Friday, August 29, 2008

kai fa ha lak




Assalamualaikum...kai fa hal lak? tetiba ada suara menegur sewaktu selesai solat Jumaat, sepantas mungkin saya menjawab...alhamdulillah ana bil khair. Wa anta kaifa halak? Spontan menanya. Lama tidak mendengar pertanyaan seperti itu. Sepatah demi sepatah cuba bertutur dalam bahasa Arab, merangkak-rangkak bertutur dengan Halim yang begitu fasih berbahasa Arab Fasahah.



Halim tanya Hal anta atisya...la' ana syaba'an. Lapar ker, saya jawab tak saya kenyang. Tetapi hari ni saya belajar perkataan baru, sanazhab ila maqsaf adhawi..adhawi? ma za? Saya tanya apa dia adhawi? ooooo baru saya tahu maknaya organik. Dia ajak pergi lunch kat restauran organik...Sepanjang jalan kami bercakap Arab Fasahah walaupun saya sangkut-sangkut.Wau rasa puas sebab dapat bercakap.



Selepas 19 tahun meninggalkan SMAASZA, penguasaan bahasa Arab sedikit demi sedikit hilang, perbendaharaan kata sedikit demi sedikit lupa. Tetapi saya cuba juga berkomunikasi dengan kawan-kawan kerana dahulu sewaktu bersekolah, kami setiap hari Rabu diwajibkan bertutur bahasa Arab. Terlalu banyak kenangan semasa belajar muhadasah@perbualan.



Semasa saya tingkatan 5, kami mempunyai guru bahasa dari Mesir. Kami sekelas bercakap Arab dan dia bercakap Melayu. Satu hari sewaktu lambat masuk kelas, Ustaz Mustapha dengan pelat Arab meminta maaf, " murid-murid maaf saya terliwat. Kami sekelas ketawa berdekah-dekah. Selepas menjelaskan kepada ustaz berkenaan, muka dia merah dan terus keluar dari kelas.



Pengalaman hari pertama di SMAASZA, saya rasa saya mungkin murid yang paling "bodoh". Buta huruf, tidak tahu baca jawi dan sama sekali tidak tahu membaca al Quran. Macamana boleh berada di sekolah berkenaan. Kerana tidak mahu rasa rendah diri, saya berjaya menguasai tulisan jawi dalam masa sebulan. Bahasa Arab, ok tidak ada masalah. Saya terlalu kerap disebat dimarah, akibabtnya, saya hilang minat dengan bacaan al Quran dan agama Islam, saya sering dapat merah. Ia berterusan.




Saya sentiasa mogok dengan orang tua dan meminta dikeluarkan dari sekolah berkenaan. Tetapi saya silap strategi. Saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan penggal pertama. Bila orang tua saya jumpa Sehrif Lobbo...panggilan manja untuk guru besar kami, dia panggil saya. Menggigil bila ditanya, kenapa nak keluar dari sekolah ni, orang lain menangis nak masuk awak menangis nak keluar. Ni keputusan peperiksaan, awak tak ada masalah cuma agama awak lemah, saya tak bagi awak keluar dari sekolah ni. Sebab takut, saya tidak menjawab. Bila balik rumah, saya merajuk lagi. Tapi nak buat macamana, kemasukan ke sekolah berasrama penuh yang lain dah ditutup.



Saya teruskan sahaja persekolahan. Belajar agama jadi subjek yang paling tidak disukai. Pernah disuruh pamping 25 kali(sampai dikejarkan ke hospital sebab sakit dada@semput), kena rotan kaki dan tangan sebab ponteng kelas(protest sebab ustaz Ya...selalu hina dan pandang rendah kepada saya sebab tidak mampu baca surah lazim serta doa) Saya juga pernah kena hukum duduk bawah meja dengan Jack (sekarang kat Petronas Carigali)...mana ada guru hukum macam tu...Sebab benci sangat kat ustaz ni saya pernah protest dia masuk....saya keluar kelas, sebab berani buat, berani tanggung. Kena rotan kat bontot dan tangan. Bila habis SRP padan muka saya, subjek lain dapat distinction, agama dapat 8.




Ketika itu, ada seorang senior yang baik hati. arwah Syed Ahmad Zaki. Selalu bagi semangat. Kali terakhir saya jumpa dia sewaktu ambil keputusan SRP 28 Disember 1985. Dia tepuk belakang...salam dan ucapkan tahniah. Saya masih terbayang-bayang senyuman dia waktu tu. Dua bulan selepas itu dia meninnggal dunia, kerana pneuomania,..dia tidak pernah ceritakan kepada sesiapa yang dia mengidap penyakit ni, sehingga dia terjatuh dan meminta room mate ambilkan ubat. Dah takdir pada masa itu ubat dia dah habis. Dia meninggal sewaktu dalam perjalanan ke hospital. Arwah suka mandi malam kerana nak segarkan badan. Ketika orang lain tidur, dia akan gunakan lampu tangga untuk menelaah. Bila senior saya memberitau Zaki dah tak ada, saya menangis sebab tidak dapat menatap wajah dia buat kali terakhir. Dia menjadi batch terakhir asrama penuh persijilan KUSZA, sedangkan kami menjadi batch pertama di SMAASZA, saya dapat tahu selepas dia dikebumikan, ramai tidak tahu dia banyak memberi semangat kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan jangan putus asa. Zaki...al fatihah, Selepas 22 tahun, setiap kali saya lalu tempat kami bergambar..saya akan sedekahkan fatehah. Kuasa Tuhan gambar tu negatif rosak, saya akan teringat nasihat yang diberikan, kalau tidak kerana kata-kata semangat mungkin saya tidak berada lama di sekolah agama dan berada di kedudukan sekarang.




Paling best saya terus cemerlang dalam bahasa Arab...sampai ke tingkatan Enam, walaupun sepanjang tempoh tu ada sahaja gelaran yang saya berikan kepada ustaz dan ustazah kami. Kalau garang kami panggil singa, kalau slow sangat mengajar, kami panggil ustazah seayat. Kalau pakai kemas sangat kami panggil gelaran cawat atau pinggang secekak. Macam-macam. Pernah kami 4 orang dipanggil kerana mengukur badan ustazah ketika mengajar.Ustazah tu siap menangis dan nama kam berempat dikenali dan harum di sekolah. Malang bagi kami bila kebanyakan ustazah enggan mengajar sehingga kami meminta maaf. Tetapi itu semua tidak menghalang penguasaan bahasa Arab.



Kini bahasa Arab masih menjadi kebanggan walaupun penguasaannya tidak sebaik dulu.



Ila hina....maa salamah.

No comments: