Saturday, October 25, 2008

Tragedi Tak Bai


25 Oktober 2008, genap empat tahun Tahun Tragedi Tak Bai yang menyaksikan masyarakat Melayu di Selatan Thai dibunuh secara beramai-ramai dan diperlakukan seperti binatang.

Tragedi yang berlaku di bulan puasa, adalah jenayah terang-terangan yang dilakukan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra ke atas umat Islam yang menjadi pribumi di empat wilayah yang kaya dengan sumber asli.

Pertama kali mendapat flash dari agensi berita AP sewaktu bertugas di NTV7, hati saya sayu. Bila melihat feed visual masuk, air mata saya bercucuran melihat saudara sebangsa dan seagama diperlakukan di luar tabie kemanusian.





Hubungan kekeluargaan kami dengan wilayah Selatan Thai tidak akan terputus. Kami teringat cerita dari Tok Ki bagaimana moyang dan nenek beliau yang merupakan keluarga Diraja Jambu..(salah sebuah kerajaan Melayu di Pattani) terpaksa melarikan diri ke Terengganu, selepas kebanyakan ahli keluarga moyang disembelih kerana berkomplot menentang Siam. Berbekalkan surat dari Sultan yang kemudian dipenjarakan di Bangkok, mereka kemudiannya memulakan kehidupan baru di Terengganu dan terpaksa menggunakan identiti yang lain kerana masih diburu Bangkok.

Generasi demi genenarsi mereka tidak pernah melupakan sejarah dan kekejaman Siam. Tok Ki mendidik kami mengenal asal usul walau yang darah yang mengalir bercampur baur dengan bangsa lain. Sejak diusir tiada antara keluarga kami kembali ke Pattani. Mungkin juga kerana Raja atau Sultan selepas itu hanya menjadi boneka Siam.

Tidak lama selepas itu, pada 1902 semua keluarga Diraja Pattani dilupuskan dan identiti Melayu sedikit demi sedikit dilupuskan. Walau hilang ketuanan, orang Melayu tidak pernah mengalah. Malang sungguh kerana kebanyakan waris Diraja yang ada sekali lagi menjadi petualang dan boneka Siam.

Siang tadi saya secara sukarela membuat tulisan mengenai Tragedi Tak Bai. Kezaliman yang tidak dapat dimaafkan sampai bila-bila. Saya dapat merasakan penderitaan yang serupa walau kezaliman yang sama pernah dilakukan ke atas keluarga sebelah Tok Ki menjangkaui usia lebih 130 tahun.

Untuk para syuhada' di bumi Pattani Darul Salam...al fatihah.

No comments: