Wednesday, February 11, 2009

Kudratku

Selepas 9 Laporan Khas Gaza Di Sebalik Cengkaman Zionis disiarkan Buletin Utama, ia mendapat maklum balas daripada penonton. Esok 12 Februari saya dijemput memberi ceramah di sebuah syarikat di Pasir Gudang, Johor.

Saya akui bukan mudah untuk berdepan dengan orang ramai selama sejam. Tetapi itu kudrat yang dapat saya lakukan. Saya telah menggunakan mata pena, impak visual dan sekarang saya sendiri diminta turun padang oleh penonton, menjelaskan apa yang tersirat di sebalik laporan.

Untukmu Gaza, iradat untuk bersama tidak pernah lusuh kerana kalian terlalu dekat di hati. Saya tidak mahu dikata bacul kerana membiarkan rakyat Palestine disembelih dan dibiarkan kebulur. Walaupun sepatah perkataan, paling tidak saya berusaha membantu mereka. Nama-nama seperti Shireen, Ummu Barakah, Raida, Nasir, Taheer tidak akan hilang di hati. Mereka terlalu dekat. Penderitaan kalian terlalu mendalam.
Setiap kali saya memandang gambar ini, hati sayu...kerana di sebalik senyuman mereka terlalu menderita

Saya tahu sukar untuk kembali semula ke Gaza. Namun saban detik saya berdoa kepada Allah, berilah peluang kali kedua untuk bersama mereka. Membela nasib insan yang tertindas. Saya tidak mahu kehilangan maruah kerana membiarkan mereka sendirian melawan kezaliman. Biarlah saya bersama penduduk Gaza dan seperti saya ceritakan sebelum ini, saya tidak pernah takut untuk mati bersama insan yang melayan saya dengan penuh kemuliaan. Saya menemui sesuatu di bumi yang merah bermandi darah. Paling penting ia mampu mengubat beban lara dan semoga ia memberi peluang menebus kesilapan masa lalu. Biarlah saya berada bersama mereka yang menghargai kehadiran "manusia ini".

No comments: