Sunday, November 23, 2008

Derita Anak Seni

Sepanjang minggu ini, satu demi satu penderitaan artis diketengahkan. Kisah pelawak terkenal Datuk Yahya Sulong yang mengidap sakit lelah serta ketidakmampuan untuk membayar bil rawatan dan terbaru kisah penulis lirik Kerana Terpaksa, Seri Bayu yang menderita sakit saraf motoneuron disease.

Derita yang ditempuhi, satu lagi kisah tragis insan seni. Sudahlah terlantar, isterinya, Erema, seorang penyanyi sanggup menuntut cerai....Di mana janji sehidup semati, susah senang bersama. Bak kata cendekiawan, hanya masa yang boleh menentukan keikhlasan. Selain tiada kudrat, Seri Bayukini kini hampir hilang segala-galanya.
Menjadi anak seni tidak seindah berita yang ditulis. Tidak semua bintang akan bergemerlapan. Di sebalik tabir gemerlip tersembunyi seribu satu kisah. Ramai insan seni yang terpinggir walaupun banyak persatuan yang diwujudkan untuk membela dan menjaga kebajikan mereka.

Nama insan seni seperti R. Azmi, Mak Enong, Norizan, A. Rahim adalah sekelumit khazanah bernyawa yang pergi tanpa dihargai. Kita menyanjung bakat mereka tetapi apa yang dilakukan untuk memertabatkan anak seni supaya mereka tidak terus terpinggir.

Mungkin sudah menjadi trend, insan seni akan dikenang selepas tiada.Itupun seketika saja.Paling tidak dijadikan bahan berita sama ada untuk menambahkan rating tv atau melariskan jualan surat khabar. Sungguh malang insan seni kerana bakat dan nama terus diperguna tanpa mereka mendapat apa yang sepatutnya.

Bila terfikir apa yang berlaku, di mana fungsi anak seni yang dilantik sebagai Senator. Tan Sri Jins Shamsuddin, hentikan lakonan dan sikap hipokrit, jalankan tugas untuk membela anak seni, bukannya menjadi pengampu...Setakat ini, apa yang dilakukan beliau sepanjang dua penggal dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

No comments: