Sunday, November 30, 2008

Nak Pergi Mana

Esok saya off. Sebagai persiapan untuk pesta makan, tadi saya work out hampir dua jam setengah dengan membakar lebih 1350 kalori. Berat badan saya sudah mencapai tahap ideal dengan 65 kg. Saiz pinggang pula menurun ke 31. Apa yang perlu saya lakukan sekarang mengimbangi pemakanan dan senaman. Itu mustahak, jika tidak saya akan jadi terlalu kurus atau badan akan naik semula.

Bercakap mengenai esok, ia juga menjadi penentu sama ada Sidang Kemuncak ASEAN di Chiang Mai pada 13 hingga 18 bulan depan diteruskan atau tidak. Setiausaha Agong, Dr. Surin Pitsuwan dilaporkan telah menemui Perdana Menteri Thailand, Somchai Wongsawat dan terdapat kemungkinan ia ditangguhkan. Saya berharap ia akan diadakan di tempat lain, yang pasti bukan di Kuala Lumpur.

Sepatutnya 18 Disember ini, saya menjadi pengacara pada majlis persandingan sepupu, Esah Maria di salah sebuah hotel di Shah Alam. Pertembungan dengan Sidang Kemuncak ASEAN memberi saya alasan untuk menggelakkan diri. Kalau sidang kemuncak ditangguh apa alasan? Nak pergi mana?. Saya sebenarnya kurang selesa berdepan dengan sebahagian saudara mara yang mementingkan status. Saya faham majlis resepsi itu diadakan hanya membabitkan keluarga terdekat. Tetapi saya adalah saya. Ada sesuatu yang menyebabkan saya menjarakkan diri dari mereka. Terlalu peribadi untuk ditulis di sini.

Tahun ini juga saya tidak berpeluang ke Darfur. Saya terima dengan hati yang redha. Mungkin tahun depan kalau panjang umur. Meskipun berada di Malaysia, jiwa ini sentiasa bersama penduduk Darfur. Mereka terlalu istimewa di hati saya.

Erti Kemanusian.


BIARPUN sudah membina kehidupan baru di Australia, pelarian Vietnam ini masih mengingati pemergian ahli keluarga tersayang yang terkorban dengan menziarahi perkuburan mereka di Kelantan setiap tahun.

TARIKH 30 November 1978, sebuah bot dari Vietnam sarat membawa 320 penumpang menempuh perjalanan perit, terpaksa berlabuh dari Pantai Bisikan Bayu, Semerak, Kelantan.

Ketika gelora tengkujuh memuncak biarpun kira-kira 300 meter dari pantai itu, mereka lari daripada kekejaman rejim komunis di negara bergolak itu dalam keadaan keletihan.

Malang, mereka gagal mendarat dan ‘tersangkut’ di situ seketika kerana isu suaka politik tetapi sehari kemudian, bot dinaiki dengan bayaran cukup tinggi, pecah dihempas ombak.

Ketika mereka membayangkan menemui kehidupan baru, tiada dapat menolong sesiapa dan seramai 171 orang yang tidak lagi berupaya berenang mati lemas.

Mayat ditemui bergelimpangan di pantai Semerak dan Bachok. Sejumlah 123 dikebumikan di Tanah Perkuburan Thai di Kampung Ketik Buluh dalam satu liang besar.(sumber akhbar Kosmo)

Ketika kecil saya selalu melintasi penempatan sementara pelarian Vietnam di Chabang Tiga, Kuala Terengganu. Keinginan untuk tahu amat tinggi. Dari dalam kereta saya akan menjengah dan bertanya Tok Ki, kenapa mereka ada di situ? Jawapan yang diberikan amat mudah," negara mereka berperang".


Walaupun seawal usia 5 tahun, setiap kali di kawasan berkenaan saya akan menoleh, seperti ada sesuatu yang memanggil, rasa ingin tahu amat tinggi. Bila saya seperti teruja meminta kereta diperlahankan, abang saya akan menyakat, pergilah turun, muka dah macam Vietnam duduk sekali".

Sesekali Tok Ki ajak bersiar-siar dengan sepupu yang lain, ketika itu Momoo membuat keputusan untuk menetap di Kuala Terengganu selepas bertugas dengan Pusat Kebudayaan Perancis di Saigon. Gaspard dilahirkan di sana. Saya masih tidak memahami apa-apa bila Mamoo bercerita mengenai Vietnam Selatan, yang saya tahu Komunis jahat dan Amerika baik....(kemudian saya amat membenci dasar Amerika Syarikat)

Peristiwa yang saya lihat menjadi penyingkap awal untuk mengenali erti kesewarjagatan. Membenci peperangan, penindasan dan memahami erti kemanusian. Ini semua sebenarnya menjadi perangsang yang kemudian mempengaruhi saya supaya menjadi seorang wartawan.

Saturday, November 29, 2008

Oh Sheila


Di sebalik kepenatan mengikuti krisis tebusan di Mumbai dan kepungan penyokong Perikatan Rakyat Untuk Demokrasi- PAD di Bangkok, tumpuan tidak leka kepada penyanyi pujaan, Sheila Majid yang akan menunai ibadat haji kali ini.

Kehebatan Sheila, penyanyi irama Jazz nombor satu negara tidak pernah tergugat sejak muncul di persada seni lebih 20 tahun lalu.Beliau mempunyai keunikan tersindiri dan akan terus kekal di hati peminatnya sebagai penyanyi yang berprestij.

Saya pernah bertemu Sheila beberapa kali. Ia menjadi saat yang sukar diungkap dengan kata-kata. Pernah semua orang memandang ke arah saya apabila bertembung dengan beliau di salah sebuah restoran di Sungai Buloh. Secara spontan terpacul suara dengan kuat, "SHEILAAAAA".

Kerana Sheila Majid juga saya bersama dengan Bojong dan Amran dihalau dari dewan kuliah kerana menyanyikan lagi Kau Laksana Bulan sewaktu pensyarah sedang mengajar. Lagu itu selalu kami tujukan kepada Amran kerana ada dialog "Aku ingin mati Azizah...dan aku juga tidak ingin hidup Amran, tapi sabarlah Tuhan bersama orang yang sabar".

Sheila selamat menunaikan rukun Islam kelima. Semoga mendapat haji yang mabrur, doa ikhlas dari seorang peminat kerdil yang setia.

Friday, November 28, 2008

Rokok Oh Rokok

Bukan mudah meninggalkan apa yang bersarang di jiwa sejak 24 tahun lalu, rokok menjadi sahabat karib. Teman di saat suka dan duka. Saya mula menghisap rokok seawal usia 14 tahun. Saya masih ingat ketika itu cuti penggal dan saya gunakan garaj kereta 708 sebagai sarang melepaskan gian. Dalam usia semuda itu, segalanya ingin mencuba.

Alasannya mudah, ingin jadikan rokok sebagai perangsang untuk belajar dengan lebih tekun. Sejujurnya ketika itu saya tidak pernah menghisap rokok di asrama atau kawasan persekitaran sekolah. Saya berani selepas habis SRP.

Sejak tiga minggu lalu, sebatang rokokpun tidak saya sentuh. Satu permulaan yang baik. Godaan tetap ada tetapi saya kena fokus kepada apa yang sedang dilakukan....berhenti merokok. Ia bukan perkara mudah. Kalau culas, mungkin sekali lagi saya akan tewas. Kekadang terbayangkan Dunhill, Marlboro dan Salem. Tiga jenama yang sering melengkapi bibir saya sejak dulu.

Dulu pernah berhenti lama juga, hampir dua tahun. Tetapi ia kantoi semula bila saya pergi cuti sorang-sorang. Tidak ada kawan, akhirnya rokok jadi peneman. Dengan tugasan di luar di tempat yang terpencil, ia menjadi dugaan. Paling berat untuk meninggalkan rokok ketika berkhemah dalam hutan. Tembakau mempunyai peranan, selain menghalau nyamuk dan unggas ia mempunyai nilai perubatan seperti menghentikan pendarahan akibat gigitan pacat dan sebagainya.

Rokok oh rokok....mungkinkah kita akan bercerai talak tiga.

Monday, November 24, 2008

Suatu Subuh Yang Bening

Secara tiba-tiba teringat sebuah buku yang saya baca 22 tahun lalu, Suatu Subuh Yang Bening...ia merupakan himpunan cerpen-cerpen penulis tanah air.

Salah satu bertajuk Baboon. Ia adalah watak di dalam sarkas, di mana manusia terpaksa bertopengkan Baboon untuk menipu penonton. Bagaimanapun ia akhirnya terbongkar apabila dua watak dalam cerpen itu mendedahkan identiti satu sama lain, yang mereka adalah manusia yang selama ini bersarungkan kulit Baboon, semata-mata untuk mencari nafkah.

Dialognya masih saya ingat sampai sekarang. " Kalau kita jujur kita akan terbujur".

Persoalannya, apakah manusia semakin kehakisan nilai sehingga sanggup menipu orang lain untuk mencari sesuap nasi. Adakah manusia terlalu kebendaan dalam melayari kelangsungan hidup. Di mana letak nilai moral?

Perlukah kejujuran dikorbankan semata-mata untuk nafsu? Persoalan demi persoalan bermain di fikiran.

maruah@harga diri@ego

Masih tidak terlambat untuk saya kembali ke pentas realiti. Kekadang kita terleka dan terlupa dek sandiwara diri sendiri. Mungkin itu sebahagian apa yang dipanggil falasi. Dalam merangkak hayat nyawa yang singkat, tanpa prinsip, nilai dan persekitaran hidup sebagai pedoman, kita mungkin tewas pada lantunan perasaan.

Apa yang menjadi persoalan, bagaimana untuk memastikan diri tidak terpedaya dengan ulitan itu? Ahli falsafah Greek telah memberi jawapan lebih 2500 tahun lalu.

Menurut Socrates, beza manusia dan haiwan terletak pada fikiran. Persoalannya, tanpa rasional di mana kedudukan kita sebagai manusia?.

Bersandarkan natijah itu, saya menggunakan akal untuk membuat keputusan, walaupun ia ditafsir sebagai "rude" @ biadab@ kurang ajar @ kasar. Dengan kekuatan akal saya cuba pinggirkan sentimen perasaan dan melihat dari sudut logik.

Bagi kebanyakan aliran pemikiran falsafah seperti Deisma dan Realisma, akal berada di puncak dan ia adalah pemicu dalam melentur peribadi insan menjadi makhluk yang bermaruah dan mempunyai harga diri.Itu yang saya cuba nikmati sekarang.

Selepas membuat keputusan, sekira ada saki baki perasaan, lebih baik saya infakkan untuk diri sendiri.Jika ingin dikongsipun saya akan gunakan akal supaya tidak lagi tersalah memberi. Paling penting yang menerima tidak jadi seperti si kudung mendapat cincin.

Sunday, November 23, 2008

Derita Anak Seni

Sepanjang minggu ini, satu demi satu penderitaan artis diketengahkan. Kisah pelawak terkenal Datuk Yahya Sulong yang mengidap sakit lelah serta ketidakmampuan untuk membayar bil rawatan dan terbaru kisah penulis lirik Kerana Terpaksa, Seri Bayu yang menderita sakit saraf motoneuron disease.

Derita yang ditempuhi, satu lagi kisah tragis insan seni. Sudahlah terlantar, isterinya, Erema, seorang penyanyi sanggup menuntut cerai....Di mana janji sehidup semati, susah senang bersama. Bak kata cendekiawan, hanya masa yang boleh menentukan keikhlasan. Selain tiada kudrat, Seri Bayukini kini hampir hilang segala-galanya.
Menjadi anak seni tidak seindah berita yang ditulis. Tidak semua bintang akan bergemerlapan. Di sebalik tabir gemerlip tersembunyi seribu satu kisah. Ramai insan seni yang terpinggir walaupun banyak persatuan yang diwujudkan untuk membela dan menjaga kebajikan mereka.

Nama insan seni seperti R. Azmi, Mak Enong, Norizan, A. Rahim adalah sekelumit khazanah bernyawa yang pergi tanpa dihargai. Kita menyanjung bakat mereka tetapi apa yang dilakukan untuk memertabatkan anak seni supaya mereka tidak terus terpinggir.

Mungkin sudah menjadi trend, insan seni akan dikenang selepas tiada.Itupun seketika saja.Paling tidak dijadikan bahan berita sama ada untuk menambahkan rating tv atau melariskan jualan surat khabar. Sungguh malang insan seni kerana bakat dan nama terus diperguna tanpa mereka mendapat apa yang sepatutnya.

Bila terfikir apa yang berlaku, di mana fungsi anak seni yang dilantik sebagai Senator. Tan Sri Jins Shamsuddin, hentikan lakonan dan sikap hipokrit, jalankan tugas untuk membela anak seni, bukannya menjadi pengampu...Setakat ini, apa yang dilakukan beliau sepanjang dua penggal dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Saturday, November 22, 2008

Nakal 2

Sambungan...

Masih saya ingat, betapa filem Bobby meninggalkan kenangan yang mendalam. Orang Terengganu panggil saya "mu-'e" dalam ertikata yang lain, terlebih manja. Kekadang kelebihan yang diberikan mungkin rasa simpati dek latar belakang saya. Ada Che Lat, Mak Dayang dan ramai lagi yang selalu beri perhatian. Mungkin juga masa kecil, saya cute dengan rambut perang serta mata sepet yang bewarna coklat.
Bila filem Bobby ditayangkan di Kuala Terengganu, kakak saya bawa saya tonton. Itu pusingan pertama. Bila pusingan kedua, saya tidak lagi diajak, giliran orang lain pula. Kali ini abang saya dibawa. Saya tidak puas hati. Bila semua masuk kereta Tok Ki untuk dihantar ke panggung (K. Trg ketinggalan dalam segala segi mana ada sistem pengangkutan masa tu kecuali beca). Saya melalak. Semua buat tidak peduli. Untuk tarik perhatian, saya ambil batu dan balingkan ke arah tingkap tidur Tok Ki. Ia berderai. Bila Tok Ki keluar kereta, saya lari dan masuk sembunyi ke dalam garaj.

Selepas Tok Ki meninggal pada 6 Jun 1982, setiap kali terpandang tingkap yang pecah, ia membuat saya rasa bersalah. Kerana kejahilan juga, ketika Tok Ki tidak lagi bernyawa, saya tidak tahu nak baca apa. Cuma mampu pegang surah Ya Siin. Borrispun sama. Saya pada masa itu buta al Quran, cuma tahu baca al Fatehah.
Kenakalan juga membuat saya tidak disenangi saudara mara. Pada masa itu saya amat naif apabila ada yang sindir dan cuba kaitkan kenakalan itu dengan seseorang yang mana darahnya mengalir dalam diri saya.

Bagaiamanapun ia mulai beransur kurang apabila umur meningkat 10 tahun. Saya menjadi lebih bertanggungjawab. Tetapi bagi arwah nenek saudara, apabila ada pertengkaran, insiden atau apa sahaja, saya akan terus ditunding jari dan dengan kuasa dia sebagai " orang tua" dia akan mempengaruhi Wan atau emak supaya pukul saya. Itu kisah lama, saya telah maafkan dia.

Borris selalu menjadi mentor dan saya protogenya dalam melakukan sesuatu yang kreatif. Naik bukit dan melastik bumbung Sekolah Chun Hwa Wei Sin...paling syok kami mabuk kerana hisap rokok Gudang Garam merah. Tidak jumpa cari pintu rumah, kedua-dua terbungkam di tangga.

Paling best kami main lompat ala-ala jongkang jongkit (orang Terengganu sebut congget canggung). Tanpa saya sedar di hujung kayu ada telur cicak. Bila Boris lepaskan kayu, dan beban pergi kepada berat badan saya telur terpelanting dan masuk ke dalam mulut. Bila rasa macam ada benda, saya ludah dan perasan.... itu telur cicak. Uwek....

Sepanjang tempoh kanak-kanak terutama selepas ayah dan emak pindah keluar dari 708, saya kurang mesra dengan adik beradik yang lain. Saya lebih rapat dengan Julie, Borris dan Clio. Itu kenyataan.

Pesta Makan

Nasi Dagang Terengganu. Makan dalam pinggan lama yang sempat saya selamatkan ketika 708 hendak dirobohkan. Terasa macam tahun 50an


Selepas dua minggu, sekali lagi saya memasak Nasi Dagang Terengganu. Lauk ikan tongkol dan telur rebus. Saya masak untuk 15 hingga 20 orang makan, selain menjamu tetangga dan menghantar ke rumah kakak, selebihnya saya sedekahkan di pejabat.
Sebenarnya susah hendak dapatkan Nasi Dagang Terengganu yang rasanya sama seperti dari negeri asal. Memasaknya bukanlah sukar sangat cuma, ada peraturan dan tidak ada jalan pintas. Jika tidak ikut, memang rasanya akan lari.

Proses bermula dengan mencari ikan tongkol. Orang Terengganu panggil ikan aye. Kena rebus satu hari satu malam dengan asam keping, garam dan gula melaka. Kuahnya pula tidak boleh ditumis, sebaliknya dimasak perlahan selama 8 jam, sehingga hitam dan pekat. Beras pula perlu direndam 8 hingga 9 jam. Dikukus dua kali dan terakhir baru disiram santan pekat.

Saya tahu mengadun sendiri rempah, tanpa membeli yang segera. Satu resepi yang saya sempat warisi dari keluarga kami. Saya masih gunakan periuk tembaga dari istana, yang berusia 130 tahun lebih, supaya dapat" feel" macamana nenek moyang kami satu ketika dahulu menyedia dan menghidangkan makanan ini di istana.

Paling penting bila memasak saya tidak mahu "authentic" lari. Tidak ada jalan pintas. Jadi saya kena masak ikut prosedur, sebagaimana sepatutnya. Walaupun tidak sesedap air tangan keluarga saya, sekurang-kurangnya rasanya tidak banyak lari.

Bila siap, saya ajak kawan-kawan dan jiran datang ke rumah. Mereka makan sikit, tapi saya sampai tiga pinggan. Macam kena rasuk. Bila balik dari pejabat dan selepas work out 1000 kalori di gym, tambah lagi dua pinggan. Keseluruhan saya makan hari ini, lima pinggan. Hancur diet.

Bila dah kenyang saya tersengih teringat kisah Boris dan Gaspard yang teringin makan nasi lemak sewaktu cuti Krismas di Switzerland tahun lepas. Dari Paris mereka bawa ikan bilis, cabai dan bawang, terlupa satu bahan penting. Bila sampai di Bern mana ada kedai jual asam jawa. Untuk ganti dia letakkan sos tomato, untuk buat sambal ikan bilis. Mana jadi? Oh ye masa saya di Paris, harga sepinggan nasi lemak, 12 Euro. Sebab teringin sangat saya makan dengan Gaspard dekat Malaysiana Restaurant di Paris de Nord. Dua orang makan dah jadi 24 Euro, cuba kali dengan 6....mahal giler. Teh tarik 3 Euro..tu pun cawan yang ciput jer.

Kisah Lama

Tadi work out dapat 1000 kalori lebih. Satu kepuasan. Semalam saya dapat keputusan pemeriksaan kesihatan. Alhamdulillah, tiada apa yang sangkut. Semua biru.

Sepanjang work out, saya teringat kisah lama. Kenakalan saya sewaktu kanak-kanak. Seingat saya dari usia 4 tahun ada sahaja percubaan yang dilakukan.

Sewaktu banjir, saya pernah turun tangga, dan menyelam dalam air, nasib baik kakak saya sempat tarik rambut. Masa tu saya dah tenggelam. Semakin berusia semakin berani mencuba. Ketika berusia 5 tahun, saya pernah dikurung dalam reban ayam serama kerana pusing kampung tanpa pengetahuan sesiapa. Bagi keluarga kami keluar dari kawasan halaman rumah 708 tanpa pengetahuan adalah satu kesalahan. Kami tidak dibenarkan berkawan dengan orang kampung. Dunia kami hanya dengan adik beradik, sepupu dan dua pupu yang akan sentiasa datang ke rumah. Arwah Tok Ki bijak selalu umpankan mereka dengan ais krim dan makan percuma.

Ketika umur 6 tahun saya kena gigit dengan beruk....salah saya pergi menyakat binatang tu. Baling selipar ke arah beruk, bila ia buat tidak endah, saya pergi ambil. Masa beruk yang dah lama tension kat terpa dan gigit kepala. Satu kampung kecoh, beruk Setia kerkoh (gigit) cucu Haji .......

Bila masuk darjah satu, lagi hebat. Pergi dan balik sekolah adalah kerja Pak Weil. Dia akan hantar dan bila balik dia akan tunggu. Satu hari, saya ajak sepupu saya, Ipin balik jalan kaki, keluar ikut pintu belakang. Masih saya ingat, kami redah bukit, bila lapar singgah rumah saudara, makan tengahari. Bila pukul 4 petang baru sampai rumah. Masa itu semua orang kecoh ingat saya kena culik, tapi dengan selamba buat tak tahu. Che Lat yang mengasuh saya paling risau. Bila sampai umah Wan saya marah, tarik telinga. Apa lagi saya melalaklah.

Kenakalan saya semakin menjadi bila cukup geng. Boris dan Clio serta saya. Trio masa kecil yang banyak aktiviti kreatif. Tetapi kami bila bergaduh suka gigit satu sama lain. Bila main pondok, orang suruh makan olok-olok batang pisang, saya makan betul-betul, kesudahannya berbuih mulut.

Tetapi ada sesuatu yang akan saya kenang sampai mati. Terperangkap dalam kebakaran. Ketika itu hujung minggu. Selain 708, kami mempunyai satu lagi rumah di Gong Badak (sekarang masjid KUSZA). Bila hujung minggu Tok Ki dan Wan akan bawa cucu-cucu naik Volvo Putih plat TA 50 ke sana. Bila lama tidak ke sana, lalang merimbun.

Tok Ki dan Wan kemudian menebas, biasalah, cara mudah untuk membersih kawasan. Bukan kecil....2 ekar. Kebetulan masa itu musim kemarau. Jadi untuk mudah, Tok Ki menyalakan api. Tiba-tiba angin berubah dan menghala ke arah saya yang keseorangan di tengah lalang. Saya berkaki ayam. Masa tu saya tidak boleh buat apa kecuali menjerit dan menangis. Sepupu saya, Alice terus meredah api, selamatkan saya. Dia kendong dan bawa ke porch rumah. Saya menangis dan cakap panas...panas..kaki Al....panas. Alice yang ketika itu darjah 5, ambil air jirus ke kaki saya, apa lagi, terus membengkak dan gelembong.

Wan kemudian datang sapukan putih telur, tetapi terlambat. Kaki saya dan membusung.

Bila balik, Alice jaga saya. Nak ke tandas dia dukung, lukiskan saya gambar. Indahnya kenangan pada masa itu. Hubungan saya dengan Alice terus akrab, sehinggalah dia terpedaya dengan al Arqam.

Kali terakhir saya berjumpa dia 4 tahun lalu. Kami tidak lagi bercakap banyak atau bertukar cerita seperti masa kecil. Dia saya anggap seperti kakak kandung kini tidak lagi seperti dulu. Paling tidak saya mendoakan kebahagian dia. Insan yang satu ketika dulu banyak mendidik saya supaya menjadi seorang yang berfikiran. Julie Alice....terima kasih.

Kenakalan saya juga pernah memalukan kakak saya...(sekarang Puan Sri, yang saya enggan jumpa). Satu petang, dia ajak saya naik basikal bersiar-siar. Dia pakai skirt yang ada tali dikat di belakang. Ketika dia sedang mengayuh dengan laju, saya buka tali dan masukkan ke dalam rim. Apalagi, ia tetas dan terburai sampai nampak bra...

Banyak lagi kalau hendak tulis. Semoga anak saya tidak mewarisi kenakalan ini. Ada sambungan...termasuk insiden tertelan telur cicak.

Friday, November 21, 2008

Comolot

Antara percaya dengan tidak apa yang berlaku di depan mata semalam. Ceritanya ringkas. Si A merupakan seorang senior yang tidak lagi berada di jabatan kami. Dulu dia pengurus. Bertahun-tahun ditukarkan ke jabatan lain. Si B pula junior saya yang baru dinaikkan pangkat.

Sebelum ini si A pernah tanya saya mengenai si B, timbulkan persoalan macamana si B boleh dinaikkan pangkat. Siap kutuk lagi. Nasib baik saya sudah masak dengan permainan politik pejabat. Jawapan yang diberikan mudah, " no komen, rezeki dia". Jika tidak, naya.

Drama yang berlaku memberi 1001 pengajaran kepada saya. Betapa manusia yang mempunyai perwatakan plastik, depan comolot, belakang hala bontot. Saya telah lama serik dengan si A yang akan berkawan jika ada kepentingan. Saya bukan di tahap pengurus, jadi dia merasakan tidak sepadan dengan dia. Itu hakikatnya.

Tuesday, November 18, 2008

Positif

Masalah ada di mana-mana. Dari masalah peribadi sehinggalah ke masalah pejabat. Saya cuba atasi ini semua dengan cara yang paling baik. Salah satunya dengan work out di gym. Selain bagus untuk kesihatan, ia membuatkan kita lebih fokus.

Sebaik habis kerja semalam, seperti biasa saya akan ke gym. Bila hampir pukul 9 malam, orang semakin kurang, ia bermakna saya lebih privacy. Selepas 3 hari tidak bertandang, saya mulakan senamaman selama satu jam. Saya dapat membakar 850 kalori. Melebihi sepinggan nasi berlauk ayam goreng dan teh tarik.

Saya teruskan lagi ke treadmill selama 40 minit, saya dapat membakar 300 kalori. Bersamaan secawan kopi dan dua keping roti bakar yang saya ambil untuk sarapan pagi.

Seterusnya saya melakukan bodyweight selama 30 minit. Saya anggarkan jumlah kalori yang dibakar mencecah 100 kalori.

Ia satu kepuasan tidak terhingga. Yang penting hendak seribu daya. Bila begini teringat pesanan pengetua kolej masa di UKM dulu. Jangan lupa bersenam. Kami panggil dia TSB....Tahu apa itu TSB, Tuan Salleh Botak. Dia cukup marah mereka yang malas beriadah. Lagipun kolej yang kami tinggal adalah khusus untuk mereka yang aktif dalam sukan.

Kalau tidak terpaksa dikeluarkan, kena tinggal di luar. Saya sendiri pernah mewakili universiti dalam kejohanan sukan, kononnya untuk menjadi perintis sukan dayung pada Sukan Komenwel 1998...apakan daya, kudrat tidak ada.

Paling pasti selepas beberapa tahun habis belajar, kami ada berjumpa dengan member lama yang dulu menjadi atlet. Tetapi sayang kebanyakan mereka nampak seperti mempunyai masalah berat badan. Wo Ang yang dulu menjadi pemain bola sepak dan mewakili UKM, sekarang dah boroi. Begitu juga dengan koc sukan kami Abang Husin, yang pernah mewakili Malaysia dalam bola lisut, dah berubah. Dia juga jadi boroi. Dulu kalau saya malas jogging Abang Husin dan isterinya Kak Ain Kwee Kong selalu kutuk. Kami dipaksa berjogging walaupun dalam hujan.

Sebaik habis belajar saya sendiri pernah berdepan dengan masalah berat badan. Ia pernah mencecah 80 kg walhal ketinggian saya 178 cm. Masa tu saiz pinggang saya mencecah 34 cm...ahhhhh muka bulat macam pinggan tambah. Selalu kena kutuk, sehinggakan Ku Mie Ku Man (Tengku Suhaimi Tengku Sulaiman) panggil saya Aroi....sebab boroi.

Saya sahut kutukan dengan positif. Dalam masa dua tahun dengan senaman dan diet seimbang, berat badan turun ke 66 kg dan saiz pinggang pula 31 hingga 32 cm.

Tipsnya mudah, kurangkan karbohidrat, gula dan garam. Lebihkan sayur-sayuran, buah-buahan dan protein putih. Hindarkan makanan ringan, msg dan minuman dalam tin. Minum air masak 3 liter sehari.

Bagaimanapun ia tidak akan menjadi tanpa senaman. Lakukan 3 kali seminggu selama satu jam pada setiap sesi. Insya allah akan nampak perubahan dalam masa 2 minggu.

Malam ini saya teruskan lagi work out...tetapi kena kurangkan. Jangan paksa diri. Paling tidak saya akan kekalkan 700 kalori seperti biasa.

Sunday, November 16, 2008

Selamat Malam Siang

Di mana arah untuk esok
Selepas kelmarin dionak ranjau
Ku gapai segala kudrat
Pada serpihan harapan

Ku kata pada impian
Jiwaku kembali kosong
Dalam diam ku merintih
Pada hiba ku menangis

Selagi puja purnama
Kembali bertaut pada kartika
Malamku tiada bintang
Kerana siangku selamanya gerhana.

Friday, November 14, 2008

Apa Reaksi

Ada persoalan menarik yang saya ingin ketengahkan di sini. Jika berjumpa dengan seorang yang pernah rapat dan sekarang tiada apa-apa lagi hubungan apakah reaksi anda?.



Saya fikir terdapat pelbgai cara dan tindakan spontan yang diberikan. Secara peribadi saya akan menegur. Itu secara profesional, lagipun ini selari dengan budaya orang Timur, bertegur sapa antara satu sama lain. Saya tidak merasa rugi.



Apa pula tafsiran orang yang ditegur. Kita hanya boleh mengagak. Mungkin dia segan sebab itu buat-buat tidak nampak. Mungkin juga takutkan seseorang atau hendak menjaga hati si dia. Hanya yang empunya badan yang tahu jawapannya.


Saya tidak boleh lupa kenangan, kerana sehingga saat ini, akal masih waras dan mempunyai ingatan yang masih baik.




Jika ada yang berkata, " aku sudah boleh melupakan dia". Saya akan jawab bohong. Hanya orang yang mempunyai masalah ingatan yang boleh berkata macam tu. Mana boleh lupa saat-saat manis dan mungkin duka yang pernah dilalui dalam hidup.




Apa yang boleh saya katakan di sini saya terima kenyataan apa yang berlaku. Mungkin ini takdir saya.




Thursday, November 13, 2008

kena kencing lagi


"Production hse belum dapat award lg".

Ringkas sekali sms dari member. Saya tanya bila nak bayar skrip yang disiapkan empat bulan lalu. Masa nak bukan main,mintak cepat dan sebagainya. Bila dah siap berbulan-bulan dok kemut duit.

Lagi insiden kena kencing dengan member. Prinsip saya, kalau ada rezeki tidak ke mana. Bukan sekali kena, dah berkali-kali. Ada yang bila kita jumpa buat selamba, macam tak ada apa yang berlaku.Wei duit aku, kau makan, aku tak halal. Tak apa Labu, dunia ni bulat, kaupun tidak akan senang mana.




Koniciwa

Sewaktu melakukan tugasan, saya perasan ada sesuatu yang tidak kena dengan sebutan bahasa Perancis. Saya perlu perbetulkan. Ini kerana sebutan dalam bahasa Inggeris amat meragukan. Saya perlu merujuk dengan keluarga saya yang arif dengan sebutan. Akhirnya selepas disemak memang telahan itu betul.

Canape Vertz disebut Kana-pe Var
La Promesse disebut La Pro-mess

Tetapi sebelum itu ada dialog yang menarik.

"Dia datang bercuti. Sekarang berada di Kuala Terengganu dan akan datang ke KL, sepatutnya pergi ke KL hari ini. Cantik sangat". Kata sepupu saya.

"Saya tahu dia cantik, darah Perancis campur Jepun, ". Saya jawab ringkas.

Perlukah saya jumpa? Tanda tanya yang berlegar di benak hati. Bukan itu sahaja, persoalan demi persoalan terus menujah fikiran.

Yang penting esok sehingga awal minggu depan saya tiada di Lembah Kelang. Saya perlu berada jauh dari sini.

Wednesday, November 12, 2008

November

Entah apa gerak hati, tetiba terlintas satu peristiwa penting yang berlaku pada bulan November,11 tahun lalu. Ya Allah masa memicu pantas. Satu malam di kala aku dan seorang kawan, makan roti canai di sebuah warung di Jalan Langkasuka, Larkin, Johor Baharu. Satu panggilan telefon yang mendesak aku membuat keputusan.

Ikatan yang cuba dipertahankan akhirnya lerai, dia mendesir esak tetapi aku tidak sanggup selamanya begini. Aku lepaskan dengan hati yang berat. Sejak itu aku hilang arah. Pedoman hidup pudar. Aku ikutkan apa juga kata hati. Akhirnya aku kehilangan segalanya. Kerjaya aku terjejas manakala hubungan dengan keluarga hampir musnah.

Ia menjadi saat yang paling sukar dalam hidup. Di sebalik kerumitan yang dilalui, ada yang mengambil kesempatan. Aku terus hanyut.

1 Mei 2000 aku kembali semula ke Kuala Lumpur dengan azam baru yang membuak, tetapi kata-kata manis membuatkan aku tewas lagi. Tiada siapa yang tahu, mengapa aku membawa diri ke Kota Kinabalu pada 2001. Sebenarnya ada sesuatu yang tersirat.

Hanya Tuhan yang tahu sepanjang 10 tahun lalu hidup yang dilalui sering terpalit keperitan, kesusahan dan ada ketikanya penghinaan. Segalanya menjadi tragedi. Biarlah aku letakkan kesalahan pada diri sendiri. Biar insan yang pernah dipuji aku merafaknya di martabat yang murni.Tetapi itu tidak bererti yang aku tidak mempunyai harga diri.


Di kala kau tersenyum aku menangis
Di kalau kau gelak aku meratap
Adakah ini hukum alam
Atau aku yang silap


Mengapa perhitungan aku khilaf
Mungkin kifayat dosa lalu
Atau karmanya begitu

Aku keliru
Pada perjalanan bernama kehidupan
Ku tetap mencari arah

Hidupku bukan minta simpati
Jauh sekali mengemis diri

Mungkin benar kata pujangga
Cinta ada di mana-mana
Adakala di balam-balam lorong hitam
Aku mencari nur cinta

Bolehkah ku hidup tanpa cinta
Kerana cinta pernah buat ku bahagia
Dulu cinta mengulitku bak di syurga
Tetapi kini...
Cintaku mati sebelum nafasku terhenti

RAA


Tuesday, November 11, 2008

Kawan Makan Kawan

"Ada tak kau mintak kerja kat *w**i tidak berminat ke nak join".

Pelawaan sahabat lama yang juga bekas warga Utusan Malaysia yang kini memegang jawatan penting di tempat baru.

"Aku tak mintak dan setakat ini masih belum terfikir untuk ke situ".

Jawapan ringkas saya sewaktu sama-sama menuruni tangga di Hotel Reinansance selepas selesai membuat tugasan US Election Watch minggu lepas.

Pelawaan kawan saya ikhlas, saya amat kenali dia. Walaupun sebaya, saya amat mengkagumi tulisan dia yang saya selalu sebut, tulisan yang bernyawa.

Dia kini membawa haluan juga ke dunia penyiaran. Memang tidak dapat dinafikan, stesyen tv berkenaan menawarkan gaji yang amat berbaloi. Tetapi saya khuatir untuk ke sana. Banyak faktor yang perlu diambil kira terutama dalam keadaan sekarang. Paling saya takut "pisang berbuah dua kali".

Di situ ada spesis makan orang. Bekas kawan saya yang bersifat talam dua muka. Cukup licik, dalam mengenakan member dengan membodek bos.Paling jelek mereka cerita yang bukan-bukan. Dulu dia ingat, dengan mencadangkan nama saya, yang mana kemudiannya saya dihantar ke subsidiari, dia akan mudah naik pangkat, tetapi kuasa Tuhan siapa tahu. Perhitungan dia silap. Kesudahannya, dia yang berhenti, selepas kipas yang dipasang memakan diri.

Bagi saya keihkhlasan bukan untuk diungkit, kejujuran bukan untuk ditayang dan kebaikan bukan untuk dipertonton. Tetapi bagi si Mamat ni, sesekali renung-renungkanlah. Saya tidak akan menuntut apa-apa di atas pengkhiatan persahabatan yang dilakukan sejak lapan tahun lalu. Perjalanan hidup masih panjang. Percayalah kita akan bertemu lagi tetapi tetapi ketika itu hanya sekadar kenalan.

Saya mengaku kini berada dalam dilema untuk mencari kerja baru.Kalau berhentipun, mungkin saya perlu mencari organisasi yang menjanjikan keselamatan yang lebih terjamin, terutama kepentingan pekerja dan tidak semestinya saya akan terus berada dalam dunia media.

Cerpen

"Maria jangan fikir sangat, kami ada di sini. Kalau nak kerja kat Kuala Terengganu, rasanya tidak ada masalah. Kalau nak mengajar bila-bila masa jer, habis pantang boleh mula".

Nong cuba menenangkan keadaan. Dia tahu, bapa dan ibunya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan ramai orang penting. Lebih dari itu mereka mempunyai pertalian saudara, termasuk dengan anak Maria.

Bagi ibu beranak lima itu, Maria yang berkelulusan MCE dari sekolah Inggeris sudah cukup syarat untuk mendapat kerja yang baik seperti menjadi guru. Paling tidak boleh kerja di pejabat gomen.

Di sebalik kesuraman wajah, Maria mengangguk. Tiba-tiba terpancul dari mulutnya.

"Tapi kak, saya di sini sehelai sepinggang, segala sijil sekolah saya tidak bawa, ada di Singapura".

"Jangan khuatir, kan nanti Nong temankan Maria ke Singapura. Kita pergi sekali dengan Tengku Chik Pakaian".

Bagi Nong, ia satu kesempatan untuk ke Singapura. Mudah ke sana dengan Tengku Chik, yang pangkat mak sepupu. Orang tua tu cukup mahir dengan selok belok Pulau Temasik. Pendek kata setiap bulan Tengku Chik berulang alik kerana menghantar tempahan songket dan membawa balik kain ela dan intan berlian untuk dijual di sekitar Kuala Terengganu.
Tempat menginap tidak jadi masalah kerana dia boleh tinggal sama ada di Istana Kampung Gelam atau Besorah Road. Ramai saudara mara di situ.

" Nantilah saya fikirkan"

Jauh di sudut hati Maria, ada sesuatu yang tersirat.

Bersambung...

Sunday, November 9, 2008

BIARKANLAH

BIARKANLAH BAHTERA RINDU ITU MENYUSURI PANTAI
LANTAS BERLABUH DI DERMAGA HATIMU
USAH KAU KIRIMKAN TAUFAN ATAU BADAI
LIHATLAH BAGAIMANA IA MEMUDIKI SUNGAI SETIA
LIHATLAH IA MENGHILIR LAUT AKRAB

BUKANLAH MENJADI DARMA
CAMAR TETAP SELAMANYA BEBAS
KEKADANG ANGIN BISA TERSALAH ARAH
KEKADANG PEMBURU MUNGKIN TERSALAH DENAI
JIKA UNDUR BERUBAH HATI
KASIH MENJADI LERAI
JIKA AIR TASIK CINTA MENJADI USAK
AKU BELAJAR TIDAK MENYESALI NASIB

KALAU ORANG BERTANYA
MANAKAH PALING UTAMA
ANTARA RINDU
KASIH
KEMESRAAN
ATAU KESETIAAN
KU KIRA ADA BAIKNYA KU PILIH KESETIAN

HATI YANG SUCI BUKAN RUNTUNAN NAFSU
HATI YANG IKHLAS BUKANLAH KETINGGIAN NAMA
SESEKALI KITA MENJADI DARWIS
DEMI MENGUJI KESEMPURNAAN JIWA
RAA & KM....1997

Nak Cuti

Selepas lapan hari bekerja, hari ni saya dapat off. Saya mulakan pagi saya dengan memasak Nasi Dagang Terengganu. Kepakaran yang saya pelajari dari keluarga saya. Saya makan sedikit, selebihnya saya hantar ke pejabat dan bagi kat member-member yang lain.

Selepas makan pergi work out, cuma dapat 550 kalori. Bila balik kepenatan. Nasib baik hari hujan, dapat tidur sekejap. Sebenarnya dah lebih 10 hari saya terpaksa tidur di luar bilik sebab penyaman udara rosak. Esok, Panasonic akan hantar semula outdoor unit. Dah malas nak fikir. Bak kata Wan Kamaruddin, "apa ke jadahnya". Rosak, rosak dan rosak. Baru beli 5 bulan lepas.

Bila bangun, saya capai lap top, check tiket kapal terbang. Saya ingin cuti. Ya, perkara yang saya rancang sejak Ogos lalu. Saya ingin kembali semula ke Perancis. Kalau boleh mahu sambut harijadi saya di sana, Januari depan. Sepatutnya saya pergi bulan ini dengan seorang kawan. Tetapi dia berubah hati. Tidak apa, lagipun saya suka pergi seorang diri. Rasanya macam dah serik pergi berkumpulan macam bulan Mei lepas. Payah, saya jenis ikut kepala sendiri.

Pergi seorang diri akan memudahkankan dan menjimatkan saya. Kalau di Peranchis saya boleh tinggal dengan sepupu, Gaspard dan Borris, di UK boleh bagi tahu Auntie Mahani, sebab dia ada apartment di London, yang sememangnya sentiasa kosong kerana dia ada di sini dan di Switzerland ada Sufian.

Kalau nak keluar duit penginapanpun, di Barcelona dan Nottingham.

Tetapi itu angan-angan Mat Jenin. Mana ada duit 10K. Tadi bila periksa tambang kapal terbang, yang paling murah Sri Lankan Airlines, rm 3000. Gulf Air rm 3600. Mas dan KLM standardlah rm 4000 lebih.

Ada saham nak jualpun tak dapat. Rugi. Mana nak cekau duit. Untuk pergi mungkin saya mengharapkan keajaiban.

Entahlah...

Saturday, November 8, 2008

Hikmah

"Jangan sesekali salahkan takdir". Itu nasihat ringkas seorang kawan, sewaktu saya meluahkan kebuntuan yang saya alami. Saya jelaskan, saya telah lakukan yang terbaik untuk mengatasi banyak masalah dalam hidup saya.

Kerjaya dan kewangan dua perkara yang membebankan.

Selama ini saya tidak pernah menceritakan kepada sesiapa dalam keluarga saya apa yang ditempuhi, membayangkan pun tidak. Itu risiko yang saya tanggung bila berhenti kerja sebagai pegawai kerajaan dan kemudian bertindak keluar dari rumah. Kerana prinsip juga saya sama sekali tidak akan meminta tolong daripada mereka.

Hidup berdikit-dikit dengan kudrat yang terbatas walaupun adalakala iradat mengapai awan. Tetapi kebelakangan ini saya agak kerap bertemu dengan kaum keluarga yang saya menjauhkan diri selama ini. Secara tidak langsung ia membuat saya berfikir.

"Di mana kedudukan aku sekarang".

Jarak waktu tidak memisahkan kami tetapi saya sendiri yang merasa serba kekurangan lantaran kerjaya yang saya pilih. Rezeki masih belum memihak kepada saya. Dulu saya pernah cakap demi kepuasan, ini haluan saya. Tetapi itu 10 tahun dulu sewaktu saya berdepan dengan konflik paling berat dalam hidup. Saya tidak menyesal tetapi saya tidak sangka akan menempuh satu demi satu kesukaran.

Semalam saya cuba meluahkan apa yang terbuku kepada seseorang yang jauh di Eropah, tetapi panggilan tidak bersahutan. Cuba dan terus cuba sampai terlena.

Haruskah saya berdepan dengan keluarga saya dan menceritakan segalanya. Saya pasti ada antara mereka yang akan menempelak tindakan saya selama ini. Ataupun telan segala keperitan sampai saya tutup mata.

Hujung minggu ini saya akan berdepan dengan mereka. Perlukah saya melakonkan watak ceria, walhal hakikatnya dirundung nestapa.

Saya tidak tahu...apa yang berlaku ada hikmahnya.

Hingga saat ini, firasat saya berdetik, lebih baik diamkan saja, kerana ini kebetulan dan suratan .

Thursday, November 6, 2008

cerpen4

Di ruang dapur sambil menyusun kayu api, Che Nab bersuara.

"Mak Wan, saya kesian tengok Maria. Asyik sedih aja. Saya takut dia tu dalam hari, kan kalau dibiar boleh kena gila meroyan".

"Ish Che Nab, jangan cakap macam tu. Kita doalah dia. Saya bimbang jugak, tapi kita berusaha. Che Nab, ingat ni rahsia dalam rumah ni. Biar pecah perut, jangan pecah mulut. Ku Esah dua pupu saya. Saya msa ambil Maria dah janji tidak akan beritahu yang Maria ada di sini. Kesian kat Maria. Anak tu pangkat cucu saya".

Che Nab angguk tanda faham.

"Aku ni Che Nab geram sangat kat Tengku Jalil. Apa guna jantan. Kalau dah kahwin kena bertanggungjawab. Ini macam lembu kena tarik hidung. Masa nak bukan main. Dia tak tahu ke dosa besar tinggalkan Maria. Orang tu saudara baru. Kalau dia murtad, heeee nauzubillah".

Mak Wan merengus. Che Nab tekun mendengar leteran.

"Sebab tu saya dengan Pak Cik tidak sanggup biarkan Maria terumbang ambing. Kami anggap dia macam anak sendiri. Banyak pahala tolong orang macam ni Che Nab. Tujuh bulan dia di sini, saya tidak pernah abaikan dia."

Mak Wan berdiri dengan baju kurung teluk belanga berkanji. Che Nab terus menyalakan api dapur kayu.

Biarpun hanya orang gaji, Che Nab banyak menyimpan rahsia rumah besar potong Belanda itu. Dia faham perangai Mak Wan, seorang yang tegas walaupun air mukanya nampak lemah lembut.

Dulu semasa terserempak dengan Tengku Jalil sewaktu kenduri di rumah ipar Mak Wan, Syed Derahman, kalau tidak ditahan Che Nab, mungkin Tengku Jalil merasa penampar orang tua tu. Masa tu Maria baru dibawa pulang. Dia faham sangat majikannya, piut Sultan yang ada masanya akan jadi garang macam singa betina.

"Che Nab, bawak mari pucuk pegaga, daun mengkudu dan daun kunyit. Saya nak racik. Lepas tu goreng ikan masin dan tumbuk lada hitam. Saya tahu Maria kuat pantang. Kalau kita kata itu tak boleh makan, dia ikut. Bagus budak tu".

"Aku ni Che Nab bila dia ada rasa meriah rumah ni. Nongpun nampak ada saing. Aku dah cakap dengan Pak Cik, kami nak buat rumah kat Maria. Biar dia rasa dihargai. Kami sayang sangat."

Che Nab faham sangat sikap majikannya. Rumah dia duduk sekarangpun, pemberian keluarga tu. Sebab tu dia tidak pernah merasa seperti pekerja. Susah senang, sakit demam, keluarga inilah tempat dia mengadu.

bersambung

Cerpen 3

"Dah mari minum"

Che' Nab bersuara datang dari dapur dengan membawa kole rebusan akar kayu.

"Ni bagus Maria, Mak Wan buat sendiri. Sepang Kenderam ni hamba perhangat, tambah air. Maria minumlah".

Che' Nab pembantu setia rumah itu. Sebahagian dari usianya dihabiskan dengan menjadi pembantu rumah.

" Letak kat meja tu".

Nong bersuara cuba menahan sebak.

" Che Nab terima kasih. Tak payah urut, nanti bila nak saya panggil". Maria bersuara.

Che Nab berlenggang menuju ke dapur.

"Saya dah fikir panjang. Sampai bila saya nak bebankan orang rumah ni. Saya orang luar. Tapi anak ini mempunyai pertalian dengan keluarga ni. Biarlah dia di sini. Saya rela cuma saya tidak mahu keluarga Tengku Jalil tahu yang anak ini adalah darah daging mereka. Mereka buang saya, mereka hina saya. Anak ini darah daging saya. Saya tak nak mereka jilat ludah mereka".

Maria bersuara tegas dalam lembut.

"Mereka kata perkahwinan kami tidak sah. Saya kahwin kak, ikut syarat, ikut hukum walaupun bukan di sini".

Maria menoleh bayi yang lena dipangkuan.

"Kalau dah itu tuduhan mereka, saya percaya sampai bila-bila dia anggap budak ini anak haram".

Air mata Maria berjurai. Nong yang bersimpati turut menangis.

bersambung

Selamat Jalan Uncle Sam

Esok, rakan seunit, Abdul Samad Mahad akan menghabiskan cuti dan selepas itu bersara. Saya perlu melakukan sesuatu untuk beliau kenang, supaya hari-hari terakhirnya tidak berlalu begitu sahaja.

Sebaik semua kerja selesai, saya membuat derma kilat kumpul duit untuk beli kek sebagai jamuan perpisahan.Alhamdulillah, ia mendapat sambutan.

Abang Samat berjaya diraikan dengan penuh kejutan.

Sebelum ini, saya pernah mempelawa, Uncle Sam untuk belanja makan dekat Restauran Kura, di Hotel One World, sebagai jamuan perpisahan dengan rakan seunit yang lain, tetapi dia enggan. Uncle antara rakan sekerja yang banyak berkongsi mengenai selera makanan Jepun. Dia pernah tinggal 9 tahun di Negara Matahari Terbit dan berkahwin orang sana. Paling best dia juga menjadi rakan baik, Abang Najib, sepupu saya yang juga berkahwin dengan perempuan Jepun.

Abang Samat@ Uncle Sam akan saya ingat sampai bila-bila. Tunjuk ajar mengenai terjemahan banyak membantu saya. Bahasa Inggeris dan Jepun dia memang kelas A. Kalau pasal hubungan antarabangsa, petik jari jer.

Awal tahun lalu, Ghazali Yahya bersara...Esok seorang lagi. Bagi saya Unit Berita Luar Negara kehilangan dua sendi utama. Dua orang yang selama ini banyak membimbang saya meneroka dunia kewartawanan dan penyiaran.

Uncle Sam...We Will Miss You.

Wednesday, November 5, 2008

Bag Anak Laptop Bapak


Di sebalik kesibukan pilihanraya presiden Amerika Syarikat dan menjelang hukuman mati ke atas 3 pengebom Bali, saya dihiburkan dengan satu kejadian lawak.


Segalanya berlaku kerana kekalutan si bapak yang kelewatan datang ke pejabat.


Dengan penuh bergaya si bapa datang dan duduk di depan saya. Jarang saya lihat dia bawa laptop ke pejabat. Hari ini, tiba-tiba entah apa mimpi.


Selepas dia membuka bag...ada drama lucu.


" Eh kenapa beg aku. Ini buku sekolah anak aku. Mana laptop " Dengan muka toyer dia garu rambut afro.


" La aku dah terambik beg sekolah anak aku, anak aku dah terbawak lap top aku ke sekolah. Macamana ni".


Kami yang lihat gegagat dia, gelak macam nak pecah perut. Macamana boleh jadi macam tu.


Kalaulah ada barang terlarang si bapak dalam laptop tu....mesti anak dia enjoy sakan.

Monday, November 3, 2008

cerpen 1

Bunyi bayi menangis meminta susu merencatkan sesi rintih kasi pagi itu. Anak kemerahan yang dibedung seolah-olah memahami perbualan yang berlaku. Maria yang bersanggul siput bangun meletak tuam di tepi, perlahan menuju ke arah bayi. Diselak baju dan dihulurkan puting tetek.

Selepas dinyonyok, bayi itu senyap.

"Kak saya rasa demi kehidupan yang lebih terjamin, kakak bela anak ini. Saya hendak balik ke Singapura. Saya masih ada keluarga sebelah Mama saya. Mungkin mereka masih boleh terima saya, walaupun dulu saya membuang mereka".

Belum habis menyusun kata, Nong menyampuk,

"Agama macamana. Sanggup Maria kembali ke pangkuan keluarga yang bukan Islam. Jangan Maria, jangan murtad Maria".

Nong tidak dapt menahan perasaan merayu Maria.

" Kami sayangkan Maria, tujuh bulan Maria di sini, kami tidak persiakan, biarlah Tengku Jalil. Walaupun dia suku sakat kami, jangan bandingkan kami dan keluarga dia. Maria, mengucap".

Dalam suasana emosi Nong melukut kepalanya di lutut Maria merayu agar tidak meneruskan hasrat itu.

" Kak ini takdir saya, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk hidup. Mana arah saya selepas ini, hanya Tuhan yang tahu. Di Singapura, saya mudah untuk mendapat kerja. Soal agama biarlah saya dengan Tuhan. Kalau apa berlaku, Tengku Jalil dan keluarganya turut berdosa. Kerana terlalu sayang, sebab itu saya tidak mahu bayi ini mengikut jejak saya. Biar dia di sini, di rumah ini kerana saya tahu keluarga ini tidak akan persiakan dia".

" Kak ini janji kita berdua, jaga bayi ini dan beri nama yang kak rasakan sesuai."

Dengan sepasang mata berkaca Maria mengetip bibir yang dia tekad dengan keputusan.

bersambung


Sunday, November 2, 2008

Cerpen

"Maria kena fikir panjang sebelum membuat keputusan. Hidup kita masih panjang, tanpa agama kita hilang arah. Jangan kerana marahkan dia, Maria tinggalkan agama ini. Lihat anak ini, dia tidak mengerti apa-apa. Tengok mata dia, Maria, dia baru hendak kenal dunia". Nong cuba memujuk Maria.

" Kak, anak ini tidak pernah bersalah, saya sebenarnya tidak sanggup melihat dia. Saya tanggung beban yang berat, terlalu berat. Saya tidak mahu dia merasa apa yang saya lalui."

Maria cuba menyusun kata demi kata.

" Kak, Pak Cik dan Mak Wan terlalu baik, saya sebatang kara. Keputusan saya untuk berkahwin dengan Tengku Jalil membuatkan saya hilang segalanya. Satu keputusan yang saya kira tepat. Tetapi, saya dipersiakan. Saya membuat perhitungan yang silap."

"Kerana cinta, saya sanggup ketepikan keluarga. Saya ingin perbetulkan keadaan."

Air mata Maria mula berjurai. Nong mula menahan sebak. Suasana sepi. Di atas tungku pangkin bersalai, mmasing-masing saling menahan perasaan.

"Kak, saya tahu saya saudara baru, jahil tentang Islam, saya mengaku saya menukar agama kerana ingin berkahwin dengan dia, tetapi kenapa dia sanggup buat macam ini. Kenapa keluarga dia terlalu angkuh. Saya tiada cacat cela. Dia bagi saya pentingkan diri, saya tidak tahu yang dia ada isteri lain dan saya tidak sangka keluarga dia anggap saya lebih rendah daripada perempuan kaberet. "

" Keputusan saya memeluk agama Islam dan berkahwin menyebabkan Papa saya mati. Sekarang saya rasa saya pembunuh papa saya. "

Sendu Maria semakin kuat. Air mata Nong juga tumpang mengalir.

" Maria apa yang berlaku adalah takdir, jangan kerana dia, Maria menoleh kembali ke agama asal. Allah itu Maha Kaya dan lagi Maha Mengetahui, setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Sabar Maria, Dia sayangkan Maria kerana itu diberi ujian kepada Maria. Kami sekeluarga tidak akan mensia-siakan Maria. Tujuh bulan Maria di rumah ini, kami anggap Maria darah daging kami".

"Kak, dah 10 hari saya bersalin. Saya sayangkan anak ini, wajahnya lebih kepada keluarga sebelah saya, lebih nampak Cina dan ada sedikit iras mat salleh, rambut perang dan mata sepet yang cokelat, ada iras papa saya. Saya tidak terfikir nama dia. Pak Cik ada cakap nak beri nama, tetapi saya kata biar dulu. Kalau boleh saya tidak mahu dia dikenali sebagai zuriat Tengku Jalil, biar dia jadi orang biasa, yang tiada kaitan dengan keluarga itu".

Nong mengetip bibir, tunduk tanda faham.

" Habis macamana?.

"Binkan dia dengan suami Kak, saya rela".

Nong terpingga dengan mulut terlopong.

Bersambung........
































Bila lagi

Dalam keadaan yang bengang, tetiba telefon berdering. " Kau kat mana"? Saya jawab " Aku kat ofis kerja petang, ". Member lama telefon. "Ada apa kau call aku, macamana dengan application aku itu hari. Tolonglah tengokkan. Aku rasa nak bla dah?".


"Kau jangan bimbang nama kau ada dalam senarai teratas tetapi buat masa sekarang kami freeze dulu pengambilan". Saya merengus" Alah kenapa plak"? Dia jawab," sabar aku kenal kau dan kau tidak perlu risau. Gaji yang kau mintak memang market kau kat luar, tolong up date resume". Saya jawab ok.


Alhamdulillah satu daripada permohonan saya telah mendapat respon.


Ya Allah, Kau Maha Mengetahui apa yang aku lalui, beri aku peluang untuk kehidupan yang lebih baik. Kalau di sini bukan tanah bertuah, bukakanlah rezekiku di bumiMu yang terbentang luas.


Jika ada kesempatan aku ingin pergi jauh, memulakan hidup baru kerana tiada yang indah untuk dikenang di sini.

Tak Faham Faham

Ya saya sensitif....saya suka sendiri dan tidak suka ambil peduli keadaan sekeliling. Itu saya. Tolong hormati privacy saya. Saya juga seperti orang lain dan amat menyukai muzik terutama balad dan jazz. Tetapi minat yang ada tidak menganggu dan menyusahkan orang lain.

Kami mempunyai works station yang mana, mereka yang tidak dibekalkan lap top akan ditempatkan di sini. Saya menyukai tempat baru kerana agak jauh dari orang yang sibuk dan suka menyibuk.

Tetapi sejak akhir-akhir ini, ketenangan saya dicerobohi. Ada segelintir mereka yang datang ke sini untuk memasang lagu dengan kuat. Tidak salah mendengar lagu tapi bawa sekali ear piece.

Hari ini kali kedua saya menegur orang yang sama supaya memperlahankan lagu. Saya perlukan ketenangan untuk menyiapkan beberapa tugasan. Kali pertama saya bercakap dengan elok. Kali kedua saya tegur lagi dan darah saya mula menyirap bila ia tidak diendahkan....untuk elak kemarahan daripada meletup saya ke belakang di tepi tangga hisap rokok dan kali ketiga saya tegur lagi" Tolong perlahankan lagu, saya nak buat kerja". Saya rasa saya bercakap dalam bahasa Melayu dan kali ketiga baru dia faham agaknya. Sejurus selepas itu dia blaaaa.

Sekarang makin ramai orang yang tidak memahami privacy orang lain. Sikap pentingkan diri sendiri semakin ketara kebelakangan ini, terutama di kalangan junior, saya rasa ia di mana-mana.

Sepatutnya yang berkenaan sedar, tidak ada senior di work station yang memasang lagu dengan kuat. Contohi salah seorang penerbit kanan Nightline, bila dia bukapun, amat perlahan kerana dia tahu tidak semua orang sealiran dengan dia...dalam erti kata lain muzik untuk diri sendiri bukan nak menunjuk-nunjuk kami urban dsb. Kalau nak kata urban....saya lagi urban tapi bukan di sini tempatnya untuk mengada-ngada.

Mungkin benar kata kawan di Utusan Malaysia, ramai junior yang kekwat dalam industri ini. Sebab itu ramai yang besar kepala dan berjalan dengan bontot tertonggek.