Wednesday, March 25, 2009

Cerpen 250309

Juraian air mata berderai. Maria cuba tahan permainan perasaan dari lamunan. Nyata tidak banyak kudrat wanita ini selepas melahirkan anak.

Secara zahir tiada apa yang kurang selepas Pak Haji Sulaiman dan Mak Wan menjaga beliau sepanjang mengandung anak sulung. Biar keluarga Tengku Jalil tidak pernah menganku beliau sebagai isteri yang sah, apa yang berlaku tersirat 1001 hikmah. Lebih 7 bulan ditatang di rumah besar itu, Maria merasakan sudah sampai ketikanhya, dia membuat keputusan.

"Oh Tuhan, aku ingin mengenaliMu dan menjadi hambaMu yang baik. Apakah aku tersilap arah selepas meninggalkan keluargaku dan agama yang dianut selama ini".

Lamunan Maria yang mengenali Islam selepas mengenali Tengku Jalil mula bersulam bisikan iblis.

"Mama, Papa please forgive me". Maria terus bermonolog.

Segalanya terhenti selepas Mak Wan membuka daun pintu.

"Ya Allah kenapa nak kau menangis nak. Jangan lemah semangat. Maria dalam pantang kan nanti kena ngoyang".

Mak Wan memeluk Maria sambil meniup ubun dengan bacaan tiga Qul dan beberapa potong doa untuk menghilangkan rasa gundah.

"Maria, jangan bersedih, apa yang berlaku adalah takdir. Kita orang Islam kena percaya pada qada' dan qadar. Setiap apa yang berlaku, tidak hari ini, esok, lusa, insya Allah akan tersirat hikmah Maria". Pujuk Mak Wan.

"Pak Cik dah balik, dia dah dapat ilham nak namakan anak ini. Dah tanya orang alim. Ada beberapa nama. Tu lah nak ajak Maria berbincang".

Mak Wan keluarkan sapu tangan dari kocek kekek baju kurung Johor, sapukan saki baki air mata Maria. Wajah yang kusam sedikit ceria.


Tuesday, March 17, 2009

Cuti Lagi

Perjalanan ke Cameron Highlands menjanjikan seribu satu pemandangan yang menarik. Kali ini saya melencong ke Tasik Raban dan berpatah balik ke Tapah. Jambatan Raja Nazrin Syah merentangi Tasik Raban, mencuri tumpuan.

Seandainya saya mati, mata akan pejam rapat kerana impian untuk kembali ke Lenggong telah tercapai. Saya menyusuri jalan dulu yang pernah merakam waktu gemersik lagu. Ingatan tidak akan punah walau hati telah patah.

Berdiri di puncak bukit dengan kebiruan air tasik mengusak rasa sebak. Jiwa yang tersurih dek lantunan khayalan. Siapa tahu kisah lalu.

Santapan di Restauran Tasik Raban, yang tidak dapat dilupakan selepas sekian lama tidak kembali kembali ke Lenggong



Saya dilahirkan sebagai kaki makan. Bagilah apa saja pasti tidak menolak. Yang pasti Cameron Highlands tidak lagi sedingin dulu.






Saturday, March 14, 2009

Terengganu Molek

Kesempatan cuti panjang memberi saya peluang merayap dan merakamkan foto rumah lama di sekitar Terengganu. Selepas kejatuhan kerajaan Johor keturunan Melaka pada 1699, Terengganu menjadi negeri Melayu yang termaju. Ketika itu ia terkenal dengan pembuatan bot, tembaga, batik dan songket. Malang sekali fakta ini tidak begitu diketengahkan, cuma pernah ditulis Profesor Emiritus Khoo Kay Kim dalam artikel beliau. Di bawah ini saya paparkan beberapa contoh warisan tamadun Terengganu.
Rumah lama di Kg Tengah, Chukai, Kemaman





Masjid Kg Tuan, Chukai, Kemaman. Masjid tertua di Terengganu. Usia lebih 200 tahun




Di tapak rumah Tok Mak di Kampung Raja, dibangunkan semula istana lama






Friday, March 13, 2009

Kopitiam


Pantai Timur menjadi lokasi yang paling 'best' bagi mereka yang menggemari kepelbagaian selera. Tidak keterlaluan dipanggil syurga makanan. Setiap hidangan mempunyai keunikan tersendiri. Dari kuih tradisi sehinggalah ke aroma kopi. Jika ke Kota Bharu, tidak lengkap kalau tidak singgah di White House yang terletak belakang Istana Jahar. Keaslian roti bakar menggunakan arang tiada tandingan.




Di Kemaman Hai Peng Kopitiam yang terletak di Jalan Sulaimani, di tengah bandar Chukai, menjadi satu kewajiban untuk berhenti. Keenakkan kopi yang diwarisi sejak sebelum Perang Dunia Kedua masih dikekalkan. Cuba rasa nasi dagang...ho liau.




Sebelum balik ke Kuala Lumpur jangan lupa makan ikan bakar di Tanjung Lumpur, Kuantan. Memang berbaloi. Selain murah, hasil laut yang dihidangkan sememangnya masih segar.

Thursday, March 12, 2009

Semoga Damai

Bulan ini genap 23 tahun kembalinya ke rahmatullah Syed Ahmad Zaki, seorang senior yang sering memberi semangat kepada saya. Sesekali bila pulang ke Kuala Terengganu dan terpandangkan SMASZA, pasti ingatan terhadap arwah akan hinggap di benak.

Saya akan mengingati arwah sebagai seorang yang banyak memberi dorongan dan teladan. Lerekan senyuman dan kata-kata perangsang supaya belajar menjadi manusia...akan terus bersemadi.

Beliau yang setahun lebih tua, menjadi batch persijilan terakhir asrama penuh di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan batch kami menjadi pertama asrama penuh SMASAA. Sampai sekarang saya terbayang tepukan di bahu, sebagai tahniah sewaktu saya mengambil keputusan Sijil Rendah Pelajaran, SRP.Itulah tepukan terakhir kerana selepas itu kami tidak lagi berjumpa kerana KUSZA di Gong Badak dan SMASZAA di Batu Buruk.

Saya hanya menerima berita selepas seminggu kematian. Sedih dan terlalu sedih dan selama mengenalinya, beliau tidak pernah bercerita mengenai penyakit yang dihidapi waima kepada rakan karib.

Ketekunan belajar di tangga sewaktu orang lain tidur, pemurah,tidak lokek berbelanja dan tingkah laku yang menyenangkan orang lain...membuatkan ramai antara kami merasa kehilangannya.

Sememangnya Allah lebih menyayangi beliau dari kami. Arwah dijemput pulang ketika berusia 17 tahun...dalam keadaan yang cukup mudah. Terjatuh selepas mandi dan ketika itu barulah rakan sebilik tahu yang selama bertahun dia bergantung dengan ubat sebagai penyabung nyawa. Takdirnya pada masa itu ubat habis. Syed Ahmad Zaki meninggal sewaktu dikejarkan ke Hospital Besar Kuala Terengganu.

Saya terkilan kerana sampai sekarang tidak berpeluang menziarahi pusara arwah di Temerloh, Pahang.

Di saat-saat terluang, banyak pengajaran yang dapat dipelajari daripada kematian arwah. Tidak pernah menunjukkan kesakitan walaupun sedang berjuang dengan maut, mengembirakan orang sekeliling dan sifat rendah diri.

Selain Syed Ahmad Zaki, sebenarnya telah ramai rakan yang terlebih dahulu dijemput pulang. Tun Azmi, Wan Suhaimi, Raja Marzuki, Mohd Yasin,Razman,Marzuki, Rodziah (Gee, saya terkilan kerana tidak sempat makan tengahari dan berkenalan dengan suami arwah, walaupun berkali diajak) juga Ustazah Anisah dan Ustazah Ramlah...semoga roh kalian ditempatkan di sisi para anbiya', auliya', syuhada' dan mereka yang beriman.

Janji Allah adalah pasti...kita semua akan lalui saat itu. Sebenarnya kita menunggu detik untuk menjejaki mereka ke alam kekal abadi.

Untuk mereka yang telah kembali al Fatehah.

Sunday, March 1, 2009

Tragedi Si Bapa

Tiada siapa dalam dunia yang ingin mengakhiri perkhawinan dengan perceraian. Tetapi apa yang berlaku di luar kudrat manusia sebagai makhluk. Semua yang pernah merasai nikmat berumahtangga...tidak mudah untuk kembali hidup sendirian apatah lagi bagi mereka yang mempunyai zuriat.

Ramai yang cuba menyelamatkan perkahwinan atas faktor anak. Tetapi ramai juga yang terpaksa mengenepi alasan itu selepas tiada lagi persefahaman.

Kesudahannya anak-anak menjadi rebutan. Tidak kira kepada siapa keputusan memihak...tetapi adakalanya hak seorang bapa sering dinafikan. Lebih memburukkan keadaan bila keluarga isteri campurtangan.

Dalam kebanyakan kes....selepas mahkamah membuat keputusan, hak seorang bapa untuk bermesra dengan anak sering dicabuli.

Berbeza dengan kes ibu tunggal....penderitaan bapa tunggal tidak banyak didedahkan. Mungkin faktor ego menghalang mereka daripada menceritakan kesengsaraan kepada masyarakat awam.

Bagi anak yang sempat mengenali bapa....ia tidaklah sukar untuk menyakinkan mereka., apa yang sebenarnya berlaku dan perceraian tidak bermakna mereka kehilangan kasih sayang dari seorang lelaki yang dipanggil ayah.

Ia berbeza sama sekali dengan anak yang tidak memahami apa-apa. Mereka mudah dipengaruhi. Lebih malang dalam kebanyakan kes....kerana silap asuhan dan eksploitasi masa, si anak memanggil "uncle". Bagi si ayah....ia adalah tragedi.

Wednesday, February 25, 2009

Jangan Berpaling

Berada dua hari satu malam di Kuantan, satu jangkamasa yang amat singkat. Di sebalik lerekan mata dan kuntuman senyuman, saya menyimpan sesuatu, yang saya tidak akan luahkan...Bilik yang mengadap Laut China Selatan memberi kesempatan melepaskan beban.

Biarpun singkat, tolehan ke laut dengan berkain pelikat, merengsa diri untuk terus tabah menghadapi hari-hari mendatang.

Saya telah cuba setakat yang termampu memperbaiki kelemahan diri. Memberi yang terbaik kepada insan yang yang mencuri hati. Tetapi ada ketika kata-kata yang dia diucapkan selama ini, memakan naluri. Saya perlukan komitmen untuk menjalani hidup dan bukan mengakhiri masa dengan sesuatu yang tiada ikatan.