Saturday, December 6, 2008

Selamat Tinggal 708 S2

Entah di mana sekarang papan yang pernah menghiasi 708 berada. Segalanya telah berlalu. Rumah yang pernah berada di perkarangan istana diRaja Terengganu itu menyimpan 1001 misteri. Saya sendiri pernah alami beberapa kejadian aneh. Bukan muda usia rumah berkenaan, bahkan ia melebihi 130 tahun.

Kali terakhir saya berdepan dengan kejadian pelik pada 1999, sewaktu itu ia telah ditinggalkan kosong lebih 5 tahun. Setiap kali sebelum raya, saya akan menjengah dan membasuh rumah, sebelum membawa Wan pulang melihat dan meninjau rumah yang menyimpan pelbagai peristiwa manis beliau dengan Tok Ki.

Di bulan puasa, biasalah akan kepenetan. Selepas habis mencuci, saya tertidur di ruang tamu perempuan yang kemudiannya dijadikan tempat menonton televisyen. Ketika terjaga saya terdengar tombol pintu di ruang tamu lelaki berbunyi dan dikuti bunyi perempuan menangis. Saya terjaga dan dengan mulut cabul saya cakap" anak cucu balik jangan kacau". Alhamdulillah tiada apa yang pelik berlaku selepas itu. Saya tidak ceritakan kepada Wan kejadian ini, kerana saya tahu arwah mengetahui misteri rumah yang pernah menjadi kediaman keluarga bangsawan Terengganu.

Semasa saya berusia 19 tahun, saya biasa diganggu terutama bila tidur di bilik yang terletak di anjung kiri. Bila tutup lampu, ada makhluk yang akan geletek tapak kaki dan bila tutup selimut hingga ke kepala, dia akan tarik ke bawah. Tetapi pelik sebab saya tidak pernah rasa takut. Dulu pernah ada orang terserempak dengan dua pengawal yang berpakaian panglima Melayu siap bertanjak dan memegang lembing sedang mengawal rumah itu. Dia menjelmakan diri. Bagi rumah Melayu terutama milik keluarga diRaja dan bangsawan, ia adalah perkara biasa, di mana rumah mereka lazimnya dijaga oleh makhluk halus yang tidak nampak dengan pandangan zahir.

Bila rumah itu disewakan selepas Wan tidak lagi larat untuk pulang, banyak barang antik milik keluarga kami dicuri. Saya percaya orang yang berkenaan tidak akan terlepas dari gangguan. Paling berharga, bekas kemenyan yang berusia hampir 200 tahun. Itu tidak termasuk baha tembaga, pinggan mangkuk dan pakaian lama.



Sebagian barang antik yang kini berada di rumah pak cik saya

Dulu barang antik milik oneng saya pernah dicuri oleh cucu angkat, akhirnya salah seorang daripada mereka kena gangguan dan jadi tidak betul. Mungkin kena tulah atau daulat mengambil barang bukan milik mereka. Yang paling dikesalkan saya tidak tahu di mana hendak mencari semula barang berkenaan. Sebahagiannya kami temui di Muzium Terengganu tetapi yang lain seperti dulang santap tembaga dan keris hukuman tidak pernah ditemui. Ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi apatah lagi dulang santap yang mungkin berasal dari keluarga Bendahara Seri Wak Raja Pahang. Oneng perempuan kami mempunyai gelaran Tun di pangkal nama. Beliau adalah Tun Sharifah yang pangkat sepupu dengan Sultan Ahmad Pahang yang Pertama.

Empat bulan dulu, salah seorang pak cik saya sebelum meninggal dunia, bertanyakan adakah keluarga kami menyimpan pistol kurniaan Sultan Zainal Abidin Ketiga kepada moyang saya...ohhh pertama kali saya mendengar perkara ini, moyang ada pistol????macam ala-ala cowboy lak. Dia menyarankan supaya menjejakinya...Ohhh tidak, itu sesuatu yang amat payah.

Ramai generasi muda keluarga kami tidak tahu yang pangkal nama raja dan wan yang mereka guna sekarang bermula dari sini. Sultan Yahya Abdul Jalil Muzafar Shah, Sultan Siak yang diturunkan takhta sewaktu menziarahi Terengganu. Baginda kemudian mangkat dan dimakamkan di Dungun.

Apabila pulang ke Terengganu, kami tiada lagi monumen yang mempunyai nilai sentimental untuk dikenang sebagai warisan yang boleh dibanggakan. 708 telah dijual. Itu yang membuatkan saya terkilan.

Selepas ini, tapak 708 akan dibangunkan bungalow. Siapalah saya untuk terus menjengah ke situ. Selamat Tinggal 708...

1 comment:

Anonymous said...

sejarah keluarga yang panjang ye bro razali..teringin nak tahu dengan lebih lanjut..seronok juga bila tahu salasilah keluarga kita kan...tapi untuk saya tahu sejarah keluarga saya dari nenek moyang,macam agak mustahil...sebab mak saya anak angkat..dan sejarah keturunan sebelah ayah pula banyak dah lupa sebab yang dah berumur semua sudah tiada...