Sunday, November 30, 2008

Erti Kemanusian.


BIARPUN sudah membina kehidupan baru di Australia, pelarian Vietnam ini masih mengingati pemergian ahli keluarga tersayang yang terkorban dengan menziarahi perkuburan mereka di Kelantan setiap tahun.

TARIKH 30 November 1978, sebuah bot dari Vietnam sarat membawa 320 penumpang menempuh perjalanan perit, terpaksa berlabuh dari Pantai Bisikan Bayu, Semerak, Kelantan.

Ketika gelora tengkujuh memuncak biarpun kira-kira 300 meter dari pantai itu, mereka lari daripada kekejaman rejim komunis di negara bergolak itu dalam keadaan keletihan.

Malang, mereka gagal mendarat dan ‘tersangkut’ di situ seketika kerana isu suaka politik tetapi sehari kemudian, bot dinaiki dengan bayaran cukup tinggi, pecah dihempas ombak.

Ketika mereka membayangkan menemui kehidupan baru, tiada dapat menolong sesiapa dan seramai 171 orang yang tidak lagi berupaya berenang mati lemas.

Mayat ditemui bergelimpangan di pantai Semerak dan Bachok. Sejumlah 123 dikebumikan di Tanah Perkuburan Thai di Kampung Ketik Buluh dalam satu liang besar.(sumber akhbar Kosmo)

Ketika kecil saya selalu melintasi penempatan sementara pelarian Vietnam di Chabang Tiga, Kuala Terengganu. Keinginan untuk tahu amat tinggi. Dari dalam kereta saya akan menjengah dan bertanya Tok Ki, kenapa mereka ada di situ? Jawapan yang diberikan amat mudah," negara mereka berperang".


Walaupun seawal usia 5 tahun, setiap kali di kawasan berkenaan saya akan menoleh, seperti ada sesuatu yang memanggil, rasa ingin tahu amat tinggi. Bila saya seperti teruja meminta kereta diperlahankan, abang saya akan menyakat, pergilah turun, muka dah macam Vietnam duduk sekali".

Sesekali Tok Ki ajak bersiar-siar dengan sepupu yang lain, ketika itu Momoo membuat keputusan untuk menetap di Kuala Terengganu selepas bertugas dengan Pusat Kebudayaan Perancis di Saigon. Gaspard dilahirkan di sana. Saya masih tidak memahami apa-apa bila Mamoo bercerita mengenai Vietnam Selatan, yang saya tahu Komunis jahat dan Amerika baik....(kemudian saya amat membenci dasar Amerika Syarikat)

Peristiwa yang saya lihat menjadi penyingkap awal untuk mengenali erti kesewarjagatan. Membenci peperangan, penindasan dan memahami erti kemanusian. Ini semua sebenarnya menjadi perangsang yang kemudian mempengaruhi saya supaya menjadi seorang wartawan.

No comments: