Thursday, March 12, 2009

Semoga Damai

Bulan ini genap 23 tahun kembalinya ke rahmatullah Syed Ahmad Zaki, seorang senior yang sering memberi semangat kepada saya. Sesekali bila pulang ke Kuala Terengganu dan terpandangkan SMASZA, pasti ingatan terhadap arwah akan hinggap di benak.

Saya akan mengingati arwah sebagai seorang yang banyak memberi dorongan dan teladan. Lerekan senyuman dan kata-kata perangsang supaya belajar menjadi manusia...akan terus bersemadi.

Beliau yang setahun lebih tua, menjadi batch persijilan terakhir asrama penuh di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan batch kami menjadi pertama asrama penuh SMASAA. Sampai sekarang saya terbayang tepukan di bahu, sebagai tahniah sewaktu saya mengambil keputusan Sijil Rendah Pelajaran, SRP.Itulah tepukan terakhir kerana selepas itu kami tidak lagi berjumpa kerana KUSZA di Gong Badak dan SMASZAA di Batu Buruk.

Saya hanya menerima berita selepas seminggu kematian. Sedih dan terlalu sedih dan selama mengenalinya, beliau tidak pernah bercerita mengenai penyakit yang dihidapi waima kepada rakan karib.

Ketekunan belajar di tangga sewaktu orang lain tidur, pemurah,tidak lokek berbelanja dan tingkah laku yang menyenangkan orang lain...membuatkan ramai antara kami merasa kehilangannya.

Sememangnya Allah lebih menyayangi beliau dari kami. Arwah dijemput pulang ketika berusia 17 tahun...dalam keadaan yang cukup mudah. Terjatuh selepas mandi dan ketika itu barulah rakan sebilik tahu yang selama bertahun dia bergantung dengan ubat sebagai penyabung nyawa. Takdirnya pada masa itu ubat habis. Syed Ahmad Zaki meninggal sewaktu dikejarkan ke Hospital Besar Kuala Terengganu.

Saya terkilan kerana sampai sekarang tidak berpeluang menziarahi pusara arwah di Temerloh, Pahang.

Di saat-saat terluang, banyak pengajaran yang dapat dipelajari daripada kematian arwah. Tidak pernah menunjukkan kesakitan walaupun sedang berjuang dengan maut, mengembirakan orang sekeliling dan sifat rendah diri.

Selain Syed Ahmad Zaki, sebenarnya telah ramai rakan yang terlebih dahulu dijemput pulang. Tun Azmi, Wan Suhaimi, Raja Marzuki, Mohd Yasin,Razman,Marzuki, Rodziah (Gee, saya terkilan kerana tidak sempat makan tengahari dan berkenalan dengan suami arwah, walaupun berkali diajak) juga Ustazah Anisah dan Ustazah Ramlah...semoga roh kalian ditempatkan di sisi para anbiya', auliya', syuhada' dan mereka yang beriman.

Janji Allah adalah pasti...kita semua akan lalui saat itu. Sebenarnya kita menunggu detik untuk menjejaki mereka ke alam kekal abadi.

Untuk mereka yang telah kembali al Fatehah.

No comments: