Wednesday, August 13, 2008

budi@bahasa

Mulakan setiap hari dengan perkara baru, itu pesan ringkas kebanyakan pakar motivasi bagi berdepan dengan kerenah di tempat kerja. Tetapi frasa itu menimbulkan persoalan bagaimana kalau perkara lama berulang saban hari? Bukan sehari, bukan sebulan tetapi bertahun. Mungkin ia tidak begitu relevan dalam situasi tertentu dan perlu diperbetulkan.
Setiap manusia mempunyai ragam tersendiri. Itu hakikat. Dengan keunikan tersendiri kekadang ada antara kita yang tidak peduli dengan apa yang dirasa orang lain. Spesis seperti ini dikenali manusia pentingkan diri sendiri. Yang aku tahu, aku ada perasaan, itu mungkin yang ada dalam kepala otak mereka.
Perkara yang paling menyakitkan hati apabila berurusan dengan kategori seperti ini. Bayangkan, jika perbualan dimulakan dengan ucapan"boleh minta tolong", dibalas dengan nada yang tinggi" apa dia", "suka hati akulah, kalau free aku buat". Paling menyakitkan hati apabila diberi barang dan dicampak.
Saya percaya setiap organisasi mempunyai piagam pelanggan dan benchmark, kekadang terfikir, yang ini semua berguna sewaktu berurusan dengan pelanggan, bagaimana pula bila berurusan dengan sesama pekerja. Di sini letaknya profesionalisme dan kod etika. Tetapi berapa kerat yang mengaplikasi ini semua. Lebih memburukkan keadaan apabila mereka yang dikategori dalam spesis ini memegang jawatan yang lebih tinggi dari orang lain, dia lupa serobong hidung sepatutnya ke bawah, tetapi dek rasa bongkak dan bangga, lubang hidung dia dah jadi macam lubang serobong keretapi wap.
Siang tadi saya diherdik, dek kerana minta tolong, bukan pertama kali diperlekehkan. Terlintas ikutkan panas baran, dibaling sahaja, tetapi saya kena berfikiran positif sebab sebelum itu saya menasihatkan kawan saya supaya melepaskan marah dengan menarik nafas panjang-panjang dan lepaskan. Saya beredar dan buat perkara yang sama, ok terasa lega.
Mungkin dia rasa saya tidak sama taraf dengan dia, atau dia sudah merasakan berada di kedudukan yang tinggi. Bezanya ketara bila dia dipanggil bos, mulalah dengan bahasa dan gerak badan yang sopan santun walhal hipokrit. Mungkin kerana lakonan inilah spesis ini dinaikkan pangkat, sedangkan kelayakan akademiknya jauh panggang dari bara. Mungkin dengan cara ini mereka boleh menutup kelemahan diri. Caranya cari kelemahan orang lain, jaja kepada bos.
Memang tidak dapat dinafikan, hidup mesti diserikan dengan lawak dan gelak ketawa, tetapi kebanyakan mereka menjadikan kelemahan orang lain sebagai bahan lawak. Bagaimana kalau dia berada pada kedudukan orang yang ditertawa? Apakah mereka yang ditertawa itu tidak ada harga diri dan perasaan. Ini satu penderaan. Lebih buruk kalau yang diketawa mempunyai kecacatan fizikal. Sesekali cuba berada pada tempat itu. Kalau tidak hendak letak diri sendiri, cuba letak anak sendiri pada tempat yang sama, hayati gelak ketawa yang dibuat...mesti dapat rasa, macamana sakitnya hati.
Kekadang mereka ini tidak mempunyai profesionalime langsung apabila cuba menjaja kisah peribadi@ kisah dalam kain. Bab ni paling menyampah.
Sesekali timbul persoalan, sampai bila nak berdepan dengan spesis macam ini. Yang pasti mereka ada di mana-mana. Sekarang bergantung kepada kebijaksanaan kita untuk berdepan dengan mereka.

No comments: