Sunday, December 7, 2008

Apa Cer?

Seperti biasa bila balik saya akan bersembang dengan Maman (sebutan Mamoo @ emak dalam bahasa Melayu), dia mak cik saya. Dari dulu sampai sekarang saya memanggil beliau dengan panggilan itu. Banyak yang kami sembang. Di usia yang mencecah 67 tahun, kebanyakan masa dihabiskan dengan membaca buku. Bila ditanya buku apa yang terakhir dibaca, saya terpaksa mengalihkan topik kepada gambar dalam lap top saya...satu helah yang menjadi.

Satu persatu kami berbincang mengenai gambar yang saya ambil sewaktu ke Eropah beberapa bulan lalu.

Saat sang suria menerjah wajah di awal pagi...gambar ini saya rakamkan sewaktu dalam perjalanan dari Milan ke Amsterdam

Banjaran Alps yang diselaputi salji dara....khusyuk tidak terhingga


Keindahan terusan di Amsterdam membuat saya begitu teruja


Kecantikan bunga Tulilp sukar digambarkan dengan kata-kata.


Kami banyak berkongsi minat yang sama khususnya dalam bidang antropologi dan sosiologi. Perbezaan kami juga banyak. Maman memang pakar bahasa Perancis dan pernah belajar di University Paris, saya pula boleh berbahasa Arab. Kami selalu berbincang pelbagai topik bila bersama. Dari lawak jenaka sehingga perkara serius.


Sewaktu sampai bila Maman tengok saya, Eh A..(nama panggilan saya di kalangan keluarga, tak boleh bagi tahu..cuma singkatan aja)Kenapa kurus ni? Saya bagi tahu yang saya diet dengan mengambil protein putih dan kurangkan pengambilan karbohidrat. Secara spontan Maman kata bagus dan kena pada tempatnya kerana tidak lama lagi saya akan berusia 40 tahun dan diet perlu disesuaikan dengan usia. Saya juga beritahu telah berhenti merokok. Tetapi saya mengaku tidak boleh tinggal cheese, walau secubit saya kena rasa setiap hari. Eeee perasan macam mat salleh.

Setiap kali bersembang Maman mengajar saya satu perkara, hormati pandangan orang lain. Itu nilai orang Perancis dan ia saya cuba praktikkan dalam kehidupan seharian. Tetapi untuk belajar semula bahasa Perancis,saya mula merasa berat...Ohhhh payahnya. Sukar yang amat sangat.

Satu lagi nilai orang Perancis yang saya cuba terapkan dalam kehidupan seharian adalah membaca. Ia adalah riadah minda yang berkesan. Perkara terbaik bagi menggelakkan kebosanan. Dalam menempuh hidup yang penuh dengan cabaran, adakala lebih baik sendirian dan tabiat membaca mampu menjadi peneman setia. Saya bertekad akan cuba menghabiskan dua buah buku sebulan sebagai permulaan. Apa sahaja buku, kecuali bahan lucah.


Koleksi buku terbaru....amat menarik bagi mereka yang cuba memahami sosialisme

Selepas beberapa episod yang menguji kesetiakawanan, persahabatan, kejujuran, keikhlasan dan kerukunan hidup, sudah tiba masanya saya melayari sisa waktu terluang dengan membaca. Saya mungkin tergolong antara segelintir manusia yang tidak bernasib baik kerana sering dipermainkan dan diambil kesempatan. Itu karma. Selepas ini saya tidak menyesal untuk terus sendirian. Cukuplah dengan apa yang telah berlaku.....Belajar dari kesilapan, ukur dari kelemahan dan yang buruk jadikan sempadan.

No comments: