Thursday, August 7, 2008

Bukit Kecil@DID

708, Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu....alamat yang ringkas. Rumah pusaka yang diwarisi lima generasi. Lima buah bilik dengan dua ruang tamu. Ada garaj dengan sebuah bilik setor. Rumah yang punya sejarah yang panjang, dari kawasan Istana Batu Buruk, dipindah dan dibina semula. Di kenali sebagai Rumah Potong Belanda. Lantai cengal dan dinding seraya dari hutan Pahang.
Ceritanya rumah itu dibina semula dengan mendapat petunjuk ulamak Terengganu ,Haji Mat Shafie, dibina menghadap matahari naik dan setentang dengan arah kiblat.
Tapi perubahan masa, kami tidak lama di rumah yang pernah menjadi antara rumah tercantik di kawasan itu pada satu masa dahulu.
Seingat saya ramai saudara mara dari serata Malaysia datang dan suka tinggal di rumah kami. Keluarga dari Johor Bahru, Singapura, Sabah, Arab Saudi dan Perancis. Unik rumah ni. Pernah satu ketika ia dikelilingi 9 batang pokok mempelam yang mana benihnya dari Bangkok. 7 batang pokok kelapa. Ada telaga kat belakang umah walaupun kami tak guna sebab ada bekalan air paip. Kesudahannya perigi tu jadi perigi buta...tempat kami lepaskan ikan haruan atau sepak.
Secara tiba-tiba teringat rumah lama ni. Gambar lama masih kami simpan.
Kerana tuntutan masa, kami semua terpaksa tinggalkan rumah yang bersejarah ini. Teringatkan Cik Jah yang kerja cuci kain, Wan Zainab yang menjadi tukang masak, dia kami suka usik, sebab dia tak boleh tengok daging, dia akan menjerit dan lari lintang pukang. Cik Jah adalah pembantu yang paling setia. Ketika kami semua berada di Kuala Lumpur, arwah Wan keseorangan, dia tetap datang dan temankan Wan di malam hari dan sikatkan rambut setiap pagi, walaupun tidak dibayar apa-apa. Itu yang dikatakan kekihlasan. Saya sendiri tertanya ke mana perginya mereka yang pernah bekerja di rumah itu. Pak Li, Pak Cik Jamal, Pak Cher dan Pak Weil yang setiap hari hantar ikan segar dan ramai lagi, ingin sekali mencari tetapi masa yang terbatas membantutkan hasrat itu.
Atas faktor tertentu, rumah tu terpaksa dikosongkan dan Wan akhirnya terpaksa menurut kehendak anak cucu dan berpindah randah dari sebuah rumah ke sebuah rumah. Setelah kosong hampir 10 tahun, 1994-2004 kami mengambil keputusan menjual rumah yang pernah menjadi tempat arwah Tok Ki bertemu rakan politiknya.
Saya sedih kerana rumah tempat kami dibesarkan, terpaksa dirobohkan. Bukan kerana tuntutan kewangan, kerana rumah itu akhirnya jadi rumah tinggal, usang dan tidak terjaga. Pernah bagi sewa, tetapi niat baik kami yang tidak kisah mengenai sewa diambil kesempatan, sebuah bilik yang penuh dengan barang tembaga, termasuk beberapa koleksi pakaian arwah Tok Ki dipecah dan dibawa lari. Paling berharga bekas bakar kemenyan yang berusia lebih 200 tahun.
Sekarang bila balik ke Kuala Terengganu, saya tidak pernah lupa menjengah tapak, 708. Keramahan jiran, keunikan keluarga kami yang terdiri daripada pelbagai bangsa, berkubur di situ.
Bulan lepas, Boris balik ke Terengganu selepas 20 tahun berada di Perancis, dia sedih dan menangis kerana rumah kami tiada lagi...hilang sebagaimana hilangnya arwah Tok Ki kami. Bagi yang pernah berada di rumah ini, kalian tidak akan melupakan pengalaman tersendiri, Pak Heinz, Puan Maria, Boris, Maryam Julie Alice dan Clio dan ramai lagi, walau di mana kita berada, saya tahu, 708 akan kekal dalam ingatan kita sampai bila-bila, kerana rumah ini sebahagian daripada sejarah kita.
Saya sendiri selepas 20 tahun bergelandangan di Kuala Lumpur sering mimpikan rumah Potong Belanda itu. Satu-satunya rumah yang pernah ada peti telivisyen dan peti sejuk sewaktu awal tahun 70 an. Seingat saya ramai yang datang untuk tengok TV tapi ia tidak menganggu privasi sebab rumah tu ada dua ruang tamu dan ada 3 pintu masuk....Lagipun arwah Tok Ki dikenali sebagai seorang yang suka belanja sesiapa sahaja yang datang ke rumah kami. Ketika hayatnya, rumah ini tidak pernah sepi, dari peminta sedekah sehingga Tan Sri dan Kerabat Diraja, ada sahaja yang datang. Yang pasti, Wan akan menghidangkan mereka dengan kopi O dan keropok goreng.
Mungkin satu masa, saya mempunyai kesempatan membina rumah yang sama walaupun di lokasi yang berasingan...siapa tahu.
708 Jalan Bukit Kecil @ 708, Jalan DID, Kuala Terengganu...dan kereta Volvo TA50 tidak akan kami lupa.

No comments: