Saturday, November 22, 2008

Nakal 2

Sambungan...

Masih saya ingat, betapa filem Bobby meninggalkan kenangan yang mendalam. Orang Terengganu panggil saya "mu-'e" dalam ertikata yang lain, terlebih manja. Kekadang kelebihan yang diberikan mungkin rasa simpati dek latar belakang saya. Ada Che Lat, Mak Dayang dan ramai lagi yang selalu beri perhatian. Mungkin juga masa kecil, saya cute dengan rambut perang serta mata sepet yang bewarna coklat.
Bila filem Bobby ditayangkan di Kuala Terengganu, kakak saya bawa saya tonton. Itu pusingan pertama. Bila pusingan kedua, saya tidak lagi diajak, giliran orang lain pula. Kali ini abang saya dibawa. Saya tidak puas hati. Bila semua masuk kereta Tok Ki untuk dihantar ke panggung (K. Trg ketinggalan dalam segala segi mana ada sistem pengangkutan masa tu kecuali beca). Saya melalak. Semua buat tidak peduli. Untuk tarik perhatian, saya ambil batu dan balingkan ke arah tingkap tidur Tok Ki. Ia berderai. Bila Tok Ki keluar kereta, saya lari dan masuk sembunyi ke dalam garaj.

Selepas Tok Ki meninggal pada 6 Jun 1982, setiap kali terpandang tingkap yang pecah, ia membuat saya rasa bersalah. Kerana kejahilan juga, ketika Tok Ki tidak lagi bernyawa, saya tidak tahu nak baca apa. Cuma mampu pegang surah Ya Siin. Borrispun sama. Saya pada masa itu buta al Quran, cuma tahu baca al Fatehah.
Kenakalan juga membuat saya tidak disenangi saudara mara. Pada masa itu saya amat naif apabila ada yang sindir dan cuba kaitkan kenakalan itu dengan seseorang yang mana darahnya mengalir dalam diri saya.

Bagaiamanapun ia mulai beransur kurang apabila umur meningkat 10 tahun. Saya menjadi lebih bertanggungjawab. Tetapi bagi arwah nenek saudara, apabila ada pertengkaran, insiden atau apa sahaja, saya akan terus ditunding jari dan dengan kuasa dia sebagai " orang tua" dia akan mempengaruhi Wan atau emak supaya pukul saya. Itu kisah lama, saya telah maafkan dia.

Borris selalu menjadi mentor dan saya protogenya dalam melakukan sesuatu yang kreatif. Naik bukit dan melastik bumbung Sekolah Chun Hwa Wei Sin...paling syok kami mabuk kerana hisap rokok Gudang Garam merah. Tidak jumpa cari pintu rumah, kedua-dua terbungkam di tangga.

Paling best kami main lompat ala-ala jongkang jongkit (orang Terengganu sebut congget canggung). Tanpa saya sedar di hujung kayu ada telur cicak. Bila Boris lepaskan kayu, dan beban pergi kepada berat badan saya telur terpelanting dan masuk ke dalam mulut. Bila rasa macam ada benda, saya ludah dan perasan.... itu telur cicak. Uwek....

Sepanjang tempoh kanak-kanak terutama selepas ayah dan emak pindah keluar dari 708, saya kurang mesra dengan adik beradik yang lain. Saya lebih rapat dengan Julie, Borris dan Clio. Itu kenyataan.

2 comments:

Anonymous said...

emm..nape nama-nama watak dalam ni kebanyakkannya macam mat saleh?bro razali ada keturunan dari sana ke?just wonder...

panglipurlara said...

Sebenarnya adalah sikit. Tetapi mereka tu lagi pure..tetapi kami semua tidak pernah lupa darah Melayu Terengganu. Bayangkan bila jumpa di mana sahaja, even di Paris kami masih bercakap bahasa Terengganu. Sampai sekarang Borris dan Gaspard lebih suka berbahasa Ganu berbanding bahasa Perancis dan Inggeris....Kami adalah generasi adunan pelbagai bangsa....ada Melayu,Mat Salleh,Cina,Siam dan Arab. Rojak....