Friday, December 26, 2008

Terengganu Ku

Terengganu...Kuala Terengganu...Chabang Tiga..Pulau Duyong...Pulau Kambing dan Jalan Bukit Kecil. Keluarga saya satu ketika dahulu begitu dihormati. Kalaulah tidak kerana penjajah keluarga kami mungkin masih berperanan, tetapi kini segalanya telah jadi sejarah.

Realitinya, sejarah ditulis oleh mereka yang menang. Mereka yang terpinggir akan terus tersisih.

Sekadar renungan penduduk Terengganu perlu berfikir natijah di sebalik Pengisytiharan Terengganu sebagai Bandar Raya Warisan Pesisir Air.?

Selepas hampir setahun berapa banyak warisan yang dipulihara dan dipelihara? Secara terang-terangan, pengisytiharan itu hanya sekadar retorik oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, tidak lebih sekadar modal politik.

Rakyat Terengganu perlu berpijak di bumi nyata, betapa mereka sebenarnya kehilangan warisan bukan yang ada diperkaya.

Lihatlah pokok pauh di Jalan Banggol depan stesen bas...ia berusia lebih 130 tahun ditebang, apa alasan. Begitu juga makam lama di situ terus terbiar. Ia terus dibiarkan bersepah. Saya tidak pasti sama ada salah seorang bapa oneng saya..Engku Besar Tanjung dimakamkan di situ, cuma masa kecil-kecil kami diberitahu di situ terdapat beberapa makam asal usul keturunan kami.

Apa jadi dengan bangunan lama di Chabang Tiga, tanpa mengambil kira nilai sejarah regim Idris Jusoh bertindak merobohkan rumah konkrit yang menjadi antara yang tertua di negeri ini dengan alasan membesarkan jalan raya. Kejam sekali.

Bagi memperingati penghijrahan masyarakat Melayu Pattani ke Kuala Terengganu tiada lagi simbol dan nama. Apa tidaknya, Jalan Pattani ditukar kepada Jalan Dato' Isaac, apa rasionalnya. Malang sekali, mereka yang bersusur galur dari keturunan ini yang berjawatan besar terus mendiamkan diri.

Jika ditanya generasi muda, di mana Hujung Bugis....saya percaya 10 daripada 10 responden akan menjawab tidak tahu. Kawasan yang dulu cantik dengan susunan pokok kelapa kini lenyap ditelan kerakusan Patrick Teoh dan konco-konco. Laman milik ulamak kini menjadi tapak Monson Cup.

Ketamakan beliau terus berpanjangan, tanah milik Melayu terus diceroboh tanpa mempedulikan nilai warisan. Sebahagian tanah di Kampung Ladang adalah kurnian Sultan Zainal Abidin Ketiga kepada kaum kerabat baginda turut menjadi mangsa. Nenek saudara saya sendiri terpaksa keluar dari tapak yang diwarisi zaman berzaman. Kami bukan pemilik setinggan, kami yang menjadi tuan. Kurnian dari seorang Sultan supaya anak cucu kelak mempunyai tanah dipersendakan selepas cadangan pembangunan diteruskan.

Ketika menziarahi Mok Ku Wok dapat saya bayangkan kekecewaannya kerana diusir. Mata beliau berkaca. Hal ini dipanjangkan ke istana termasuk ke pengetahuan keluarga Diraja Pahang. Kemudian Tuanku Mizan juga diberitahu, tetapi ia terlambat. Apapun selepas dimaklumkan, ia menambahkan lagi kemurkaan Tuanku setelah kaum kerabat diperlukan seperti hamba dina.

Ketika berkumpul dengan saudara mara, saya pernah bersuara, pengkhianat kepada keluarga Raja Melayu tidak akan kekal lama. Saya percaya Idris Jusoh akan ditimpa bala, daulat menghina kerabat...tengoklah. Sejarah telah membuktikan setiap seorang keluarga pembesar yang menurunkan Sultan Ali@ Tengku Cantik dari takhta Terengganu menjadi gila. Untuk Idris Jusoh tidak hari ini...esok..lusa...akan tiba ketikanya.

Ketika diberi peluang memerintah Tok Yeh @ Mat Yeh terus ghairah dan kemaruk, apa tidaknya dia pernah mencadangkan bendera Terengganu ditukar. Alasannya bendera sedia ada yang digazet pada 1946, tidak nampak ceria. Nasib baik ada campur tangan dan bantahan.Kalau tidak bendera Terengganu warna macam pelangi sebab hendak nampak ceria.

Sesiapapun penganti Idris Jusoh..konsep dan konteks pembangunan perlu difahami. Tidak guna menghantar pegawai kanan ke luar negeri kalau hasil yang dibawa balik kosong...0...

Lihat Eropah, walaupun membangun mereka tidak merosakan senibina Reinansance.

Pembangunan sepatutnya mengekalkan yang sedia ada dengan memperkaya yang baru. Pembangunan bukan bermakna memusnah yang lama.

Sayang...kebutaan terhadap nilai tradisi dan sejarah telah membunuh warisan Terengganu. Lebih malang lagi ia menjadi modal untuk kepentingan diri sendiri.

Tuesday, December 16, 2008

Cuti

Sepanjang 2008, tiada pelepasan cuti umum yang saya ambil, dalam erti kata yang lain saya bekerja dari cuti umum 1 Januari sehingga sekarang. Tahun Baru Cina, Wesak, Thaipusam, Hari Raya Aidil Fitri dan Adha...semua saya kerja.

Tetapi bagaikan dapat keajaiban, saya diberi pelepasan cuti umum pada Hari Krismas ini. Dapat 3 hari. Tahun lepas di Hari Krismas saya berada di Khartoum dan Kaherah. Tahun ini saya tidak merancang untuk ke mana-mana, mungkin di KL.

Sebagai seorang Islam, tiada apa yang meriah, apa yang dapat saya lakukan hanya meraikan saudara yang berbeza akidah menyambut hari kebesaran agama mereka. Saya pernah bertanya kepada orang alim mengenai persoalan ini...jawapan yang diberikan, kita boleh meraikan tetapi bukan menyambut. Gaspard berlepas balik ke Paris pada 24 hb ini. Dia akan meraikan bersama kaum keluarga yang masih menganut agama itu di sana.

Saya salute Gaspard sebab akidah sebagai seorang Islam amat kukuh walaupun bersekolah di Jesuit School sejak berusia 8 tahun. Tiga malam lepas semasa kenduri majlis akad nikad Adik Esah, dia ingatkan saya baca doa sebelum makan..perkara yang sama sewaktu kami memasuki sebuah restoran di Paris beberapa bulan lalu.

Oz pula akan pulang pada 30 Disember. Nampaknya saya akan meraikan Oz sebab dia tidak mahu sambut Krismas di hotel. Saya ada cara tersendiri dan merancang untuk ajak dia makan sate Kajang pada malam Krismas nanti.

Saya sendiri merancang Hari Raya Puasa tahun depan, akan menyambutnya sama ada di UK atau Perancis. Sesuatu yang menongkah arus budaya Melayu. Orang lain berebut balik kampung, saya pula sebaliknya. Ini yang dipanggil kelainan.

Terapi Minda

Semalam saya sedikit tension dengan keadaan di pejabat. Saya percaya dengan luahan dalam blog ia membantu melepaskan tekanan. Terapi yang paling baik adalah dengan work out. Semalam saya telah membakar 1000 kalori dan hari ini 850 kalori.

Saya datang hampir setiap hari ke sini.....membakar kalori dan melepaskan tekanan

Selain beriadah saya juga membela haiwan peliharaan...satu lagi alternatif untuk menggelakkan diri terjerumus dengan tekanan. Percaya atau tidak saya membela 13 ekor...dalam apartmen seluas 850 meter persegi. Semuanya kucing terbuang...adakala yang saya jumpa dalam keadaan betul-betul terbiar. Hantar ke vet dan kemudian saya bela....dalam rumah @ indoor cat. Si Utih ini misalnya saya jumpa di tepi tong sampah dalam keadaan berkurap. Hantar untuk diberi rawatan. Ia menjadi teman saya bersembang dan begitu patuh dengan kata-kata.

Siapa sangka Utih yang secantik ini kucing yang dibuang tepi tong sampah...dulu masa jumpa ada kurap



Nyek-Nyek dijumpai dibuang dalam kotak semasa berusia 2 minggu...dia paling manja

Bukan mudah untuk membela kucing sebanyak ini. Setiap pagi saya menghabiskan masa satu jam setengah dengan membersih bekas najis, vakum dan mengemop rumah. Ini yang menguji kesabaran saya. Bangun pagi sudah ada tugas yang menanti dan ia menjadi rutin. Saya tidak benarkan kucing ini berkeliaran, sebaliknya ia mempunyai bilik khusus.

Sehari, hanya dua kali mereka dilepaskan di ruang tamu. Selebihnya dikurung di dalam bilik. Yang pasti selepas empat tahun lebih membela....kucing-kucing ini begitu memahami saya dan tidak banyak merosakkan barang.

Monday, December 15, 2008

Mencari Erti

Sejak 10 tahun lalu, saya menumpukan pada kerjaya selepas beberapa rentetan peristiwa yang boleh distilahkan sebagai "detik-detik sukar" @"saat-saat kecewa. Sepanjang tempoh itu pencapaian karier saya adakala mendatar dan ada ketikanya menjunam.

Tidak banyak perubahan untuk dibanggakan. Sebaliknya masalah datang silih berganti. Apa sebenarnya yang tersirat sehingga nasib saya tidak sebaik orang lain? Persoalan yang sering berselirat di fikiran.

Ohhhh mungkin ini yang dikata asam garam kehidupan? Warna-warna yang mencorakkan pengalaman? Mungkin juga saya tergolong dalam insan malang? Rengus...keluh adakala menjadi biasan rasa kecewa.

Mengapa saya? tidak si A, si B atau orang lain untuk lalui kesulitan ini.

Adakah saya terkena badi masa lalu dan saya menjadi penebus kifarat di atas kesilapan orang lain?

"Ohhh Tuhan aku buntu". Gemersik kata hati.

Jika dinilai dari segi pencapaian akademik, saya tidak sepatutnya berada pada kedudukan sekarang dalam kerjaya. Saya boleh pergi jauh...tetapi mengapa saya masih berada di tahap yang jumud di organisasi ini walhal ramai si bangat yang berkelulusan sijil terus dianugerahi pencapaian cemerlang. Kebolehan mereka hanya lakonan dan ampuan.

Lama saya pendamkan rasa dengan tidak mempedulikan gelagat mereka. Mendiamkan dan menjarakkan diri adalah yang terbaik.Tetapi sifat kaduk naik junjung sering menguji kesabaran. Selama ini saya menolak perbezaan manusia yang dinisbahkan pada darjat keturunan. Insan adalah sama. Tetapi dengan pangkat yang dimiliki mereka lupa diri. Lantak mereka untuk ketawa berdekah dan bergaya sakan tetapi jangan pandang rendah pada orang lain....Tetapi apabila saya melebihi mereka dalam beberapa perkara lain, akan ada versi cerita, itu dan ini. Paling menyakitkan hati membuat perbandingan dan cuba memperlekehkan. Di sini nampak beza antara si cerdik dan si bodoh dalam menilai sesuatu. Kalau saya ada kelemahan, saya bukan baduk untuk ditertawakan. Sedangkan banyak kelebihan cuba dinafikan. Mereka tiada profesionalisme. Spesis ini lupa kalau tidak di organisasi ini, dengan kelulusan yang dimiliki mungkin berada di kaunter jualan, di bendang, di tepi jalan dan paling layakpun jadi penyelia pengeluaran.

Semoga nasib baik akan memihak kepada saya suatu hari nanti.

Saturday, December 13, 2008

Drama

Hari ini, saya menghabiskan masa lebih tiga jam di gym. Seperti biasa saya work out untuk membakar 1500 kalori, semalam makan kambing, rendang dendeng daging dan cheese cake. Saya tidak mahu lemak melekat kat badan terutama dekat sekeliling perut. Payah nak hilang nanti. Tidak mahu simpan tayar spare...

Sambil work out, teringat betapa manusia sekeliling sering berdrama, depan cakap lain belakang cakap lain. Banyak manusia yang bertopeng, berlagak baik, manis mulut dan mereka yang cuba berlaku jujur akan menjadi lauk. ......Ini lumrah alam. Bak kata Imam Ghazali, dunia ini pentas lakonan dan kita adalah pelakon (kata-kata ini kemudian Shaksepeare ambik).

Biarlah mereka yang ingin terus bermain kata-kata manis. Selagi beringat saya tidak akan terpedaya. Belajar dari kesilapan menjadi satu sukatan pengalaman. Kata-kata si egois akan saya ingat sampai bilai-bila. Tidak terlalu lambat untuk saya betulkan kealpaan. Suatu masa saya akan dapat semula apa yang telah dikhianati selama ini. Kebaikan pasti akan datang dan suatu masa nasib baik akan memihak kepada saya.

Selamat Pengantin Baru

Tetapi tiada apa yang mengejutkan pada majlis akad nikah kali ini, kecuali satu perkara yang membuat saya menjerit....GASPARD.?????? sambil lari ke ruang makan. Dia terkejut dan kami berpelukan. Bulan lepas bila saya telefon dia dengan nada sedih beritahu tidak dapat datang tetapi tiba-tiba muncul. Dia kata buat keputusan saat akhir untuk terbang ke sini. Konon hendak buat suprise.

Sebenarnya semua orang terkejut bila dia sampai dari Paris. Maman lagi terkejut, tapi yang best sempat pergi beli baju Melayu warna tema "soft pink". Warna tema malam ini. Saya kena tegur sebab pakai baju Melayu warna krim dengan sampin "pink" tak apa yang penting saya datang.

Tepat jam 9.30, Esah Maria yang selama ini saya panggil adik Esah, selamat dijabkabulkan sebagai isteri kepada Yzmier. Sejurus selepas itu, pasangan ini datang dan mencium tangan saya. Saya peluk Yzmier dan bisikkan" Selamat Pengantin Baru...selamat datang ke dalam famili saya, selamat menjadi adik ipar. Ia kemudian disusuli adik Esah yang kelihatan sebak sambil mencium tangan sambil berkata, Abang A.. terima kasih kerana datang....Jauh di sudut hati, saya berdoa "Adikku....semoga kalian akan bahagia sampai ke akhir hayat..harapan dari seorang abang".



Percikkan bunga api menandakan Adik Esah dan Yzmier selesai dijab kabul sebagai suami isteri.

Segalanya berjalan lancar alhamdulillah. Saya dengan Gaspard seperti biasa akan mencari port untuk lepak dan sembang. Tiba-tiba terpandang satu benda di tepi pagar. Banyak cerita....

Ini kerja David pacakkan bendera Perancis.....tak apa sesekali kena ingat sebahagian susur galur.

Gelagat adik bongsu ......posing maut

Thursday, December 11, 2008

Cuti Umum

"Jarang datang kerja tempat parking kosong macam ni". Bisik hati saya sewaktu memasuki tingkat bawah bangunan pejabat pagi tadi.

Sejurus kemudian ada suara.

"Oiiiiiii apa hal kau pakai smart sangat".

"Kenapa?. Tanya saya dengan ringkas.

"Hari ni cuti umum, kau tak tahu ker, kan hari ni Hari Keputeraan Sultan Selangor?.

"La, menyesal aku, dah lah kena gosok baju, perkara yang paling aku tak suka, dah lah bangun lambat tadi...gosokpun ala-ala jer. Tapi tak tahan lah aku korang pakai macam ni, aku smart semacam". Betah saya.

Beginilah saya, jarang ambil peduli mengenai tarikh dan peristiwa. Bukan pertama kali perkara seperti ini berulang. Kekadang hari lahir sendiripun boleh terlajak. Sebentar tadi Esah Maria mengingatkan saya malam esok majlis akad nikah beliau, ooooooh warna tema " soft pink" mana nak cari baju Melayu. Untuk resepsi minggu depan dah ada, mungkin saya akan bergaya sakan dengan tuxedo...tapi untuk malam esok ......pakailah apa yang ada?

Tuesday, December 9, 2008

Beraya

Aturan perjalanan hidup saya banyak dipengaruhi kerjaya. Selepas bertahun-tahun saya dapat menerima kenyataan yang bidang kewartawanan perlukan komitmen yang berbeza sama sekali dengan kerjaya lain. Ketika orang lain beraya, saya bekerja. Dari satu segi ia menjadi loncatan kepada saya untuk melarikan diri dari berdepan dengan situasi dan memori yang pernah hadir dalam diri.

Seperti saya katakan sebelum ini, selagi ada kewarasan, saya tidak akan dapat melupai kenangan. Yang dapat saya lakukan adalah meminimum ingatan.

Semalam, seperti biasa tiada juadah istimewa untuk menyambut Aidil Adha, cukup semangkuk muesli dan secawan kopi. Selepas itu saya bergegas ke gym, salah satu cara untuk menyibukkan diri supaya tidak terperangkap dengan emosi. Saya menghabiskan masa dua jam dengan membakar lebih 1200 kalori.

Tengahari saya masuk ke pejabat dan menjamah hidangan yang dibawa kawan-kawan. Makan dan makan.

Bila habis kerja, saya pergi semula ke gym dan work out lagi untuk satu jam. Saya membakar 500 lagi kalori.

Ia menjadikan saya membakar 1700 kalori, satu rekod baru. Saya kena work out lebih sebab perut ini telah disumbat dengan lemang, ketupat, rendang, laksa dan lain-lain lagi.

Pagi tadi saya pergi semula ke gym, kali ini 850 kalori. Cukup untuk hari ini. Ketika sedang work out saya terfikir, untuk Hari Raya Aidil Fitri tahun ini lebih baik saya pergi beraya di Paris atau Nancy dengan saudara mara di sana. Tiket murah kalau saya tempah sekarang. Lebih kurang rm 1600...amat murah.

Idea itu terlintas bila teringat Oz, saudara jauh yang datang menyambut Krismas di Malaysia. Saya tanya dia kenapa sambut Natal di sini, dia kata hendak merasa kelainan. Tetiba masa bersembang sewaktu jumpa di Kuala Terengganu minggu lepas, dia kata tak nak sambut di hotel...la ni yang buat tak best ni....sah-sah pak cik kena entertain, sebab orang lain sibuk dengan famili masing-masing.

Paling tidak bawa dia ke Cameron Highland.

Sunday, December 7, 2008

Apa Cer?

Seperti biasa bila balik saya akan bersembang dengan Maman (sebutan Mamoo @ emak dalam bahasa Melayu), dia mak cik saya. Dari dulu sampai sekarang saya memanggil beliau dengan panggilan itu. Banyak yang kami sembang. Di usia yang mencecah 67 tahun, kebanyakan masa dihabiskan dengan membaca buku. Bila ditanya buku apa yang terakhir dibaca, saya terpaksa mengalihkan topik kepada gambar dalam lap top saya...satu helah yang menjadi.

Satu persatu kami berbincang mengenai gambar yang saya ambil sewaktu ke Eropah beberapa bulan lalu.

Saat sang suria menerjah wajah di awal pagi...gambar ini saya rakamkan sewaktu dalam perjalanan dari Milan ke Amsterdam

Banjaran Alps yang diselaputi salji dara....khusyuk tidak terhingga


Keindahan terusan di Amsterdam membuat saya begitu teruja


Kecantikan bunga Tulilp sukar digambarkan dengan kata-kata.


Kami banyak berkongsi minat yang sama khususnya dalam bidang antropologi dan sosiologi. Perbezaan kami juga banyak. Maman memang pakar bahasa Perancis dan pernah belajar di University Paris, saya pula boleh berbahasa Arab. Kami selalu berbincang pelbagai topik bila bersama. Dari lawak jenaka sehingga perkara serius.


Sewaktu sampai bila Maman tengok saya, Eh A..(nama panggilan saya di kalangan keluarga, tak boleh bagi tahu..cuma singkatan aja)Kenapa kurus ni? Saya bagi tahu yang saya diet dengan mengambil protein putih dan kurangkan pengambilan karbohidrat. Secara spontan Maman kata bagus dan kena pada tempatnya kerana tidak lama lagi saya akan berusia 40 tahun dan diet perlu disesuaikan dengan usia. Saya juga beritahu telah berhenti merokok. Tetapi saya mengaku tidak boleh tinggal cheese, walau secubit saya kena rasa setiap hari. Eeee perasan macam mat salleh.

Setiap kali bersembang Maman mengajar saya satu perkara, hormati pandangan orang lain. Itu nilai orang Perancis dan ia saya cuba praktikkan dalam kehidupan seharian. Tetapi untuk belajar semula bahasa Perancis,saya mula merasa berat...Ohhhh payahnya. Sukar yang amat sangat.

Satu lagi nilai orang Perancis yang saya cuba terapkan dalam kehidupan seharian adalah membaca. Ia adalah riadah minda yang berkesan. Perkara terbaik bagi menggelakkan kebosanan. Dalam menempuh hidup yang penuh dengan cabaran, adakala lebih baik sendirian dan tabiat membaca mampu menjadi peneman setia. Saya bertekad akan cuba menghabiskan dua buah buku sebulan sebagai permulaan. Apa sahaja buku, kecuali bahan lucah.


Koleksi buku terbaru....amat menarik bagi mereka yang cuba memahami sosialisme

Selepas beberapa episod yang menguji kesetiakawanan, persahabatan, kejujuran, keikhlasan dan kerukunan hidup, sudah tiba masanya saya melayari sisa waktu terluang dengan membaca. Saya mungkin tergolong antara segelintir manusia yang tidak bernasib baik kerana sering dipermainkan dan diambil kesempatan. Itu karma. Selepas ini saya tidak menyesal untuk terus sendirian. Cukuplah dengan apa yang telah berlaku.....Belajar dari kesilapan, ukur dari kelemahan dan yang buruk jadikan sempadan.

Esok Raya???

Pagi tadi sambil menghirup secangkir kopi O di Kluang Station, tiba-tiba terlintas, cuti Hari Raya Adha berapa hari?. Lantas saya bertanyakan rakan sepejabat.

"OOOOO sehari jer". Jawap saya dengan selamba.

Sementara mencicit karipap, sekali lagi fikiran saya merewang, "ehhhh bila kali terakhir menyambut Aidil Adha dengan keluarga".

Saya cuba kira conggak, tetapi gagal mengimbau bila kali terakhir kami berkumpul bersama di Hari Raya Korban. Paling kurang, lima tahun lalu kot?. Itu hanya andaian.

Seperti biasa, saya akan bekerja di kala orang lain bersama keluarga. Hari inipun kerja sorang-sorang. Esok, lusa dan tulat saya akan datang ke pejabat seperti biasa. Seperti Hari Raya Aidil Fitri di mana orang lain berduyun-duyun pulang ke kampung, saya lebih senang bekerja. Mungkin mereka di unit ini beruntung kerana saya sentiasa menawarkan diri untuk berada di pejabat di saat orang lain berebut untuk bercuti. Itu pengorbanan yang dapat saya lakukan.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha.

Saturday, December 6, 2008

Selamat Tinggal 708 S2

Entah di mana sekarang papan yang pernah menghiasi 708 berada. Segalanya telah berlalu. Rumah yang pernah berada di perkarangan istana diRaja Terengganu itu menyimpan 1001 misteri. Saya sendiri pernah alami beberapa kejadian aneh. Bukan muda usia rumah berkenaan, bahkan ia melebihi 130 tahun.

Kali terakhir saya berdepan dengan kejadian pelik pada 1999, sewaktu itu ia telah ditinggalkan kosong lebih 5 tahun. Setiap kali sebelum raya, saya akan menjengah dan membasuh rumah, sebelum membawa Wan pulang melihat dan meninjau rumah yang menyimpan pelbagai peristiwa manis beliau dengan Tok Ki.

Di bulan puasa, biasalah akan kepenetan. Selepas habis mencuci, saya tertidur di ruang tamu perempuan yang kemudiannya dijadikan tempat menonton televisyen. Ketika terjaga saya terdengar tombol pintu di ruang tamu lelaki berbunyi dan dikuti bunyi perempuan menangis. Saya terjaga dan dengan mulut cabul saya cakap" anak cucu balik jangan kacau". Alhamdulillah tiada apa yang pelik berlaku selepas itu. Saya tidak ceritakan kepada Wan kejadian ini, kerana saya tahu arwah mengetahui misteri rumah yang pernah menjadi kediaman keluarga bangsawan Terengganu.

Semasa saya berusia 19 tahun, saya biasa diganggu terutama bila tidur di bilik yang terletak di anjung kiri. Bila tutup lampu, ada makhluk yang akan geletek tapak kaki dan bila tutup selimut hingga ke kepala, dia akan tarik ke bawah. Tetapi pelik sebab saya tidak pernah rasa takut. Dulu pernah ada orang terserempak dengan dua pengawal yang berpakaian panglima Melayu siap bertanjak dan memegang lembing sedang mengawal rumah itu. Dia menjelmakan diri. Bagi rumah Melayu terutama milik keluarga diRaja dan bangsawan, ia adalah perkara biasa, di mana rumah mereka lazimnya dijaga oleh makhluk halus yang tidak nampak dengan pandangan zahir.

Bila rumah itu disewakan selepas Wan tidak lagi larat untuk pulang, banyak barang antik milik keluarga kami dicuri. Saya percaya orang yang berkenaan tidak akan terlepas dari gangguan. Paling berharga, bekas kemenyan yang berusia hampir 200 tahun. Itu tidak termasuk baha tembaga, pinggan mangkuk dan pakaian lama.



Sebagian barang antik yang kini berada di rumah pak cik saya

Dulu barang antik milik oneng saya pernah dicuri oleh cucu angkat, akhirnya salah seorang daripada mereka kena gangguan dan jadi tidak betul. Mungkin kena tulah atau daulat mengambil barang bukan milik mereka. Yang paling dikesalkan saya tidak tahu di mana hendak mencari semula barang berkenaan. Sebahagiannya kami temui di Muzium Terengganu tetapi yang lain seperti dulang santap tembaga dan keris hukuman tidak pernah ditemui. Ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi apatah lagi dulang santap yang mungkin berasal dari keluarga Bendahara Seri Wak Raja Pahang. Oneng perempuan kami mempunyai gelaran Tun di pangkal nama. Beliau adalah Tun Sharifah yang pangkat sepupu dengan Sultan Ahmad Pahang yang Pertama.

Empat bulan dulu, salah seorang pak cik saya sebelum meninggal dunia, bertanyakan adakah keluarga kami menyimpan pistol kurniaan Sultan Zainal Abidin Ketiga kepada moyang saya...ohhh pertama kali saya mendengar perkara ini, moyang ada pistol????macam ala-ala cowboy lak. Dia menyarankan supaya menjejakinya...Ohhh tidak, itu sesuatu yang amat payah.

Ramai generasi muda keluarga kami tidak tahu yang pangkal nama raja dan wan yang mereka guna sekarang bermula dari sini. Sultan Yahya Abdul Jalil Muzafar Shah, Sultan Siak yang diturunkan takhta sewaktu menziarahi Terengganu. Baginda kemudian mangkat dan dimakamkan di Dungun.

Apabila pulang ke Terengganu, kami tiada lagi monumen yang mempunyai nilai sentimental untuk dikenang sebagai warisan yang boleh dibanggakan. 708 telah dijual. Itu yang membuatkan saya terkilan.

Selepas ini, tapak 708 akan dibangunkan bungalow. Siapalah saya untuk terus menjengah ke situ. Selamat Tinggal 708...

Thursday, December 4, 2008

Selamat Tinggal 708

Perjalanan lebih 6 jam dari Kuala ke Kuala Terengganu tidak begitu terasa, cuaca yang tidak terlalu panas membuatkan saya tidak begitu mengantuk. Dimeriahkan lagi dengan lagu era 80 an yang dimainkan sepanjang perjalanan. Lagu seperti Sudirman, Uji Rashid, Zaiton Sameon memenuhi halwa telinga. Cuma kali ini tiada lagi lagu Sheila Majid.

Seperti biasa, menjadi kewajipan saya akan berhenti di Hai Peng Kopitiam di Kemaman, pekena kopi dan segarkan badan seketika.


Sampai di Kuala Terengganu, saya mengambil anak buah yang telah lama menunggu, keluar makan. Selepas itu saya singgah sebentar di tapak 708 yang telah dijual. Sedih bila melihat rumah di mana saya dilahirkan dan dibesarkan telah lama tiada.




Hanya tinggal tapak. Di sini dulu adalah tangga dan laman tempat kami sering menyambut Tok Ki balik kerja.


Gambar bahagian belakang rumah. Dulu ada pokok mempelam, jambu batu dan pokok kelapa. Di hujung sebelah kanan ada perigi.

Banyak hendak ditulis mengenai 708. Dulu kami ada pengunjung setia yang akan datang setiap tahun. Pak Heinz. Kali terakhir dia datang selepas Tok Ki meninggal pada 1983. Masa tu Wan sedih sangat, dia pegang tangan Wan dan suruh Wan dengar lagu dan pergi majlis tari menari. Ehhhh Mat Salleh ni, kau tidak tahu langsung budaya Islam dan Melayu. Tahun lepas dia meninggal dunia di Perancis pada usia 84 tahun dan mengikut wasiat yang ditinggalkan, abunya disemadikan di German. Ketika diberitahu Pak Heinz meninggal, saya terdiam dan hanya mampu bertafakur. Sayang dia meninggal tanpa mendapat hidayat dari Allah. Yang berkemampuan, bergegas ke sana untuk memberi penghormatan terakhir.

Bersambung.....

Wednesday, December 3, 2008

Tangguh Lagi

Semalam, Thailand secara rasmi menangguhkan Sidang Kemuncak ASEAN yang sepatutnya bermula pada 13 hb Disember depan di Chiang Mai. Ia akan diadakan pada pada Mac ini, mungkin di Bali.

Tugasan saya yang ketiga terpaksa ditangguhkan tahun ini. Sebelum itu, dua hari sebelum berlepas ke Pakistan, tugasan saya terpaksa ditangguhkan selepas 80 mati akibat serangan pengebom nekad. Begitu juga ke Kemboja, terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir.

Siang tadi saya telah menyiapkan proposal untuk membuat tugasan berhubung situasi politik di Thailand. Saya telah serahkan kepada Big Bos dan dia berjanji akan lihat. Saya mempunyai alasan dan rasional tersendiri kenapa perlu berada di sana. Soal keselamatan nyawa adalah perkara picisan dalam dunia kewartawanan.

Pengalaman tidak akan dapat dibeli dengan wang ringgit. Ia satu kepuasan peribadi. Mengharungi detik-detik kritikal dan cemas memberi 1001 pengajaran. Teringat semasa rusuhan di Kuala Terengganu selepas PAS kalah pada pilihanraya 2004, kami bertempiaran lari selepas dikejar Pasukan Polis Persekutuan, FRU. Ketika itu salah seorang kawan saya dari akhbar The Star panik dan terkujap selepas terkepung dengan penyokong parti pembangkang. Jika tidak saya peluk dan bawa dia beredar mungkin dia terkena belantan. Dalam suasana cemas saya angkat pas akhbar, sambil membawa dia lari.

Paling tidak dapat dilupakan apabila mengalami sendiri gempa bumi di Aceh. Pada masa itu gempa teruk memusnahkan Pulau Nias. Saya menyerahkan diri kepada Allah kerana semua orang bertempiaran lari sambil menjerit-jerit.

Saya amat berharap diberi peluang lagi untuk membuat liputan sebegini. Saya ingin sekali ke Afghanistan, Kashmir, Iraq dan Palestine. Apalah sangat nilai nyawa saya berbanding penderitaan mereka.

Hidup sebagai wartawan menjadikan saya kaya pengalaman walaupun miskin harta. Ini hidup yang saya pilih.....Buku Meniti Lautan Gelora karya bekas Ketua Pengarang Utusan yang dipenjarakan selama 19 tahun tanpa dibicarakan, Said Zahari sedikit sebanyak menguatkan semangat untuk terus setia dalam bidang ini. Bukan mudah menjadi wartawan tulen yang tiada kaitan dengan mana-mana pihak dan mengenepikan kepentingan peribadi.

Saya tiada wang dan kedudukan untuk membela orang susah dan tertindas...tetapi saya ada mata pena untuk terus berjuang bagi membela ketidakadilan sejagat...memupuk kesedaran insani dan menghargai kemanusian.

Monday, December 1, 2008

cerpen 6

Haji Sulaiman balik awal hari ini, tapak projek telah dijengah tadi. Kebelakangan ini ada sesuatu yang menyebabkan dia balik awal. Bukan lagi masakan isteri, Wan Jara, tetapi pandangan mata anak Maria.

Bagi beliau, melewati usia 50 tahun menjadi sesuatu yang indah bila dikelilingi cucu-cucu. Sifat kebapaan yang sukar dikikis. Bagi Haji Sulaiman, selain simpati terhadap perempuan mualaf itu, anak yang masih kemerahan menumpahkan kasih sayang beliau.

"Wan Jara, saya dah dapat ilham nak namakan cucu baru kita". Ucap Haji Sulaiman sewaktu berehat di kerusi malas sementara menunggu Che Jenab menghidangkan nasi.

"Apa nama dia Abang Haji" Lopong mulut Mak Wan.

"Dah tanya Tok Guru ker? Kalau boleh nama biar serasi tidak terlalu panas atau berat ker, kan nanti budak tu tidak mampu nak bawa nama". Mak Wan yang bersimpung di galang pintu bersuara.

"Ya saya dah tanya Tok Guru Haji Manaf". Balas Haji Sulaiman. Tok Guru Haji Manaf tulah yang dia selalu ulang alik di hari Jumaat untuk mendengar ceramah agama di Bukit Bayas.

"Apa dia?" Tanya Mak Wan yang mula teruja untuk tahu.

Sabarlah sikit awak ni, apa-apapun kita kena tanya Maria. Kita tidak boleh membelakangkan dia. "