Wednesday, December 3, 2008

Tangguh Lagi

Semalam, Thailand secara rasmi menangguhkan Sidang Kemuncak ASEAN yang sepatutnya bermula pada 13 hb Disember depan di Chiang Mai. Ia akan diadakan pada pada Mac ini, mungkin di Bali.

Tugasan saya yang ketiga terpaksa ditangguhkan tahun ini. Sebelum itu, dua hari sebelum berlepas ke Pakistan, tugasan saya terpaksa ditangguhkan selepas 80 mati akibat serangan pengebom nekad. Begitu juga ke Kemboja, terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir.

Siang tadi saya telah menyiapkan proposal untuk membuat tugasan berhubung situasi politik di Thailand. Saya telah serahkan kepada Big Bos dan dia berjanji akan lihat. Saya mempunyai alasan dan rasional tersendiri kenapa perlu berada di sana. Soal keselamatan nyawa adalah perkara picisan dalam dunia kewartawanan.

Pengalaman tidak akan dapat dibeli dengan wang ringgit. Ia satu kepuasan peribadi. Mengharungi detik-detik kritikal dan cemas memberi 1001 pengajaran. Teringat semasa rusuhan di Kuala Terengganu selepas PAS kalah pada pilihanraya 2004, kami bertempiaran lari selepas dikejar Pasukan Polis Persekutuan, FRU. Ketika itu salah seorang kawan saya dari akhbar The Star panik dan terkujap selepas terkepung dengan penyokong parti pembangkang. Jika tidak saya peluk dan bawa dia beredar mungkin dia terkena belantan. Dalam suasana cemas saya angkat pas akhbar, sambil membawa dia lari.

Paling tidak dapat dilupakan apabila mengalami sendiri gempa bumi di Aceh. Pada masa itu gempa teruk memusnahkan Pulau Nias. Saya menyerahkan diri kepada Allah kerana semua orang bertempiaran lari sambil menjerit-jerit.

Saya amat berharap diberi peluang lagi untuk membuat liputan sebegini. Saya ingin sekali ke Afghanistan, Kashmir, Iraq dan Palestine. Apalah sangat nilai nyawa saya berbanding penderitaan mereka.

Hidup sebagai wartawan menjadikan saya kaya pengalaman walaupun miskin harta. Ini hidup yang saya pilih.....Buku Meniti Lautan Gelora karya bekas Ketua Pengarang Utusan yang dipenjarakan selama 19 tahun tanpa dibicarakan, Said Zahari sedikit sebanyak menguatkan semangat untuk terus setia dalam bidang ini. Bukan mudah menjadi wartawan tulen yang tiada kaitan dengan mana-mana pihak dan mengenepikan kepentingan peribadi.

Saya tiada wang dan kedudukan untuk membela orang susah dan tertindas...tetapi saya ada mata pena untuk terus berjuang bagi membela ketidakadilan sejagat...memupuk kesedaran insani dan menghargai kemanusian.

No comments: