Saturday, November 22, 2008

Pesta Makan

Nasi Dagang Terengganu. Makan dalam pinggan lama yang sempat saya selamatkan ketika 708 hendak dirobohkan. Terasa macam tahun 50an


Selepas dua minggu, sekali lagi saya memasak Nasi Dagang Terengganu. Lauk ikan tongkol dan telur rebus. Saya masak untuk 15 hingga 20 orang makan, selain menjamu tetangga dan menghantar ke rumah kakak, selebihnya saya sedekahkan di pejabat.
Sebenarnya susah hendak dapatkan Nasi Dagang Terengganu yang rasanya sama seperti dari negeri asal. Memasaknya bukanlah sukar sangat cuma, ada peraturan dan tidak ada jalan pintas. Jika tidak ikut, memang rasanya akan lari.

Proses bermula dengan mencari ikan tongkol. Orang Terengganu panggil ikan aye. Kena rebus satu hari satu malam dengan asam keping, garam dan gula melaka. Kuahnya pula tidak boleh ditumis, sebaliknya dimasak perlahan selama 8 jam, sehingga hitam dan pekat. Beras pula perlu direndam 8 hingga 9 jam. Dikukus dua kali dan terakhir baru disiram santan pekat.

Saya tahu mengadun sendiri rempah, tanpa membeli yang segera. Satu resepi yang saya sempat warisi dari keluarga kami. Saya masih gunakan periuk tembaga dari istana, yang berusia 130 tahun lebih, supaya dapat" feel" macamana nenek moyang kami satu ketika dahulu menyedia dan menghidangkan makanan ini di istana.

Paling penting bila memasak saya tidak mahu "authentic" lari. Tidak ada jalan pintas. Jadi saya kena masak ikut prosedur, sebagaimana sepatutnya. Walaupun tidak sesedap air tangan keluarga saya, sekurang-kurangnya rasanya tidak banyak lari.

Bila siap, saya ajak kawan-kawan dan jiran datang ke rumah. Mereka makan sikit, tapi saya sampai tiga pinggan. Macam kena rasuk. Bila balik dari pejabat dan selepas work out 1000 kalori di gym, tambah lagi dua pinggan. Keseluruhan saya makan hari ini, lima pinggan. Hancur diet.

Bila dah kenyang saya tersengih teringat kisah Boris dan Gaspard yang teringin makan nasi lemak sewaktu cuti Krismas di Switzerland tahun lepas. Dari Paris mereka bawa ikan bilis, cabai dan bawang, terlupa satu bahan penting. Bila sampai di Bern mana ada kedai jual asam jawa. Untuk ganti dia letakkan sos tomato, untuk buat sambal ikan bilis. Mana jadi? Oh ye masa saya di Paris, harga sepinggan nasi lemak, 12 Euro. Sebab teringin sangat saya makan dengan Gaspard dekat Malaysiana Restaurant di Paris de Nord. Dua orang makan dah jadi 24 Euro, cuba kali dengan 6....mahal giler. Teh tarik 3 Euro..tu pun cawan yang ciput jer.

No comments: