Monday, September 1, 2008

puasa


tahi itik




puteri mandi nekbat



Ramadhan datang lagi. Saya percaya setiap orang mempunyai pengalaman tersendiri menyambut bulan yang penuh keberkatan ini.

Seperti biasa, sehari menahan lapar dan dahaga, saat berbuka merupakan detik yang amat dinantikan. Pelbagai juadah, hidangan dan minuman yang sukar ditemui, tetiba muncul. Itu juga sebahagian godaan di bulan ini. Sama ada buat sendiri ataupun dicari di bazar Ramadhan. Cuma yang membezakan adalah qualiti. Nama yang sama tapi rasa berbeza.

Saya teringin sekali makan opal, sejenis murtabak kecil. Tetapi tidak ramai yang dapat menandingi kehebatan arwah Tok Mak, nenek saudara saya. (Ada jual tapi tak sedap...berminyak)Dia yang hidup di persekitaran istana, mempunyai kemahiran ini. Begitu juga dengan murtabak. Kalau adapun seorang lagi, Mak Ku Tengku Wok, (orang Terengganu sebut Mok Ku Ku Wok) tetapi saya kena lupakan hasrat ini kerana beliau sedang uzur. Satu lagi yang saya ingin rasa kuih Tat Tengku Yam, memang best giler. Saya dapat tahu anak-anak arwah, (dia ni pangkat moyang dengan saya) masih mewarisi resepi ini. Raya kali ni saya kena order banyak dari Kak Tengku Shamsiah. Dulu mereka ini berada di kawasan sekitar Istana Maziah dan Ladang, tetapi kerana pembangunan, terpaksa dipindahkan. Akhirnya berselerak...mungkinkah selepas ini keunikan resepi ini akan pupus...keluarga kami telah alami. Tidak ada siapa lagi yang tahu membuat jamu, mengadun rempah dan pelbagai resepi yang selama ini menjadi kebangaan segelintir masyarakat Terengganu. Saya dimaklumkan resepi rempah itu diwarisi daripada generasi terdahulu yang berakar umbi dari Riau Lingga.

Di Terengganu, terdapat berpuluh dan mungkin ratusan resepi masakan, tetapi saya rasa ia berada di ambang kepupusan. Kini selepas ketiadaan generasi tua, saya dan adik beradik mula menyesal kerana dulu tidak pernah peduli ini semua. Evolusi masakan memberi kesan ketara kepada penyediaan makanan. Saya khuatir, mungkin "authentic" akan hilang ditelan zaman.

Bayangkan dulu untuk memasak gulai nasi dagang, santan perlu direbus selama 8 jam, tetapi sekarang ramai yang menumis, sebab itu kuah nasi dangang yang original akan berwarna hitam, bukan merah. Cara memasak kuah laksa Terengganupun sama. Mengambil masa yang begitu lama.Begitu juga dengan penyediaan ayam golek. Ayam telah dipanggang akan disiram kuah selapis demi selapis....tetapi sekarang main belasah masuk oven...Janji masak.

Saya merasa berbangga apabila tahun lepas, Mak Ku menghadiahkan periuk tembaga yang berusia lebih 100 tahun, milik seseorang yang mempunyai kaitan dengan keluarga kami. Ia memupuk semangat saya untuk terus memelihara keaslian masakan Terengganu, tetapi ramai generasi tua keluarga kami yang dah meninggal dunia. Bila terpandang periuk berkenaan saya membayangkan bagaimana satu ketika ia begitu banyak menyumbang kepada masakan terutama di istana.

Dulu masa saya kecil-kecil saya selalu tengok Tok Mak buat emas sejemput. Telur itik yang masak dalam air gula pekat. Ia dimasukkan ke dalam gelang buluh bersaiz 50 sen. Bila masak dibuat bentuk bunga. Percaya atau tidak, benda yang sama dihidangkan di Istana Raja Thai...Ini mungkin pengaruh Siam.

Bila Ramadhan tergerak hati hendak balik ke Terengganu. Tetapi sesuatu yang pasti sukar untuk mencari makanan yang benar-benar sedap. Banyak yang dijual untuk tujuan komersil. Nek bat misalnya, kalau tidak kena gaya, akan rasa masam. Tahi itik kalau terlebih masak akan berketul-ketul. Begitu juga dengan Puteri Mandi, nanti liat semacam. Kalau ada warung yang sedap, cuba pergi ke Simpang Mengadang Akar, dekat Gong Kapas. Alahai tiba-tiba terbayang rokok arab. Ia bukan tembakau tetapi kuih kapit yang digulung. Dulu ada dekat Ladang, tetapi apabila mak meninggal saya tahu hendak mencari rumah orang yang membuat.
Tiga bulan lepas beli rojak kateh...isi kaki lembu yang dibasuh dengan air kapur, kemudian direbus. Ditoskan kemudian dimasukkan dengan cili boh, gula melaka, air asam jawa dan sedikit belacan. Kena masak dalam satu jam. Kemudian campurkan dengan kateh tadi. Makan macam tu aja. Tetapi yang saya beli tak sedap giler.

Sejak dulu saya tercari-cari macaman rupanya kuih Che Abas Demam. Sampai sekarang tak jumpa.

Saat-saat begini, sekali sekala rindu akan menjengah. Teringat kenangan di 708. Kehebatan Wan memasak menggunakan kuali tembaga, batu giling dan pengisar...segalanya ikut tradisi, ketelitian Mak menjaga warisan adunan bahan, ketegasan Tok Mak yang tidak bertolak ansur, (kalau makanan tidak sedap, siap semua akan kena marah) dan kesabaran Tok Ki membuatkan saya tersenyum.

Saya percaya....semua orang melalui pengalaman yang sama.










No comments: