Wednesday, August 20, 2008

nak jadi apa

Seingat saya, dari kecil saya ditanya Tok Ki, awak bila besar nak jadi apa? Saya pada masa itu tidak terlintas apa-apa. Cuma seingat saya ketika berusia 12 tahun, saya tanamkan tekad untuk menjadi seorang guru, wartawan dan peguam. Bermula dari situ apabila memasuki sekolah menengah saya tidak pernah menoleh.
Peluang menjadi guru tercapai sewaktu saya menunggu keputusan STPM. Saya meminta ditempatkan di kawasan yang sememangnya terpencil di Setiu, Terengganu. Setiap hari saya berulang alik dari 708 dengan jarak hampir 150km. Di sini pengalaman pertama menjadi pendidik. Melihat anak-anak pedalaman datang ke sekolah hanya berkaki ayam wal hal kita telah lama merdeka. Saya tidak lama mengajar di Sekolah Rendah Jelapang. Di sini saya banya tersentuh dengan kebaikan budi masyarakat desa. Sebagai generasi keempat yang cuba menceburi bidang perguruan, saya dapat merasakan bagaimana moyang saya mengajar di Kuala Terengganu pada awal abad ke 20.
Saya juga banyak berkongsi cerita dengan arwah nenek saya Zaharah Abdullah@ Cikgu Arah yang begitu berbangga menjadi cikgu dan begitu dikenali di sekitar Johor Bahru dan Kota Tinggi. Saya tidak lama mengajar kerana mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti. Saya harap ada antara mereka yang pernah saya didik yang berjaya.
Saya juga menjadi guru sementara sebaik habis belajar, sementara menunggu tawaran kerja. Saya pernah mengajar di Bukit Senyum, Johor Baharu, sebelum mendapat tawaran sebagai Pegawai Tadbir Negeri.
Walaupun tidak lama, saya lalui sendiri kerjaya yang kebanyakan diceburi ahli keluarga kami. Sesuatu yang menyeronokkan.
Tetapi apabila mendapat tawaran sebagai Pegawai Tadbir Negeri, ia satu kerja yang berprestij. Bayangkan daripada beribu calon yang memohon hanya 11 orang yang dapat termasuk saya. Ketika ditemuduga, saya masih ingat barisan PAC, ada yang mengenali keluarga saya, atau saya dipilih kerana sememangnya saya layak. Saya kerja hampir dua tahun dan meletak jawatan di saat hendak disahkan jawatan. Bukan apa saya tak tahan ditempatkan di Majlis Agama Islam Johor.
Walaupun melakukan kerja-kerja pentadbira, jiwa saya bukan di situ. Walaupun tidak mencapai cita-cita menjadi peguam, saya masih mempunyai peluang untuk menjadi wartawan. Dulu tawaran datang serentak, menjadi Pegawai Tadbir atau Wartawan. Saya ikut pilihan keluarga, apakan daya jiwa saya bukan di situ.
Saya akhirnya nekad menjadi wartawan, walaupun keputusan saya menyakitkan hati orang tua...(Mak& Abah, Abang Wad, Kak Long dan lain-lain maafkan saya dunia dan akhirat). Saya cuba menjadi seorang "newsman".
Selepas hampir setahun setengah, saya akui sukar dan berpatah balik. Keluarga saya gembira dengan keputusan untuk kembali semula ke JB. Kali ini sebagai eksekutif di JCorp. Saya ditempatkan di Pejabat Ketua Eksekutif. Satu lagi perkara yang saya lakukan bertentangan dengan naluri dan kehendak saya. Selepas dua tahun, saya mencuba sekali lagi dan akhirnya menjadi wartawan semula. Kini selepas lapan tahun, saya sering tertanya apa yang dicari dalam hidup...apakah mencapai kepuasan, walaupun dulu ketika berbahas dengan keluarga saya katakan, pangkat dan wang bukan matlamat hidup saya.
Saya perlu terima hakikat, adakalanya kita perlukan itu semua.
Kini saya cuba meneroka kerja yang baru, mencari peluang untuk kehidupan yang lebih baik. Itu yang saya tercari-cari.
Saya amat meminati dunia kewartawanan. Saya dah korbankan masa, komitmen dan apa sahaja untuk itu. Kini saya terfikir, apakah saya sudah mencapai kepuasan yang saya cari....Jawapannya TIDAK.
Saya sangkakan dulu, saya mampu pergi jauh, tetapi ternyata ada sahaja halangan, ia banyak bergantung kepada pelbagai faktor.
Sekarang baru saya tahu kenapa Mamoo tinggalkan kota Paris. Menjadi seorang surirumah tangga dan berada jauh di Terengganu. Bulan lalu ketika saya merasa tertekan, beliau memberikan satu tips" Kemodenan perlu dilihat dari sudut negatif. Apa yang A.. lihat sewaktu berada di Milan? Paris? Kemodenan adakala membawa keburukan. Masyarakat yang terlalu materialistik" Saya jawab qui...ya. Kata-kata itu membawa maksud yang mendalam bagi saya.
Ini kerana sikap materialistik, wujudnya budaya kawan makan kawan.
Dengan menjadi wartawan saya mempunyai peluang untuk menggembara. Mencari dan mengenali kemanusian. Paling penting KESAKSAMAAN. Naluri untuk menggembara sentiasa ada. Mungkin darah ini mewarisi semangat nenek moyang kami, yang merentas lautan. Cita-cita untuk belayar tidak pernah padam. Walaupun pernah merentasi Selat Melaka, cita-cita saya ingin pergi jauh, seperti Martin Perrot yang belayar dari Perancis dan akhirnya memilih Terengganu sebagai destinasi.
Kini dengan kerjaya sebagai wartawan, banyak tempat yang sudah saya jejaki. Saya masih tidak berpuas hati. Saya pernah menjejaki laluan sehingga ke Eropah, tetapi dengan kapal terbang!!!!! ingin sekali belayar sebagaimana Mamoo lakukan.
Saya berharap, impian untuk menggembara akan menjadi kenyataan. Untuk itu saya perlu kumpul wang dan mencari kerja lain yang lebih baik yang memungkinkan saya mencapai apa yang didamkan.
Saya tidak pernah menyesal menjadi wartawan. Kerana keputusan ini datang dari hati saya sendiri. Tetapi apa yang dikesalkan persekitarannya. Budaya tikam belakang dan mengipas kini menjadi budaya. Ini bukan perkara baru. Sejak dulu memang dah ada tetapi bezanya, ia seolah-olah menjadi syarat untuk berjaya. Itu amat mengecewakan.
Mungkin untuk pergi lebih jauh, saya perlu keluar dari sini. Kini saya mencari-cari. Semoga masih ada peluang dan kesempatan.

No comments: