Saturday, August 30, 2008

Detik 31 Ogos

Tinggal tidak berapa jam lagi, detik 31 Ogos akan disambut. Pelbagai cara dan aneka sambutan diadakan. Semua tahu ia menjadi kalendar tahunan. Di ibu negara, pasti Dataran Merdeka kan menjadi lokasi penting "countdown". Selaku generasi pasca merdeka, jiwa saya mungkin lain dengan pejuang kemerdekaan. Apa yang penting semangat yang ditinggalkan diwarisi, kerana untuk menebus kembali maruah dan harga diri bangsa kita terpaksa berjuang lebih 400 tahun. Satu tempoh masa yang lama. Sepanjang tempoh itu, kita diperkotak katikkan penjajah. Bangsa kita akhirnya berpecah mengikut sempadan politik yang ditentukan Inggeris dan Belanda, selepas Perjanjian Inggeris-Belanda, pada1824.
Akhirnya, bangsa Melayu yang serumpun dicarik-carikkan mengikut kepentingan Barat. Dulu semasa saya di alam kanak-kanak, Tok Ki sering menceritakan bagaimana Barat menjahanamkan kekuatan Melayu. Sultan atau pemimpin yang enggan mengikut telunjuk akan diturunkan dan dibuang.Nama mereka juga sebolehnya cuba dipadamkan dalam catatan sejarah.
Bermula dengan William Farquhar dan seterusnya Raffles kekuasaan Johor Riau Lingga sedikit demi sedikit dilemahkan. Mereka yang diberi kuasa akan dilalaikan manakala mereka yang menentang disisihan. Sistem politik Melayu akhirnya runtuh.
1911, Sultan Abdul Rahman Riau, diturunkan takhta dan terpaksa membawa diri ke Singapura. Sebelum itu, 1866, Sultan Mahmud Riau diturunkan takhta dan akhirnya mangkat di Kuala Pahang selepas pelbagai percubaan untuk mendapat semula kuasa dipermainkan penjajah termasuk Raja Mongkut. Akhirnya waris keturunan mereka tidak lagi menjadi golongan "borjouis"dan terpaksa hidup sebagai rakyat yang dinafikan hak demi survival. Kesudahan ramai antara mereka terpaksa membawa diri ke Terengganu dan Johor.
Paling malang, apa sudah jadi dengan waris Sultan Husin di Singapura? Istana Kampung Gelam akhirnya diambil kerajaan. Hanya tinggal nama.
Itu semua pengajaran yang penjajah tidak pernah ikhlas.
Akhirnya selepas Perang Dunia Pertama dengan sistem pendidikan yang lebih baik, semangat nasionalisma mula bangkit. Muncul mereka yang mula memperjuangkan sistem sosial dan ekonomi yang lebih baik kepada orang Melayu.
Keadaan itu mula ketara selepas kesedaran orang Melayu dipengaruhi gelombang politik Indonesia. Sarekat Islam, Muhamadiyah dan sebagainya memberi kesan ketara kepada orang Melayu di negara ini.
Sebelum fasa Perang Dunia Kedua bermula, orang Melayu mula didedahkan dengan idea yang dianggap pelampau oleh penjajah. Sebelum perang meletus, Utusan Melayu, banyak meniupkan semangat, bukan untuk merdeka tetapi kesedaran. Terima kasih Rahim Kajai.
Pada masa ini, muncul pelbagai pertubuhan yang dianggap puak kiri oleh British. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya, PKMM misalnya didakwa sebagai berfahaman komunis.
Pelebelan ini berterusan sehingga kita menyambut 31 Ogos pada 1957.
Nama-nama seperti, Pak Sako, Ibrahim Haji Mohamad, Burhanuddin Yaakob, Shamsiah Fakeh, Khatijah Sidek dan ramai lagi seolah dilupakan.
Begitu juga dengan nama Maharaja Lela, Mat Kilau, Tok Janggut Abdul Rahman Limbung, Rentak, Pak Musa dan Rosli Dhobi.
Adakala kita perlu berani berfikiran kritikal.
Dulu saya pernah mengenengahkan tokoh-tokoh kumpulan kiri sempena Hari Kemerdekaan. Ada yang rasa kurang senang.
Kepada mereka ini, jawapan saya ringkas, matlamat mereka sama, menghalau penjajah walaupun caranya berbeza.
Ingat bukan UMNO dan perikatan sahaja yang perjuangkan kemerdekaan. Cuma nasib memihak kepada mereka.
Mungkin benar kata pujangga, SEJARAH DITULIS OLEH MEREKA YANG MENANG.
Renung-renungkanlah.

No comments: