiruan air tasik mengusak rasa sebak. Jiwa yang tersurih dek lantunan khayalan. Siapa tahu kisah lalu.

Santapan di Restauran Tasik Raban, yang tidak dapat dilupakan selepas sekian lama tidak kembali kembali ke Lenggong



Saya dilahirkan sebagai kaki makan. Bagilah apa saja pasti tidak menolak. Yang pasti Cameron Highlands tidak lagi sedingin dulu.






Saturday, March 14, 2009

Terengganu Molek

Kesempatan cuti panjang memberi saya peluang merayap dan merakamkan foto rumah lama di sekitar Terengganu. Selepas kejatuhan kerajaan Johor keturunan Melaka pada 1699, Terengganu menjadi negeri Melayu yang termaju. Ketika itu ia terkenal dengan pembuatan bot, tembaga, batik dan songket. Malang sekali fakta ini tidak begitu diketengahkan, cuma pernah ditulis Profesor Emiritus Khoo Kay Kim dalam artikel beliau. Di bawah ini saya paparkan beberapa contoh warisan tamadun Terengganu.
Rumah lama di Kg Tengah, Chukai, Kemaman





Masjid Kg Tuan, Chukai, Kemaman. Masjid tertua di Terengganu. Usia lebih 200 tahun




Di tapak rumah Tok Mak di Kampung Raja, dibangunkan semula istana lama






Friday, March 13, 2009

Kopitiam


Pantai Timur menjadi lokasi yang paling 'best' bagi mereka yang menggemari kepelbagaian selera. Tidak keterlaluan dipanggil syurga makanan. Setiap hidangan mempunyai keunikan tersendiri. Dari kuih tradisi sehinggalah ke aroma kopi. Jika ke Kota Bharu, tidak lengkap kalau tidak singgah di White House yang terletak belakang Istana Jahar. Keaslian roti bakar menggunakan arang tiada tandingan.




Di Kemaman Hai Peng Kopitiam yang terletak di Jalan Sulaimani, di tengah bandar Chukai, menjadi satu kewajiban untuk berhenti. Keenakkan kopi yang diwarisi sejak sebelum Perang Dunia Kedua masih dikekalkan. Cuba rasa nasi dagang...ho liau.




Sebelum balik ke Kuala Lumpur jangan lupa makan ikan bakar di Tanjung Lumpur, Kuantan. Memang berbaloi. Selain murah, hasil laut yang dihidangkan sememangnya masih segar.

Thursday, March 12, 2009

Semoga Damai

Bulan ini genap 23 tahun kembalinya ke rahmatullah Syed Ahmad Zaki, seorang senior yang sering memberi semangat kepada saya. Sesekali bila pulang ke Kuala Terengganu dan terpandangkan SMASZA, pasti ingatan terhadap arwah akan hinggap di benak.

Saya akan mengingati arwah sebagai seorang yang banyak memberi dorongan dan teladan. Lerekan senyuman dan kata-kata perangsang supaya belajar menjadi manusia...akan terus bersemadi.

Beliau yang setahun lebih tua, menjadi batch persijilan terakhir asrama penuh di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan batch kami menjadi pertama asrama penuh SMASAA. Sampai sekarang saya terbayang tepukan di bahu, sebagai tahniah sewaktu saya mengambil keputusan Sijil Rendah Pelajaran, SRP.Itulah tepukan terakhir kerana selepas itu kami tidak lagi berjumpa kerana KUSZA di Gong Badak dan SMASZAA di Batu Buruk.

Saya hanya menerima berita selepas seminggu kematian. Sedih dan terlalu sedih dan selama mengenalinya, beliau tidak pernah bercerita mengenai penyakit yang dihidapi waima kepada rakan karib.

Ketekunan belajar di tangga sewaktu orang lain tidur, pemurah,tidak lokek berbelanja dan tingkah laku yang menyenangkan orang lain...membuatkan ramai antara kami merasa kehilangannya.

Sememangnya Allah lebih menyayangi beliau dari kami. Arwah dijemput pulang ketika berusia 17 tahun...dalam keadaan yang cukup mudah. Terjatuh selepas mandi dan ketika itu barulah rakan sebilik tahu yang selama bertahun dia bergantung dengan ubat sebagai penyabung nyawa. Takdirnya pada masa itu ubat habis. Syed Ahmad Zaki meninggal sewaktu dikejarkan ke Hospital Besar Kuala Terengganu.

Saya terkilan kerana sampai sekarang tidak berpeluang menziarahi pusara arwah di Temerloh, Pahang.

Di saat-saat terluang, banyak pengajaran yang dapat dipelajari daripada kematian arwah. Tidak pernah menunjukkan kesakitan walaupun sedang berjuang dengan maut, mengembirakan orang sekeliling dan sifat rendah diri.

Selain Syed Ahmad Zaki, sebenarnya telah ramai rakan yang terlebih dahulu dijemput pulang. Tun Azmi, Wan Suhaimi, Raja Marzuki, Mohd Yasin,Razman,Marzuki, Rodziah (Gee, saya terkilan kerana tidak sempat makan tengahari dan berkenalan dengan suami arwah, walaupun berkali diajak) juga Ustazah Anisah dan Ustazah Ramlah...semoga roh kalian ditempatkan di sisi para anbiya', auliya', syuhada' dan mereka yang beriman.

Janji Allah adalah pasti...kita semua akan lalui saat itu. Sebenarnya kita menunggu detik untuk menjejaki mereka ke alam kekal abadi.

Untuk mereka yang telah kembali al Fatehah.

Sunday, March 1, 2009

Tragedi Si Bapa

Tiada siapa dalam dunia yang ingin mengakhiri perkhawinan dengan perceraian. Tetapi apa yang berlaku di luar kudrat manusia sebagai makhluk. Semua yang pernah merasai nikmat berumahtangga...tidak mudah untuk kembali hidup sendirian apatah lagi bagi mereka yang mempunyai zuriat.

Ramai yang cuba menyelamatkan perkahwinan atas faktor anak. Tetapi ramai juga yang terpaksa mengenepi alasan itu selepas tiada lagi persefahaman.

Kesudahannya anak-anak menjadi rebutan. Tidak kira kepada siapa keputusan memihak...tetapi adakalanya hak seorang bapa sering dinafikan. Lebih memburukkan keadaan bila keluarga isteri campurtangan.

Dalam kebanyakan kes....selepas mahkamah membuat keputusan, hak seorang bapa untuk bermesra dengan anak sering dicabuli.

Berbeza dengan kes ibu tunggal....penderitaan bapa tunggal tidak banyak didedahkan. Mungkin faktor ego menghalang mereka daripada menceritakan kesengsaraan kepada masyarakat awam.

Bagi anak yang sempat mengenali bapa....ia tidaklah sukar untuk menyakinkan mereka., apa yang sebenarnya berlaku dan perceraian tidak bermakna mereka kehilangan kasih sayang dari seorang lelaki yang dipanggil ayah.

Ia berbeza sama sekali dengan anak yang tidak memahami apa-apa. Mereka mudah dipengaruhi. Lebih malang dalam kebanyakan kes....kerana silap asuhan dan eksploitasi masa, si anak memanggil "uncle". Bagi si ayah....ia adalah tragedi.

Wednesday, February 25, 2009

Jangan Berpaling

Berada dua hari satu malam di Kuantan, satu jangkamasa yang amat singkat. Di sebalik lerekan mata dan kuntuman senyuman, saya menyimpan sesuatu, yang saya tidak akan luahkan...Bilik yang mengadap Laut China Selatan memberi kesempatan melepaskan beban.

Biarpun singkat, tolehan ke laut dengan berkain pelikat, merengsa diri untuk terus tabah menghadapi hari-hari mendatang.

Saya telah cuba setakat yang termampu memperbaiki kelemahan diri. Memberi yang terbaik kepada insan yang yang mencuri hati. Tetapi ada ketika kata-kata yang dia diucapkan selama ini, memakan naluri. Saya perlukan komitmen untuk menjalani hidup dan bukan mengakhiri masa dengan sesuatu yang tiada ikatan.

Monday, February 23, 2009

Kejujuran

Kejujuran adalah nilai asas dalam semua perkara pokok. Kejujuran yang terpancar dari hati akan mempengaruhi tingkah laku manusia. Biarpun nilainya sering dibiaskan dengan pelbagai lakonan, hakikat kejujuran akan dapat dinilai oleh faktor waktu.

11 tahun dulu, kerana tiada lagi kejujuran, apa yang dimpikan hanya sekadar menjadi sejarah kepada hari ini. Segalanya musnah kerana kejujuran tidak lagi berada di landasan yang sepatutnya.

Seakan badi...satu persatu kasih yang tidak kesampaian terkandas dan menjadi tragedi kerana tiada nilai kejujuran.

Saya tidak pernah serik untuk berlaku jujur dalam apa jua perkara dan dengan sesiapa sahaja apatah lagi dengan insan yang istimewa di hati., tetapi bila dikenangkan, kejujuran juga yang mengundang kesengsaraan.

Naifkah saya apabila terus mempertahan kejujuran atapun manusia di sekeliling saya mengambil kesempatan dengan nilai itu? sehinggakan terus dipermainkan.

Sebagaimana kesetiaan dan keikhlasan, saya tidak sanggup korbankannya walaupun derita yang ditanggung terus memamah hati....

Saya redha dan akan membawa ke mati.

Mungkin takdir saya begini berdepan dan diuji dengan mereka yang tidak menyanjung kejujuran. Mereka terpana dengan hipokrasi.

Kepada yang tidak tahu menghargai nilai ini, satu masa akan tahu makrifat dan nikmat kejujuran. Kala itu mungkin telah terlambat....kerana kita berada di alam lberbeza.

Wednesday, February 18, 2009

Kalau


Kalau ku pergi
Jangan dicari
Kerana selama ini aku menanti
Tetapi kau tidak peduli

Kalau aku mati
Jangan ditangisi
Kerana sudah puas
Aku disakiti

Kalau aku dikebumi
Jangan dinesani
Kerana sewaktu hidup
Ku tak pernah dihargai

Kalau ada secebis kenangan
Kau katakan pada bulan
Pada awan dan mentari
Insan ini pernah dipersiakan

Kalau kau pandang tanah
Katakan pada bumi
Yang dulu kau berjanji

Kalaupun aku hadir dalam mimpi
Jangan diratapi
Kerana itu bererti
Aku semakin menjauhi.
RAA

Sunday, February 15, 2009

Selagi Ada Kudrat

Setelah sekian lama tidak memberi ceramah, akhirnya 12 Februari lalu, saya dijemput ke MISC bagi menceritakan Pencerobohan Israel ke atas bumi Gaza dari perspektif seorang wartawan. Syukur segalanya berjalan dengan lancar walaupun saya tidak sehebat penceramah lain. Paling penting hadirin mendapat mesej bagi membantu meringankan beban dek kezaliman Yahudi.

Mungkinkah liputan yang saya lakukan di Gaza akan memberi saya peluang yang lebih baik? Hanya DIA Yang Maha Mengetahui.

20 Februari ada satu lagi jemputan, kali ini di Masjid Hadhari, Jerteh, Terengganu. Insya Allah saya akan lakukan yang terbaik bagi membantu penduduk Palestin.

Berdasarkan laporan yang diterima bekalan makanan semakin kritikal. Hanya terdapat bekalan 10 tan beras bagi menampung 1.4 juta penduduk Gaza.

Kemarahan membuak kepada Mesir. Memang Firaun...bagi saya Hosni Mubarak sama seperti Firauan yang hidup semasa zaman Nabi Musa. Ramses 11, King Tut dan Suzan Mubarak setaraf dengan bini dan gundik Firaun.



Mesir bukan sahaja menyekat lori bantuan daripada masuk ke Gaza, untuk keluar dari Rafah halangan yang sama dikenakan.

Selama ini kita asyik mengutuk Israel dan Amerika Syarikat...tetapi tidak kepada Mesir yang menjadi penghalang kepada penghantaran bantuan kemanusian. Saya telah luahhkan rasa kecewa dengan Mesir dalam pelbagai saluran.


Sebahagian daripada petugas kemanusian dari Turki yang terkandas di pintu Rafah, Mesir kerana tidak dibenarkan memasuki Gaza

Kalau keadaan di Gaza menjadi lebih kritikal, kedutaan Mesir di Kuala Lumpur dan mungkin seluruh dunia perlu dihambat dengan tekanan tunjuk perasaan. Pergi Jahanam Hosni Mubarak!!!!!!!.

Saturday, February 14, 2009

Andai Ku Tahu

Andai ku tahu
Kapan tiba ajalku
Ku akan memohon tuhan tolong panjangkan umurku


Andai ku tahu
Kapan tiba masaku
Ku akan memohon tuhan jangan kau ambil nyawaku
Aku takut akan semua dosa dosaku
Aku takut dosa yg terus membayangiku


Andai ku tahu Malaikatmu kan menjemputku
Izinkan aku mengucap kata taubat padamu
Aku takut akan semua dosa dosaku
Aku takut dosa yg terus membayangiku
Ampuni aku dari segala dosa dosaku

Ampuni aku menangis ku bertaubat padamu
Aku manusia yang takut neraka
Namun aku juga tak pantas disurga


Andai ku tahu Kapan tiba ajalku
Izinkan aku mengucap kata taubat padamu
Aku takut akan semua dosa dosaku
Aku takut dosa yg terus membayangiku
Ampuni aku dari segala dosa dosaku
Ampuni aku menangis ku bertaubat padamu

Wednesday, February 11, 2009

Kudratku

Selepas 9 Laporan Khas Gaza Di Sebalik Cengkaman Zionis disiarkan Buletin Utama, ia mendapat maklum balas daripada penonton. Esok 12 Februari saya dijemput memberi ceramah di sebuah syarikat di Pasir Gudang, Johor.

Saya akui bukan mudah untuk berdepan dengan orang ramai selama sejam. Tetapi itu kudrat yang dapat saya lakukan. Saya telah menggunakan mata pena, impak visual dan sekarang saya sendiri diminta turun padang oleh penonton, menjelaskan apa yang tersirat di sebalik laporan.

Untukmu Gaza, iradat untuk bersama tidak pernah lusuh kerana kalian terlalu dekat di hati. Saya tidak mahu dikata bacul kerana membiarkan rakyat Palestine disembelih dan dibiarkan kebulur. Walaupun sepatah perkataan, paling tidak saya berusaha membantu mereka. Nama-nama seperti Shireen, Ummu Barakah, Raida, Nasir, Taheer tidak akan hilang di hati. Mereka terlalu dekat. Penderitaan kalian terlalu mendalam.
Setiap kali saya memandang gambar ini, hati sayu...kerana di sebalik senyuman mereka terlalu menderita

Saya tahu sukar untuk kembali semula ke Gaza. Namun saban detik saya berdoa kepada Allah, berilah peluang kali kedua untuk bersama mereka. Membela nasib insan yang tertindas. Saya tidak mahu kehilangan maruah kerana membiarkan mereka sendirian melawan kezaliman. Biarlah saya bersama penduduk Gaza dan seperti saya ceritakan sebelum ini, saya tidak pernah takut untuk mati bersama insan yang melayan saya dengan penuh kemuliaan. Saya menemui sesuatu di bumi yang merah bermandi darah. Paling penting ia mampu mengubat beban lara dan semoga ia memberi peluang menebus kesilapan masa lalu. Biarlah saya berada bersama mereka yang menghargai kehadiran "manusia ini".

Sunday, February 8, 2009

Sendiri

Secara kebetulan lagu ini bermain di fikiran. Ketika orang lain lena...jam 4 pagi saya masih termenung. Senikatanya mendalam sekali. Ia dinyanyikan Tiitiek Puspa dan kemudian Dahlan Zainuddin. Apapun saya redha kalau ini perjalanan hidup saya. Dan seni kata ini menggambarkan natijah jiwa saya. Mungkin takdirnya begini.

Sendiri
Kini aku sendiri lagi
Entah susah entah hati pedih
Tak peduli

Sendiri
Mungkin lebih baik begini
Tak peduli apa kata hati
Biarkan
Di mana aku berada
Jangan datang kirim salam
Tanda cinta

Kututup
Mata dan hati untuk cinta
Kerana antara dikau dan aku
Telah terlarang
Parah cinta

( korus 1 )

Masih terbayang dalam ingatanku
Waktu kau mengambil keputusan ku
Kau pergi dengan wajah penuh duka
Kau bisikkan kau tetap menyinta( roll )

Sendiri
Berteman pedih dan airmata
Bercumbu dengan duka nestapa
Dan merana

Mengapa
Harus terlambat kita berjumpa
Demikian pernah kau ucapkan
Dengan derai airmata

( korus 2 )

Dulu segalanya indah bercahaya
Kini hamba pujaan tiada warna
Dahulu penuh manja tawar dia
Kini bisu membeku dan sedih
Lara

!Oh sendiri
!Sendiri
! Sendiri...

Saturday, February 7, 2009

Kaherah

Cuti selama 12 hari, lama masa tu nak buat apa? Untuk tidak membazir saya beli 3 buah novel bahasa Malaysia untuk jadikan teman. Tidak sempat nak jumpa Maman dekat Borders. Si Bongsu yang sepatutnya hantar Maman dan Melaney ke The Curve, lupa dan beritahu ada casting... dan saya tiba-tiba rasa malas untuk keluar rumah. Cuma petang tadi keluar pergi MPH.



Santapan untuk 12 hari cuti....jangan tidak tidur malam dah


Sambungan....


Setelah setahun sebulan, akhirnya saya menjejaki kaki semula ke bumi Kaherah. Cuaca yang agak sejuk dan berangin menangkap sendi. Ohhh detik hati tiada apa yang berubah kecuali terminal baru.

Sebelum ke Darfur, Mesir merupakan negara yang ingin sekali saya kunjungi. Namun segala persepsi indah terkandas dek kebiadaban penghuni bumi Firaun. Untuk kali kedua saya telah bersedia.

Seperti dijangka, tiada yang ringkas dan mudah. Di setiap ruang yang sepatutnya dipercepatkan, dilengahkan. Agak lama untuk melepasi pintu masuk. Ia mengambil masa tidak kurang 45 minit tersangkut di imigresen. Ada sahaja perkara yang tidak kena. Ejaan nama kena sesuaikan dengan tulisan tangan dia orang. Macamlah tulisan kita ini macam cakar ayam.

Babak seterusnya bercanda dengan kastam. Alhamdulillah tidak banyak masalah. Saya kemudian ke luar...ingatkan hendak menyedut udara segar, tetapi hidung ini kembang kempis, walaupun suhu di dalam lingakaran 14C, pencemaran masih ketara.

Ustaz yang ikut sekali, kejap ada kejap tidak ada. Saya tidak suka tunggu itu dan ini tanpa alasan. Selepas satu jam memerhati ona, saya mendesak dan bertanya, "nak tunggu apa lagi. Ambik aja teksi.".




Bandaraya ala setinggan dengan jumlah kepadatan penduduk melebih 20 juta orang


Kami bertiga menuju ke hotel yang telah ditempah, sekali lagi bana Pak Arab. Sebelum ini dah bagi 100 Geneih, dia mintak lagi. Ustaz yang baik hati tu bagi aja..Tambah lagi 20 Heneih. Tapi apa yang berlaku, dia hantar ke hotel yang silap. Dalam hati saya menyumpah. Kesudahannya kami naik teksi yang tidak ubah seperti naik kaldai. Tidak sampai 20 minit kami sampai di Phroah Egypt Hotel yang terletak di Muhadisein. Tidak semen-mena kena tambah lagi 80 Geneih.

Yang penting, ingin rehatkan badan. Tetapi tidak sampai 2 jam kemudian, telefon saya berdering. KL mintak story, kalau tidak sabar, saya menjerit....baru sampai dah mintak bahan, mana ada....ingat nak tidur sekejap tetapi mood dah hilang. Apa tidaknya selain gangguan dari KL, katil rasa spring....dah antik.

Friday, February 6, 2009

Hajatku

Segalanya berlaku cukup pantas....walaupun saya telah membuat segala persediaan, keputusan Big Boss untuk saya pergi ke Gaza dalam tempoh 24 jam membuatkan saya terloncat-loncat. Mana tidaknya, tiket kapal terbang, duit, peralatan dan sebagainya. Kata-kata sewaktu editorial meeting jam 10 pagi 13 Januari membuatkan saya terkedu.

"I nak you bertolak malam ni. Sekarangpun dah terlambat". Kata-kata ini saya ambil sebagai semangat dan perangsang.

Berpantang jangan kata tidak walaupun secara logik mana mungkin untuk melakukan persiapan. Saya lakukan yang terbaik. Alhamdulillah impian menjadi kenyataan.

Tiada apa yang mengejutkan kerana sebelum ini, saya menawarkan diri untuk pergi ke Gaza. Pada ketika itu, sesuatu telah meragut hati saya dan cara terbaik adalah ke sana di mana saya akan tumpukan sepenuhnya kepada kerja. Dengan rasa kecewa lebih baik saya lakukan sesuatu membantu saudara seagama. Apalah sangat derita saya berbanding kesengsaraan warga Palestin yang saban hari disembelih Yahudi. Sejujurnya ketika membuat keputusan ke sana, saya telah bersedia segalanya. Kiranya ditakdirkan terkujur di sana, saya lebih redha.

Saya akui...adakala Islam pada nama, sembahyang tunggang langgang, pergaulan bebas...tetapi di hati kecil saya masih bercita-cita untuk syahid kerana mempertahankan agama. Allah Maha Mengetahui. Mungkin dengan cara itu saya mampu menebus segala kesilapan.




Saat-saat akhir sebelum berlepas ke Gaza..sempat menemui seseorang di Pick and Brew di One Utama. Saya meluahkan rasa kecewa dan yang berkenaan meminta maaf .

Pada mulanya saya merahsiakan tugasan ini daripada ahli keluarga. Sehari sebelum berlepas baru saya beritahu. Maman seperti biasa memberi sokongan.

"A.. tidak semua orang dapat pergi ke sana, Cuma jaga diri dan lakukan yang terbaik untuk menolong orang Gaza".

SMS Esah Maria dan Yzmier yang dihantar sebelum berlepas memberi kesan kepada saya supaya pulang dengan selamat. Ringkasnya kedua pengantin baru ini meminta saya berjanji yang akan jaga diri.

Tepat jam 10.25 malam, 15 Januari saya berlepas menuju ke Kaherah, ibu negara bumi Firaun. Walaupun naik boeing, layanan yang diberikan macam kita ni haprak. Ini kali kedua saya naik Egypt Air. Perasan, pesawat tu memang buruk.




Rasanya kalau mampu tidak akan naik Egypt Air untuk kali kedua, kecuali percuma ...pengalaman sejak 75 tahun lalu tidak membawa sebarang makna

Apapun perjalanan yang memakan masa 13 jam via Mumbai ini selamat sampai. Saya memang payah tidur. Bila sampai drama berdepan dengan Pak Arab yang banyak kerenahpun bermula.

Bersambung.......

Tuesday, February 3, 2009

Gaza 1

Alhamdulillah, akhirnya selepas berbelas tahun praktis sebagai wartawan, impian saya untuk membuat liputan di Gaza menjadi kenyataan.

Satu tugasan yang berat dan sarat dengan mesej yang perlu saya ketengahkan sebagai bahan berita.

Tidak mudah memperlengkapkan tugasan sebegini. Saya mengambilnya sebagai cabaran untuk membuktikan kemampuan. Kepayahan, kesukaran dan risiko di zon perang menjadi asam garam.

Ia pengalaman paling berharga setakat ini. Pengalaman ditahan pihak berkuasa Mesir, gelagat autar Pak Arab, bunyi tembakan akan terpahat ke penghujung hayat. Maha penting saya telah melakukan sesuatu membantu penduduk Gaza. Insya Allah pengalaman sepanjang berada di bumi syuhada' akan saya kongsi selepas ini.

Biarlah kisah anjing menyalak bukit...anjing dengan bayang-bayang dan anjing tersepit ia tidak sekelumitpun mendatangkan kudis, biarlah hukum alam yang menentukan kejahatan yang dilakukan. Walaupun baru setahun jagung dah macam-macam cerita yang direka. Bukan saja saya. Sesiapa yang menegur kebiadabannya akan terus menjadi mangsa. Ia termasuk pengurus yang telah berbelas tahun bekerja. Ada saja yang tidak kena dan kisah karut yang dikarang. Ingat doa orang yang dizalimi tiada hijab dengan Allah.

Saturday, January 31, 2009

Kisah Anjing 2

Sebentar tadi tiba-tiba wartawan berkenaan menelefon saya. Menjelaskan perkara sebenar. Saya menghormati penjelasan yang diberikan. Namun begitu saya mempersoalkan bagaimana perkara ini boleh timbul wal hal dia mengenali saya.

Dia menunding jari...ini angkara Si Mamat itu. Baiklah saya terima penjelasan dengan berhati-hati. Pokok pangkalnya adalah hati. Si Kaldai @ himar @ anjing ini memang dikenali kerana busuk hati. Ingat perkara yang busuk tidak dapat disimpan lama. Macam bangkai, lagi lama disimpan lagi berbau.

Ha ha ha Si Busuk hati ini mempersoalkan kredibaliti saya berbahasa Arab. Saya menjelaskan kepada yang berkenaan, setakat awak kenal, saya tidak pernah beritahu siapa diri saya dan latar belakang keluarga. Jauh sekali untuk bangga diri. Saya mengaku bersekolah di sebuah sekolah agama yang berprestij di Terengganu dan berasrama penuh di mana bahasa Arab menjadi sebahagian bahasa penghantar.

Saya tahu si Kaldai itu bangga kerana boleh berbahasa Arab tetapi bahasa yang digunapakai adalah bahasa pasar..low class...yang mana diwarisi dari keluarga, sedangkan saya bertutur dalam Lahjah Fasahah @standard. Dulu saya pernah suruh dia ikrab...haram tidak tahu.

Kalau dia berbangga darah Yaman...dia tidak tahu siapa latarbelakang saya. Selain darah bangsawan Melayu (nenek saya piut Sultan Siak dan datuk saya piut Sultan Pattani dan Riau), dalam diri ini mengalir darah al Idrus(sebahagiannya menjadi alim ulamak Terengganu..Tok Ku Syed Saggaf @ Engku Kelana Terengganu pangkat atuk kepada nenek saya) dan darah Perancis.

Friday, January 30, 2009

Kisah Anjing

Saya tidak berpeluang berehat sejak pulang dari Gaza 27 Januari lalu. Sampai sekarang banyak sekali tugasan tetapi tidak terasa penat. Saya kena korbankan masa demi mengenengahkan derita saudara yang sedang diancam kezaliman Yahudi.

Alhamdulillah setakat ini 3 episod telah ke udara dan menjadi tajuk berita utama Buletin Utama.

Setakat ini tidak sukar untuk saya mengolah cerita. Syukur kepada Tuhan kerana menganugerahkan bakat ini.Tetapi di sebalik ketekunan untuk melaksanakan amanah yang diberikan, ada suara sumbang, bukan dari jabatan saya, tetapi dari stesyen tv lain.

Kisahnya bermula sewaktu segerombolan wartawan daripada pelbagai anak syarikat membuat liputan di Gaza. Sebagaimana diminta saya telah membantu mencari tempat penginapan. Itu yang saya mampu.

Namun begitu ada seorang wartawan, menelefon rakan setugasnya di Malaysia memberitahu yang dia kesulitan untuk menghantar visual.

Si Mamat ...yang terkenal dengan fungsi kipasnya apa lagi terus menjaja cerita yang sama sekali berbeza kepada editor....Bukan tokok tambah, lebih dari itu.

Ketika diberitahu saya tersenyum...al maklum perangai mamat yang menghadapi masalah ini. Memang kaki canang...bukan pertama kali melemparkan fitnah terhadap saya. Peelnya masyhur kaki ponteng dan kelentong. Dalam bahasa ringkasnya...bodoh macam kaldai @ himar.

Selain saya ramai lagi yang pernah terkena fitnah mamat sekor ni. Bukan sekali masalah tingkah laku dia kedengaran...pernah keluar surat khabar. Sendiri mau ingatlah. Cermin muka sebelum mengata orang lain. Dulu saya difitnah dengkikan dia kerana dia menjadi pembaca berita...(setakat rating bawah 100 ribu apa kelas).Mamat sekor ni tidak tahu latar belakang saya, kalau nak jadi pembaca berita dah lama. Bukan sekarang.

Kerana mulut jahatnya..ada yang berhenti kerja dan ada yang menjadi mangsa kebencian bos (sekarang bos ni dah bla...satu spesis)

Pesan seseorang yang pernah menjadi mangsa..." Abang, anggap dia tu macam anjing. Siapa yang lalu dia akan menyalak. Ada banyak perumpamaan yang menceritakan tingkah laku anjing. Antaranya anjing kurap dan anjing tersepit".

Bagi saya kisah anjing dengan bayang-bayang menjadi pengajaran. Kerana tamak sanggup melepaskan tulang yang digonggong.

Secara ringkasnya saya kasihan dengan mamat ni kerana jarang jumpa lelaki yang suka canang cerita orang lain. Paling malang, bila jiwa anjing terperangkap dalam jasad manusia. Dalam bahasa mudah, rupa aja manusia tetapi hati budi macam anjing.

Percayalah satu masa nanti, sandiwaranya akan memakan diri. Hanya waktu yang akan menentukan. Kita tunggu dan dilihat.

Saturday, January 24, 2009

Khabarku

Sepanjang berada di Gaza....tetiba lirik lagu ini...bertandang, ada ketika sewaktu berkumpul dengan rakan setugas dari negara lain, saya hayati dengan perlahan satu persatu seni kata yang tersirat makna mendalam. Di tengah kekalutan antara hidup dan mati, saya mengharap seseorang akan mengikrarkan kata sayang....saya menunggu atau terus berada di sini.


Ketulusan Hati

Cintaku tak berdusta
Tak mengenal ingkar
Tak kenal nestapa

Cintaku hanya indah
Hanya bahagia untuk selamanya

Apa yang kurasakan ini
Persembahan untuk dirimu
Kau biarkan kasihku

Mencintaimu tak mengenal waktu
Tak mengenal puitis
hanya tulusnya hati

mencintaimu tak mengenal ragu
keyakinan hatiku
hanya untuk dirimu
selalu

Cintaku tak berdusta
Tak mengenal ingkar
Tak kenal nestapa

Tak ada seribu janji
Hanya bahagia
untuk selamanya

Apa yang kurasakan ini
Persembahan untuk dirimu
Kau benarkan kasihku

Mencintaimu tak mengenal waktu
Tak mengenal puitis
hanya tulusnya hati

Mencintaimu tak mengenal ragu
Keyakinan hatiku
hanya untuk dirimu selalu

Apa yang kurasakan ini
Persembahan untuk dirimu
Kau dengarkan kasihku

oooo

Mencintaimu tak mengenal waktu
Tak mengenal puitis
hanya tulusnya hati

Mencintaimu
tak mengenal ragu
keyakinan hatiku
hanya untuk dirimu selalu

Saturday, January 17, 2009

Misi

Hari ini...masuk hari keempat saya berada di bumi Firaun. Panggilan yang paling sesuai kepada penduduk di sini yang suka mengencing orang asing. Negara yang kaya dengan penipuan dan rasuah.

Percubaan saya untuk memasuki al Aris masih tidak berjaya..karenah birokrasi yang melampau. Arab ini satu bangsa yang perasaan dia yang bagus. Saya tidak menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi, tetapi kerana menggunakan slanga standard @ fasahah, saya sering ditipu. Mereka bercakap dalam bahasa pasar. Cinabeng betul Arab ni.

Kalau naik teksi yang harga 10 geneih...nanti dia minta lagi 5 geneih. Itu mujur 10 geneih...jarang dapat tambang murah macam tu. Mesti 30 geneih ke atas walaupun jarak tidak sampai 10 km. 10 geneih bersamaan 6 rm.

Saya ada tujuan di sini. Melakukan tugasan yang besar selain membawa perasaan. Saya tidak pandai bermain kata, saya ingin menjadi manusia yang jujur. Saya harap selepas pulang (itu janji saya) masih ada peluang dan keadaan akan memihak kepada saya.

Mungkin esok atau lusa saya akan mendapat kebenaran memasuki al Arish atau Gaza.....saya akan tumpukan sepenuhnya pada misi ini.

Kata2 Yzmier dan Esah Maria " departured as one piece and come back as one piece"....akan saya ingat. Terima kasih.

Tuesday, January 13, 2009

Selamat Jalan

16 hb Januari genap usia saya 39 tahun. Lazimnya saya akan menyambut hari kelahiran jauh dari sini. Ingatkan tahun ini ingin sendirian lagi menyambut di sebuah pulau, tetapi tidak sangka saya mendapat 'hadiah' paling beharga.

Tugasan ke Gaza....wowww tetapi ia satu amanah yang berat.

Pelbagai reaksi yang diberikan kawan-kawan. Tetapi ramai yang positif. Saya akan cuba melakukan yang terbaik. Insya Allah jika tiada aral melintang, saya akan berlepas malam ini. Matlamat saya hanya satu, mendapatkan liputan yang yang berkualiti. Hanya itu yang dapat saya lakukan untuk membela nasib penduduk Palestin.

Soal ajal maut itu di tangan Tuhan. Panjang umur jumpa lagi...doakan saya selamat pergi dan kembali.

Sejak semalam mengemas barang. Terjumpa cd lagu Sudirman. Tidak puas dengar lagu Patah Hati yang kemudian dinyanyikan semula Siti Norhaliza.

Kepada pembaca blog saya halalkan segala kesilapan anda ada kekasaran yang tidak disengajakan. Apa yang ditulis selama ini, lahir dari hati yang ikhlas.

Saturday, January 10, 2009

Lakonan

Selama ini naluri dan logik saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan benda janggal yang berlaku. Tetapi kerana berbaik sangka saya ketepikan itu semua. Dalam erti kata lain cuba melihat sesuatu dengan positif.

Tetapi kalau berlaku di depan mata dan dia yang terbabit masih menafikan dengan pelbagai pertanyaan untuk menidakkan perbuatannya (bukan alasan), apakah jadahnya nak positif lagi.

Mesej saya mudah, teruskan drama kerana lakonan yang dibawa selama ini memang berkesan. Dengan maruah dan harga diri yang ada saya tidak ingin terbabit dengan sebarang sandiwara.

Apa yang berlaku memang tepat pada masanya, kerana mulai minggu depan kelibat saya bukan lagi di sini. Saya tidak perlukan permohonan maaf...apatah lagi penjelasan. Dalam ertikata lain, boleh BLAAAA.

Terima kasih masa, kerana memberi jawapan pada kesabaran saya selama ini.

Untuk dia...bakat semulajadi memang berkesan untuk membawa apa jua watak...teruskan. Siapa tahu untuk siri drama selanjutnya ada award yang menunggu.

Friday, January 2, 2009

Stamina

Selepas 2 bulan lebih mencuba, akhirnya saya mendapat hasil yang memuaskan. Berat badan berjaya diturunkan kepada 63.5 kg. Saiz pinggang juga mengecil kepada 31 cm. Sejak sebulan lalu ia kekal dengan angka itu. Selepas Hari Raya Aidil Fitri berat badan naik kepada 68 kg dan sekarang alhamdulillah, ia mencapai apa yang didamkan.

63.5 kg adalah sama sewaktu habis belajar. Ketika itu saya pergi 'medical check up' selepas terima tawaran sebagai Pegawai Tadbir Negeri. Itu cerita 14 tahun dulu. Kini selepas berhempas pulas, tiada yang mustahil.

Sebenarnya ia bukan usaha yang mudah, selepas ini saya perlu konsistan.Kalau tidak ia akan membelon semula. Saya akan terus mengamalkankan 'carbo diet', lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Pengambilan protein juga perlu ditingkatkan untuk pembentukan otot yang lebih pejal. Ini penting untuk penerampilan. Kalau tidak nampak kurus melidi.

Lemak di bahagian perut tinggal lagi seinci. Geleber masih ada sebab itu saya kena lebih banyak lakukan seat up. Bagaimanapun ia perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana perlu minimakan beban di bahagian belakang, kalau tidak naya, sebab saya mempunyai masalah slip disc.

Tiada apa yang lebih merangsangkan untuk terus aktif dari bidang sukan selepas saya mendapat semula stamina. Dalam usia sekarang ia bukan sesuatu yang mudah. Tetapi faktor umur bukan penghalang walaupun mustahil untuk kembali aktif seperti waktu usia remaja.

Sekarang saya juga kembali semula berenang. Saya akui memang pancit untuk menamatkan 100 meter bagi gaya kupu-kupu dan kuak lentang. Tetapi bagi acara kesukaan, gaya bebas dan kuak dada....jangan terkejut saya masih menguasainya. 20 pusingan tanpa henti dengan catatan masa di bawah 18 minit. Saya berenang di kolam renang yang menepati piawaian Majlis Olimpik Malaysia. Bukannya kolam kokak.

Keinginan juga ada untuk bermain semula tenis, tetapi saya takut ia akan memberi kesan kepada sakit belakang. Kena sabar dulu.

Thursday, January 1, 2009

Selamat Tahun Baru

Tiada yang menarik untuk saya tulis sempena tahun baru 2009. Segalanya angka yang berlalu. Bak kata ahli falsafah, kehidupan bermula pada satu titik dan berakhir pada satu titik.

Semalam saya sengaja tidur seawal mungkin. Biarkan saja ia beransur pergi.

Saya mengenali sambutan tahun baru seawal usia 10 tahun. Masih saya ingat ketika itu Pak Heinz datang dan lama duduk di 708. Sewaktu bersembang dengan Tok Ki dan ahli keluarga yang lain, dia membayangkan ingin memeluk Islam dan menggunakan nama Mustapha, tetapi sayang tiada hidayah. Tahun lalu Pak Heinz meninggal dunia dan kekal sebagai seorang Kristian. Sebagai amanat, mayat dibakar dan disemadikan di German.

Semasa menyambut Ambang 80, dia buat perangai gila-gila. Itulah yang membuatkan saya teringat sampai sekarang. Masa tu rakyat Malaysia tidak kisah sangat pasal sambutan tahun baru. Pak Heinz hairan sebab masa dia dok kira detik 12 malam...suasana sunyi sepi di Kuala Terengganu. Kata Pak Heinz kalau di Paris, riuh dengan bunyi hon dan orang menjerit-jerit.

Itu cerita 28 tahun dulu, sekarang mungkin sudah berbeza di Kuala Terengganu. Sayapun telah lama tidak berada di sana. Balikpun sekali sekala.

Sekarang dah masuk Januari. Pertengahan bulan ini usia saya meningkat lagi. Itu realiti yang sesiapapun tidak dapat ingkari. Oleh kerana sering lupa tarikh hari jadi, saya akan mengambil cuti dan berada jauh dari tempat kerja. Tahun lepas di Chiang Mai. Cukuplah saya sambut secara sendirian. Tiada kucupan dari sesiapa hanya sekadar sekeping kek, secawan kopi dan sebatang cerut.

Januari juga membawa satu detik manis....27hb, saya mengenali seseorang. Tetapi sayang seribu kali sayang harapan kami punah di tengah jalan.

27 Januari juga menjadi saat saya bertarung dengan maut apabila superbike saya melanggar kereta Volvo di Johor Bahru. Akibatnya sampai sekarang saya menderita " slip disc".